
MENGHIMPUNKAN sebanyak lapan buah lagu yang menjadi filem AADC2, album tersebut sudah pun berada di pasaran negara ini sejak awal Mei lalu termasuk single Ratusan Purnama duet Melly dan Marthino (kanan).
BAGI sesebuah filem, lagu-lagu yang menjadi runut bunyi sebenarnya menjadi kekuatan atau tulang belakang untuk ia diterima peminat. Seiring populariti dan fenomena yang dicipta menerusi filem ikonik remaja Ada Apa Dengan Cinta, lagu-lagu tema filem itu menjadi penguat untuk ia digilai ramai anak remaja khususnya.
Selamat dilancarkan baru-baru ini, album runut bunyi asli filem Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) mengandungi lapan buah lagu iaitu Ratusan Purnama, Jangan Ajak-ajak Dia, Sayang Mau Apa, Terlalu Cinta, I’m Still Loving You, Bimbang, Perjalanan dan Suara Hati Seorang Kekasih.
“Sejujurnya saya juga tidak menyangka akan diberi kepercayaan sekali lagi untuk menyanyikan lagu runut bunyi sekuel AADC2. Semuanya berlaku tanpa perancangan sama seperti filemnya. Tetapi, ia satu penghargaan yang besar buat saya apabila diberi tugasan seperti ini,” ujar Melly membuka perbualan sewaktu ditemui pada majlis pelancaran album runut bunyi filem AADC2 di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Namun begitu, biarpun sekuel yang diterajui Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra itu mencipta fenomena tersendiri sama seperti filem terdahulu, tetap muncul perbandingan yang mendakwa lagu-lagu dalam AADC2 kurang berhantu berbanding AADC.
Bagaimanapun, Melly sentiasa optimis. Bagi komposer dan penyanyi itu, muzik bersifat universal dan setiap orang mempunyai penilaian yang berbeza-beza untuk memahami seni di sebalik muzik.
“Seni itu luas, begitu juga dengan muzik. Muzik itu tidak mewakili bahasa, kaum atau mana-mana negara. Ia milik semua. Jadi, tidak perlu dibangkitkan soal perbezaan kekuatan lagu-lagu runut bunyi filem AADC2 kerana bagi saya, semua orang mempunyai penilaian yang berbeza-beza terhadap muzik yang didengar.
“Cukup jika saya katakan, kami berpuas hati dengan pembikinan album ini, itu sudah memadai,” ujarnya yang mengambil masa selama satu jam untuk merakamkan lagu Ratusan Purnama.
Bukan Melly Goeslaw jika tidak membawa penyanyi lelaki dalam kebanyakan lagu-lagunya. Menyentuh tentang pemilihan penyanyi Marthino Lio, Melly berkata, dia suka memberi peluang kepada orang baharu untuk menonjolkan bakat.

DIBERI kepercayaan mencipta album runut bunyi untuk kedua-dua buah filem Ada Apa Dengan Cinta, Melly Goeslaw dan suaminya, Anto Hoed menyifatkan ia sebagai satu penghargaan buat karier mereka.
“Saya dan Anto sudah membina sebuah istana. Tetapi, ia lebih bagus jika istana itu dibuka kepada orang baharu seperti Marthino. Sebagai artis, kami sangat terbuka untuk memberi peluang kepada muka baharu dalam industri.
“Sebenarnya bakat dia dikesan semasa kami membuat sesi uji bakat mencari penyanyi lelaki bagi lagu Ratusan Purnama. Menerima sebanyak 1,000 penyertaan daripada banyak negara seperti Singapura, Brunei dan Malaysia.
“Tetapi, kebanyakan peserta menyanyi lagu Inggeris kecuali Marthino yang menghantar rakaman suaranya menyanyikan lagu Indonesia ciptaan sendiri. Kemudian saya kaji karakter Lio dan ternyata dialah penyanyi yang sesuai dengan lagu ini,” ceritanya.
Bagi Anto pula, pada awalnya memang agak berat untuk memikirkan konsep dan lirik lagu yang sesuai dengan jalan cerita AADC2. Tetapi, perkara pertama yang dilakukannya adalah menilai perubahan dan kedewasaan filem dan watak utama filem itu iaitu Rangga dan Cinta.
“Semuanya perlu berubah, dari segi konsep, jalan cerita dan kematangan filem serta perwatakan Rangga dan Cinta selepas 14 tahun. Jadi, lagu temanya juga perlu dewasa tapi tidak boleh terlalu tua untuk menggambarkan kisah cinta mereka.
“Apa yang penting, kami perlu mendalami banyak karakter dari sudut watak Rangga dan Cinta sebelum mencipta lagu tema AADC2 sesuai dengan kedewasaan filem itu sendiri,” katanya sambil menambah dia dan Melly mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan lagu-lagu tema AADC2.
Kata Anto, biarpun bergelar suami isteri, namun dalam konteks karier mereka adalah rakan kerja. Maka, seperti orang lain mereka juga tidak terlepas daripada perbalahan.
“Ironinya, kami jarang bekerjasama. Selalunya saya akan menyiapkan susunan muzik terlebih dahulu sebelum diberikan kepada Melly. Jadi dari situ akan timbul sedikit percanggahan dari segi idea. Tetapi, perbalahan itu perlu sebab ia menyedarkan kami tentang banyak kekurangan yang perlu diperbaiki dalam sesebuah karya,” tutupnya.