Izwan Pilus
IZWAN Pilus atau nama sebenarnya, Khairil Izwan Pilus telah pergi menghadap Ilahi pada Januari 2012.
Namun bagi insan yang akrab dengannya, Aril berasa baru semalam dia kehilangan abang yang cukup disayangi.
Ini adalah Ramadan dan Syawal kelima disambut tanpa insan istimewa itu.
Menceritakan tentang Allahyarham Izwan, jelas terpancar keceriaan di wajah Aril. Namun ia tidak bertahan lama apabila rasa sebak yang hadir tidak mampu lagi ditepis.
Bukan tidak reda dengan pemergian tersebut namun kehilangan Allahyarham masih terasa di hatinya.
“Kalau nak cerita tentang arwah tak ada, saya rasa macam baru semalam sahaja dia pergi. Sebab dia masih lagi ada dalam kepala saya. Bukan saya tak reda tapi saya ingat.
“Kami (adik-beradik) hanya berempat dan saya rapat dengan semua tapi paling rapat dengan dialah (Allahyarham Izwan). Sebab saya duduk serumah dengan dia dan bersama dia ketika dia sakit. Semua itu saya ingat... masih ada dalam kepala saya.
“Memang tiap-tiap tahun saya rasa sunyi tanpa dia... dengan perangai dia, keletah dia. Dia memang seorang yang riang, ceriakan suasana kami,” katanya kepada Sinar Online ketika ditemui baru-baru ini.
Pada 20 Januari 2012, penyanyi Kembali Senyum, Izwan menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 6.15 petang di sebuah hospital di Ampang disyaki akibat jangkitan kuman dalam darah.
Mengimbau kenangan bersama Allahyarham abangnya ketika sambutan Aidilfitri, Aril berkata, dia rindukan menu kuah kacang air tangan Allahyarham sendiri.
Bercakap soal persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang, Aril memberitahu masih memikirkan kedua-dua ibu bapa dan adiknya di Melaka yang akan membuat persiapan tanpanya.
“Sekarang pun saya fikir macam mana ibu bapa saya buat persiapan raya. Saya hari raya pertama di rumah mertua, siapa nak tolong ibu bapa saya kan? Kakak saya balik beraya di rumah mertua di Terengganu. Hanya ada adik dan mak ayah.
“Mereka paling tua dalam keluarga dan saudara mara akan datang serbu rumah... ramai, jadi, saya asyik fikir bagaimana...tapi saya akan fikirkan sesuatu untuk bantu mak ayah saya,” katanya.
Sementara itu, Aril yang sedang menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu, dia menerima tawaran belajar itu demi Allahyarham abangnya itu.
“Sambung belajar di UUM ini pun...arwah abang saya belajar di sana dulu. Abang pernah cakap, kalau boleh belajar, pergi belajar. Jangan berhenti. Jadi, di sinilah (UUM) saya,” katanya.
Aril turut melahirkan rasa teruja menyambut Aidilfitri pertama bersama anak sulungnya, Tun Adriel Mikael yang lahir pada 24 November lalu dan kebetulan berkongsi tarikh kelahiran sama dengan Allahyarham abangnya itu.