Dunia baharu Akim Ahmad, Stacy Anam


TAHUN ini ada banyak peristiwa besar dan menarik yang dijalani bersama oleh penyanyi dengan nama pentas Akim dan Stacy. Bernikah pada 5 Februari lalu, pasangan penyanyi popular itu kini menikmati fasa kehidupan menjadi suami isteri yang barangkali lebih mengujakan berbanding pasangan lain.

Hal ini kerana, selepas beberapa tahun menyulam cinta dengan perbezaan agama antara Akim dan Stacy, kini selepas wanita itu memeluk Islam dan memilih nama Ummu Syaikhah Stacy Anam. Menjadi saudara baharu, Stacy masih bertatih untuk menjadi seorang Muslimah terbaik.

Lebih menarik, tahun ini dia menjalani ibadah puasa buat kali pertama.

“Saya pernah mencuba untuk berpuasa pada tahun lalu namun tetapi selepas dua hari secara tiba-tiba saya mengalami demam dan jatuh sakit kerana tidak tahan penat.

“Saya akui, pada awalnya agak sukar juga untuk berpuasa kerana mudah berasa letih selain sering mengomel menunggu waktu berbuka apatah lagi perkara itu tidak pernah dilakukan sebelum ini,” tutur Stacy sambil melemparkan pandangannya kepada suami tercinta.

Bercerita tentang persediaannya untuk berpuasa, Stacy mengakui dia berasa teruja untuk menjalani ibadah puasa jika dibandingkan dengan kemeriahan sambutan Aidilfitri kelak.

Pastinya Stacy memerlukan sokongan daripada suami sebagai penguat semangat untuk dia terus cekal menjalani ibadah puasa dengan penuh istiqamah dalam melunaskan tanggungjawab sebagai umat Islam.

“Disebabkan saya merupakan individu paling dekat dengan dia (Stacy), pastinya sebagai suami tanggungjawab membimbing isteri itu terlepas kepada bahu saya.

“Insya-Allah saya akan memberi sokongan dan galakkan agar dia memperbanyakkan bersabar sepanjang menjalani ibadah puasa yang pastinya satu perkara baharu dalam hidupnya,” ujar Akim sambil menggengam erat tangan isterinya.

Bagaimanapun, bermula pertengahan Ramadan kelak, Stacy akan menjalani ibadah puasa sendirian, malah dia juga akan menyambut 1 Syawal tanpa Akim di sisinya.


TUNAIKAN UMRAH Stacy akan menyambut hari raya pertama tanpa kehadiran suami di sisi berikutan pada 15 Ramadan sehingga 1 Syawal, Akim akan berangkat ke tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah.

Hal ini kerana, penyanyi itu akan berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah pada Ramadan ke-15 dan masih berada di Mekah pada saat Aidilfitri diraikan.

Sementara itu, ditanya bagaimana mereka menjalani kehidupan suami isteri selepas lebih empat bulan hidup bersama, Akim tanpa berselindung memberitahu sebagai manusia biasa yang baru berkongsi segala perkara, ada kalanya tercetus perbalahan.

Pergaduhan kecil itu pasti terjadi kerana lumrah asam garam menempuh gerbang perkahwinan. Namun, tidak seperti ‘perang emosi’ saat bercinta kerana akuinya, setiap kali bergeser tentang sesuatu perkara, mereka tidak mengambil masa lama untuk menjernihkan semula hubungan.

Kerja bersama

“Disebabkan kami bekerja dalam satu aliran yang sama, kadangkala perselisihan faham terjadi kerana berlaku percanggahan pendapat kerana genre muzik masing-masing berbeza.

“Bagaimanapun kami tidak mengambil masa yang lama untuk merajuk kerana apabila bergelar suami isteri, status itu sendiri memainkan peranan penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga,” kata Akim optimis.

Perkara sama turut dirasai oleh Stacy kerana sebagai isteri, sifat sabar amat penting selain amalan saling bertolak ansur umpama pepatah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Demi menjaga keharmonian rumah tangga juga, Akim sanggup menaikkan berat badannya demi menjaga nama baik Stacy .

“Saya sanggup menaikkan berat badan kerana enggan membiarkan orang berpendapat bahawa isteri saya tidak pandai menjaga suami. Jadi biarlah dia merasa mendapat pujian,” ujar Akim sambil ketawa.


ERAT Kehadiran Bella selaku cahaya mata sulung buat pasangan Akim dan Stacy sekali gus menjadi pengikat dan mematangkan kedua-dua dalam menempuh alam perkahwinan.

Bahagia melayari bahtera perkahwinan, selain masih belajar menyesuaikan banyak perkara untuk dikongsi bersama, pasangan kelahiran program realiti Akademik Fantasia itu tidak menafikan rezeki semakin bertambah selepas berkahwin.

Salah satunya adalah dilantik sebagai duta coklat terkenal, Kit Kat.

Percaya dengan kehebatan empayar produk makanan tersebut, Akim tanpa rasa sangsi menerima tawaran tersebut dengan hati terbuka kerana paling penting suri hidupnya turut bersama.

Biarpun gembira melihat kehadiran isteri di sisi, Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad tidak menjadikan itu sebagai satu kewajipan buat pengusaha produk mengambil mereka sebagai jurucakap.

“Sejak kecil saya sememangnya merupakan penggemar Kit Kat kerana keenakan rasa coklat yang tidak pernah berubah itu menjadi saya sukar untuk melepaskan tawaran ini.

“Tambahan, tawaran ini turut melibatkan isteri saya namun, segalanya berlaku bukan atas permintaan kami sebaliknya itu semua adalah rezeki bersama,” tutur lelaki kelahiran Johor Bahru itu.

Akim dan Stacy kemudian sengaja ditanya mengenai anak angkat mereka, Bella Velentina. Adakah si petah yang kini berusia lima tahun itu dibenarkan untuk mengikut jejak langkah mereka dalam dunia seni.

Saling melepaskan ketawa kecil, baik Akim mahupun Stacy kedua-duanya tidak meletakkan sebarang halangan terhadap sebarang keputusan buat permata hati mereka sama ada ingin bergelumang dengan industri hiburan atau tidak.

“Secara peribadi saya tidak mahu terlampau memberi pendedahan kepada Bella kerana bimbang sekiranya dia berasa kurang senang dengan situasi apabila sering menjadi tumpuan kamera.

“Tetapi ada waktunya, Bella seperti faham akan kerjaya kami dan meminta kebenaran untuk bekerja kerana sebelum ini dia pernah terlibat dalam sesi penggambaran lagu kanak-kanak Didi and Friends pada tahun lalu,” jelas Akim bersungguh-sungguh membicarakan perihal puteri kesayangannya itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post