Kemeriahan raya Rozita Che Wan


PERCUTIAN - Pada hari raya keempat, Che Ta bersama Zain dan Aaisyah akan terbang ke Sepanyol untuk bercuti sebelum menunaikan umrah sekali lagi pada 22 Julai depan.

SEBUT sahaja Rozita Che Wan, sudah terbayang pakaian mengerlip dan penuh glamor serta bulu mata bertingkat yang sudah menjadi identitinya sejak mula bergelar pelakon sehinggalah hari ini. Justeru, setiap kali hadir pada acara-cara hiburan, penampilan Rozita yang mesra disapa Che Ta pasti tidak kalah apatah lagi pada Aidilfitri.

Jika tahun lalu isteri kepada Zain Saidin, 30, itu mengejutkan khalayak dengan menempah 60 pasang baju raya, kali ini angka tersebut berganda iaitu sebanyak 110 pasang.

Menurut Che Ta, 110 pasang itu merangkumi 30 pasang untuk dirinya dan Zain serta 50 pasang pula buat puteri mereka, Aaisyah Dhia Rana yang baru menginjak usia setahun enam bulan.

“Tahun ini memang agak banyak. Kami ada 30 pasang untuk raya sebulan. Aaisyah pula 50 pasang sebab sebagai ibu memang suka melihat anak memakai pakaian yang cantik-cantik. Aaisyah satu-satunya anak perempuan saya, sekarang sudah boleh berjalan dan pandai bergaya, jadi tidak salah untuk melaburkan sedikit wang buat pakaiannya.

“Dia akan membesar dengan cepat, jadi tidak salah untuk saya menikmati momen ini sebaik mungkin. Lagipun saya memang suka tempah baju raya dan bukannya minta duit orang lain semuanya hasil usaha sendiri,” ujar Che Ta yang menempah baju raya warna sedondon dengan suami dan anaknya.

Melihat pada angka baju raya yang ditempah daripada beberapa pereka fesyen terkenal tanah air, ada yang menganggap tindakannya itu sebagai satu pembaziran. Namun, tidak buat Che Ta, 42, yang menyifatkan ia sebagai satu pelaburan jangka panjang dan keperluan sebagai seorang selebriti.

Tambahnya, sepanjang sambutan Aidilfitri, mereka sekeluarga akan menghadiri pelbagai acara hiburan dan rumah terbuka. Menempah pakaian lebih awal dalam kuantiti yang banyak akan menjimatkan masa kerana tidak perlu membeli baju baharu setiap kali menghadiri sebarang majlis.

“Saya tempah baju banyak-banyak bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi memang dipakai. Sudah menjadi rutin setiap tahun pada bulan Syawal saya akan sibuk menghadiri rumah terbuka, bila ada Aaisyah semangat untuk melaram bersama bertambah-tambah.

“Sebab itu, saya menempah pakaian sedondon pelbagai warna untuk kami sekeluarga, bila ambil gambar pasti cantik. Saya tidak kisah orang hendak kata apa sekali pun sebab sudah biasa. Apa sahaja yang saya lakukan pasti dicemuh, jadi biarlah janji saya bahagia dan gembira,” luah Che Ta.

Kuala Lumpur - Kedah

Sudah menjadi kelazimannya sejak bergelar isteri, dia akan meraikan Aidilfitri di kediaman nenek Zain di Gombak, Selangor terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah pada raya kedua.

Jelasnya, suaminya itu tidak akan tenteram dan bersedih jika tidak bertemu dengan ibunya pada pagi raya. Tahun ini juga merupakan tahun pertama bapanya, Mohamad Saidin Osman, tiada kerana meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 11 Mei lalu.

“Keutamaan raya kali adalah keluarga suami kerana mereka masih bersedih dengan pemergian arwah bapa Zain. Jadi, kami akan berkumpul di rumah nenek Zain pada malam raya,” jelas Che Ta.

Sementara itu Zain mengaku sambutan Aidilfirinya tahun ini sedikit suram. Jika dahulu, saban tahun akan bertemu dengan bapa pada hari raya, tetapi kali ini dia hanya boleh ke pusaranya untuk melepas rindu.

“Memang agak terasa, sebab tahun lalu kebetulan kami semua melawat bapa yang sakit di hospital pada hari raya. Tidak sangka tahun ini bapa telah tiada. Perasaan kehilangan itu sukar untuk digambarkan,” kata Zain yang akan menziarah pusara arwah bapanya di Tanah Perkuburan Ibu Kota, Danau Kota, Kuala Lumpur sehari sebelum raya.

Beralih bicara pada sambutan raya, kata Zain, dia bersyukur kerana dikurniakan isteri yang amat memahami. Sepanjang berkahwin, mereka tidak pernah mempunyai masalah untuk pulang berhari raya meskipun setiap tahun akan mendahulukan keluarga Zain.

Kata lelaki berbadan sasa itu, isterinya tidak pernah bermasam muka mahupun mempersoalkan keputusannya untuk berhari raya di Kuala Lumpur terlebih dahulu.

“Che Ta amat memahami saya, kami tidak perlu bergaduh atau buat giliran sebab setiap tahun pasti di Kuala Lumpur dahulu,” tuturnya.

Celah Che Ta, selepas di Kuala Lumpur barulah mereka akan pulang ke Alor Setar, Kedah dan akan berada di sana sehingga raya ketiga sebelum terbang ke Sepanyol untuk bercuti di Barcelona, Cordoba dan Madrid. Percutian luar negara merupakan agenda wajib setiap dua bulan sekali buat mereka sekeluarga.

Sekembalinya daripada Sepanyol, mereka hanya akan berada sehari di tanah air sebelum berangkat ke Mekah pula untuk menunaikan umrah pada 22 Julai.

“Pada raya keempat, saya, Zain dan Aaisyah akan bercuti di Sepanyol. Selepas itu, kami akan terbang ke Mekah pula untuk buat umrah. Kali ini hanya pergi bertiga. Bagi saya kita kerja bersungguh-sungguh, bercuti pun begitu.

“Soal buat umrah, tidak salah pergi banyak kali apabila Allah berikan rezeki. Setidak-tidaknya, kita akan sentiasa dekat dengan Allah. Jika tempat lain boleh pergi banyak kali, Mekah juga begitu,” tuturnya.

Meskipun sibuk dengan perniagaan, Che Ta tidak pernah melupakan kerjaya lakonan yang melonjakkan popularitinya sehingga kini.

Terbaharu, sekitar bulan Ogos, Che Ta sekeluarga akan menjalani penggambaran program realiti mereka sekeluarga.

“Sekitar Ogos, kami sekeluarga akan berkampung di satu tempat selama sebulan untuk penggambaran program realiti keluarga.

“Konsep program realiti ini lebih kurang seperti program keluarga Kardashian, cuma bezanya ia adalah tentang Che Ta sekeluarga. Buat masa ini, itu sahaja yang boleh saya kongsi, selebihnya, nantikan kemunculan program tersebut di televisyen,” ujarnya menggulung bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post