Keluarga kini keutamaan Alyah


SELEPAS 16 tahun bergelumang dengan industri hiburan, plantun lagu Tak Mungkin Kerana Sayang, Alyah menyuarakan hasrat untuk memperlahankan aktiviti seninya tahun hadapan.

Menurut Alyah, perancangan untuk memperlahankan karier seninya itu sudah lama difikirkannya, namun rezeki dalam bidang ini tidak pernah putus malah semakin melimpah ruah walaupun selepas bergelar isteri.

"Saya merancang tapi ALLAH tentukan, sebenarnya dah lama rancang, lepas dah kahwin tapi semakin rancak pula namun kali ini serius, saya cadang untuk perlahankan karier," katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, baru-baru ini.

Rutin menjadi artis yang sentiasa sibuk menyebabkan Alyah nekad untuk mula menumpukan perhatian kepada keluarga yang terpaksa diabaikannya selama ini.

"Dah 16 tahun saya abaikan keluarga, tak balik puasa, raya, kenduri. Jadi selepas berkahwin tiba masanya saya perlu tumpukan perhatian kepada kehidupan.

"Usia mencecah 36 tahun, jadi saya rasa inilah masanya saya akan luangkan masa untuk diri sendiri dan keluarga," katanya lagi.

Ujarnya Alyah, kerana perancangannya itu jugalah menyebabkan dia sibuk melakukan semua aktiviti dan bekerja sehabis mungkin pada tahun ini.

Kehidupan selepas berkahwin

Ditanya mengenai kehidupan selepas berkahwin, isteri kepada komposer terkenal Datuk Ramli MS itu berkata, kehidupannya kini semakin baik dan sudah tentunya semakin bahagia.

"Saya sentiasa berdoa yang terbaik dan belajar banyak benda malah sekarang saya lebih mengenali suami.

"Yela, semasa berkahwin mungkin kita berasa sudah mengenali namun sebenarnya tidak. Perkahwinan itu adalah permulaan untuk mengenali pasangan," katanya.

Tidak mempedulikan apa yang diperkatakan orang terhadapnya, Alyah menganggap rahmat yang diperolehnya hanya dia sahaja yang tahu.

"Apa yang orang nak kata, nak sindir, rahmat ALLAH itu saya sahaja yang mengetahui. Alhamdulilah saya sangat gembira dan berharap ia berkekalan sehingga hujung nyawa," tuturnya jujur.

Menurutnya kontroversi yang pernah melandanya satu ketika dahulu mematangkannya malah lebih mengenali orang yang berada disekeliling.

"Apabila sesuatu terjadi, saya lebih mengenali orang di sekeliling dan itu perkara yang penting kerana selama ini saya tidak nampak itu semua memadangkan saya bukanlah jenis orang yang ambil tahu hal orang.

"Jadi apa sahaja yang berlaku, saya perlu telan sendiri sebagai seorang wanita," katanya.

Keluar produk lipstik

Berkongsi perkembangan terkini, penyanyi berbakat besar itu berkata, dia kini sibuk mempromosikan produk kosmetiknya Lerve Lipstik yang mendapat permintaan yang amat memberangsangkan.

"Lerve Lipstik sebelum ini dijual secara dalam talian yang diusahakan bersama dua rakan kongsinya malah lebih 10 ribu lipstik habis dijual dalam masa hanya dua minggu," katanya yang turut melancarkan single terbaharunya "Engkau Milikku'.

Post a Comment

Previous Post Next Post