Ruminah Sidek gembira bergelar penoreh getah


Ruminah SIDEK atau Mak Mah bahagia menjalani kehidupan di luar dunia hiburan. Dia berbangga kerana telah dua tahun menoreh getah di ladang milik suaminya, Al Fatah.

SIAPA tidak mengenali wanita yang terkenal dengan panggilan Mak Mah atau nama lengkapnya Ruminah Sidek. Pasti perkara pertama terlintas dalam fikiran ialah watak lakonan sebagai Cik Normah menerusi filem Anak Bapak.

Ibu kepada aktor Adlin Aman Ramli itu tidak menafikan bahawa dia kini bahagia menyulam cinta di samping suami, Al Fatah Rahim Ismail, 73, yang dikahwini lebih dua tahun lalu.

Teruja berkongsi pengalamannya menoreh getah bersama suami, Mak Mah tidak menjadikan gelaran sebagai penoreh satu beban dan mahupun malu dengan ‘kerjaya’ baharunya itu.

Meskipun usianya telah menjangkau 70 tahun, namun tidak pernah Mah Mah mengeluh mahupun menolak permintaan suami untuk turut serta bersama-sama menyempurnakan tugas tersebut, sekali gus menguruskan sendiri ladang milik mereka.

KOSMO!: Lama tidak melihat kemunculan Mak Mah di kaca televisyen. Apa khabar sekarang?

RUMINAH SIDEK: Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan sihat sahaja tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan. Jika ada pun batuk sekali-sekala kerana gemar meminum ais.

Jika tidak keberatan boleh kongsikan aktiviti Mak Mah sekarang?

Seandainya tidak terlibat dengan sesi penggambaran, saya akan mengikut suami menguruskan ladang getah kami sendiri di Felda Jelai, Negeri Sembilan. Tugas menoreh getah bermula pukul 6.30 pagi. Selepas menunaikan solat subuh di masjid dan tadarus kami akan keluar menaiki kereta terus ke ladang dan berada di sana sehingga pukul 9.30 pagi.

Boleh kongsikan pengalaman Mak Mah sebagai penoreh getah?

Pada awalnya agak sukar kerana tidak pandai untuk menoreh dan hanya menemani suami serta melihat sahaja apa yang dia lakukan. Setelah hampir tiga bulan jadi pemerhati, saya mula menyuarakan hasrat kepada suami untuk membantunya bersama-sama menoreh getah. Ketika itu agak berat untuk suami melepaskan tanggungjawab sebagai penoreh getah kepada saya tetapi selepas menunjukkan kesungguhan dan menangis (ketawa), dia mula beri keizinan.

Alhamdulillah, sekarang tanpa disedari telah hampir dua tahun saya bergelar penoreh getah.

Memandangkan usia Mak Mah kini telah menjangkau 70 tahun, tidakkah terfikir di usia sebegitu seharusnya menghabiskan masa dengan berehat di rumah berbanding bersusah payah menguruskan ladang?

Mengapa pula harus berehat sekiranya masih punya kudrat untuk melakukan pekerjaan.

Saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana mengurniakan kesihatan yang baik meskipun pada usia tua.

Bagi saya tiada salahnya kerana secara tidak langsung ia merupakan usaha dalam mencari rezeki halal untuk meneruskan kelangsungan hidup. Paling penting, saya suka dan berasa gembira melakukan tugas sebagai penoreh getah.

Adakah Mak Mah kini memilih untuk meninggalkan bidang lakonan demi menumpukan sepenuh perhatian kepada pengurusan ladang getah?

Pastinya tidak kerana dunia lakonan telah sebati dengan jiwa saya sejak lebih lima dekad lalu. Mengapa perlu ditinggalkan. Jika ada tawaran berlakon, insya-Allah saya akan terima dan melakukannya. Biarpun sibuk menguruskan ladang, itu bukan masalah untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon.

Tidakkah Mak Mah berasa penat melakukan dua pekerjaan dalam satu waktu pada bulan Ramadan?

Kerja itu juga ibadah. Sejujurnya saya tidak berasa penat melakukan pekerjaan tersebut. Seandainya sudah tiada daya suatu hari nanti, sanggup saya merangkak untuk pergi ke kebun (ketawa). Tidak ada penatnya kerana berpuasa itu wajib, jadi sebagai umat Islam kita perlu menyempurnakannya tanpa sebarang rungutan.

Bagaimanakah persiapan Mak Mah terutama berkaitan penyediaan makanan buat suami?

Saya berasa amat bersyukur kerana dijodohkan dengan lelaki yang pandai masak. Masuk sahaja ke dapur sudah tahu apa yang perlu dilakukan tanpa berfikir panjang. Selalunya suami tidak akan membenarkan saya masak kerana dia akan membeli juadah berbuka di bazar ataupun kami saling membantu menyediakan menu sendiri.

Post a Comment

Previous Post Next Post