Hikmah restoran Nik Michael ditutup


Nik Michael

JIKA diaju persoalan perbezaan antara Ramadan tahun lalu dan tahun ini, pastinya setiap orang mempunyai lembaran kisah tersendiri.

Begitu juga kisahnya dalam hidup cef selebriti Nik Michael Imran. Baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan si manis pilihan hati, Siti Nadiah Shahril sejak enam bulan lalu, kehidupan Nik kini sedang berada dalam fasa bahagia.

Pun begitu, lumrah hidup manusia tidak pernah lari daripada ujian. Pada bulan Februari lalu, restoran milik Nik bernama Picnik yang beroperasi di Publika, Kuala Lumpur sejak tiga tahun lalu terpaksa ditutup.

Bertemu dengan lelaki berusia 27 tahun ini semasa sidang akhbar program Ramadan RTM di Wisma TV, Angkasapuri Kuala Lumpur baru-baru ini, Nik tenang membuka cerita tentang penutupan restorannya itu.

Menganggap setiap yang berlaku mempunyai hikmah, Nik bagaimanapun memberitahu Ramadan tahun ini dia berazam untuk menunaikan solat tarawih kerana tidak terikat dengan komitmen restoran lagi.

KOSMO!: Boleh kongsikan program Ramadan Nik bersama RTM?

Nik Michael: Program saya bertajuk Kuih Raya Nik Michael yang akan bersiaran di saluran TVi, RTM. Ia akan ditayangkan setiap Isnin hingga Ahad pada pukul 10 pagi. Bagaimanapun, rancangan ini akan mula ditayangkan pada 24 Jun nanti iaitu ketika 12 hari terakhir Ramadan.

Boleh jelaskan tentang rancangan Kuih Raya Nik Michael ini?

Rancangan ini diterbitkan oleh Mahligai Seri Emas Sdn. Bhd. Ia merupakan rancangan yang menarik kerana saya akan melawat ke kawasan kampung seperti Sabak Bernam, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Dalam rancangan ini, saya mempelajari cara membuat kuih raya tradisional antaranya lidah kucing dan bahulu bakar. Selain itu, terdapat juga kuih raya moden yang akan dipaparkan.

Sebenarnya, saya memang sudah lama terfikir untuk mempelajari cara masakan tradisional masyarakat Melayu kerana sebelum ini cuma mempelajari masakan daripada luar negara sahaja.

Bagaimana pula dengan Ramadan anda pada tahun ini setelah mendirikan rumah tangga?

Alhamdulillah, selepas enam bulan berkahwin, saya dan isteri masih menyesuaikan diri dengan kehidupan rumah tangga.

Sebenarnya, perbezaan paling besar untuk saya Ramadan tahun ini bukanlah kerana sudah berkahwin, tetapi kerana restoran saya, Picnik di Publika sudah ditutup dan saya boleh menunaikan solat Tarawih pada tahun ini.

Saya tidak dapat menunaikannya pada tahun-tahun sebelum ini kerana sangat sibuk menguruskan restoran.

Bilakah restoran anda ditutup dan mengapa anda mengambil keputusan untuk menutupnya?

Picnik ditutup pada bulan Februari lalu kerana kedatangan pengunjung yang tidak berapa memberangsangkan.

Boleh dikatakan hampir 80 peratus pelanggan yang datang ke restoran saya adalah pengunjung tetap dan kebiasaannya mereka cuma datang sekali dalam seminggu.

Daripada saya terpaksa membayar kos yang tinggi, jadi saya mengambil keputusan untuk menutupnya dan fokus terhadap perniagaan katering juga di bawah nama Picnik. Katering ialah perniagaan utama saya sejak dari dahulu.

Apabila sudah ditutup, bagaimana dengan pelanggan tetap anda yang lain?

Sebenarnya, saya sedang dalam perancangan untuk membuka sebuah restoran baharu. Mungkin ia akan dibuka pada pertengahan Ramadan ini.

Apakah perbezaan antara restoran Picnik yang lama dan restoran yang bakal anda buka nanti?

Dalam restoran baharu nanti, pelanggan masih akan dapat menikmati menu yang sama seperti di Picnik, bagaimanapun saya akan menjualnya dengan harga yang lebih murah.

Walaupun Picnik ditutup, tetapi saya masih mengekalkan kumpulan yang terlibat dalam penyediaan makanan di restoran baharu itu nanti kerana masing-masing telah mempunyai kepakaran memasak pelbagai jenis masakan seperti masakan Itali, Perancis, Korea dan Jepun.

Post a Comment

Previous Post Next Post