Ritma positif kerjaya Siti Elizad


KEGEMARAN - Biskut semperit merupakan kegemaran Elizad dan pastinya menjadi suatu hidangan wajib bagi menyambut lebaran.

SIAPA sangka gelora jiwa yang meronta ingin melakukan sesuatu perkara yang baharu nyata membawa tuah, sekali gus menukar graf agenda kerjaya seninya dengan limpahan tawaran lakonan.

Menyertai program nyanyian Gempak Superstar tidak hanya memberi pengalaman berbeza buat pelakon Siti Elizad Mohd. Sharifuddin tetapi meraih pulangan berganda apabila dia turut merangkul gelaran juara.

Selain keluarga dan kenalan rapat, Elizad turut meraikan hadiah kemenangan tersebut bersama sekumpulan anak yatim yang menjadi tempat pelakon drama Teman Lelaki Upahan itu bertukar pengalaman suka dukanya.

Kehilangan ibu tercinta, Nazariah Mohd. Salleh sejak tiga tahun lalu banyak mengubah layar hidup wanita berusia 33 tahun itu. Biarpun Elizad masih mampu tersenyum saat ditemu bual, namun air mata mula bertakung di matanya saat berbicara tentang wanita bergelar ibu.

Menahan sebak saat berkongsi cerita, Elizad masih dapat mengimbau semula kenangan ketika wanita tersebut berada di bawah jagaannya akibat menghidapi penyakit Parkinson.

“Meskipun telah hampir tiga tahun ibu pergi, saya tetap merasakan dia masih berada di sisi pada setiap saat nafas di hela. Ketika dia terlantar sakit di hospital, segalanya kekal dalam ingatan terutama saat ingin memandikan dan menyiapkan ibu.

“Disebabkan rasa kehilangan itu, saya kerap menghabiskan masa dengan anak-anak yatim kerana nasib kami hampir serupa, bahkan lebih menyedihkan ada antara mereka hilang tempat bergantung pada usia yang masih muda,” tutur Elizad dalam nada hiba.

Menghela nafas seketika, bibirnya pantas meluncurkan kata dengan berkongsi pengalaman menyambut Ramadan bersama anak-anak yatim dari Rumah Baitul Izzah di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Biarpun sibuk dengan urusan kerja, Elizad tetap berusaha mencuri masa agar dapat berpeluang menghabiskan masa dengan kira-kira 13 orang penghuni rumah anak yatim tersebut, sekali gus menyediakan kelengkapan mereka untuk menyambut Aidilfitri.

“Sejujurnya sewaktu menyertai program Gempak Superstar, saya ada memasang niat untuk membeli kelengkapan raya buat mereka jika bergelar juara.

“Alhamdulillah sudah rezeki saya memenangi pertandingan tersebut dan sekarang mereka mula menuntut janji termasuk ada yang telah memberitahu saiz baju dan kelengkapan apa yang diinginkan,” ujar Elizad bersungguh-sungguh sambil melepaskan ketawa kecil.

Zuriat

Dalam leka menghabiskan masa bersama anak-anak yatim, Elizad turut tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada dua orang cahaya mata. Walaupun berstatus ibu tiri, Elizad tetap menatang zuriat hasil perkahwinan pertama suaminya, Shamsul Baharin Rahman seperti anak sendiri.

Mengakui gemar melayan telatah kanak-kanak, Elizad tidak kekok menjalankan peranan sebagai ibu kepada dua anak tirinya terutama dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Baginya, kemeriahan menyambut Syawal lebih dirasai oleh golongan kanak-kanak berbanding dewasa kerana berpeluang mengumpul duit raya dan mengenakan pakaian serba baharu.

“Disebabkan saya kerap menghabiskan masa bersama anak saudara, jadi tiada masalah untuk menjaga anak suami, sementelah kedua-duanya sudah besar.

“Tambahan dengan sikap saya yang gemarkan kanak-kanak menjadikan hubungan kami cepat mesra dan mudah untuk melaksanakan tugas sebagai ibu,” tuturnya ceria.

Teruja berkongsi kisah pengalaman bergelar ibu, hati Elizad tetap terusik saat diajukan soalan tentang kesediaannya menimang cahaya mata sebagai pelengkap keluarga.

Menjadi impian buat setiap pasangan berumah tangga, Elizad memberitahu, dia kini menjalani rawatan dan pemeriksaan berkala setiap minggu bagi menilai tahap kesihatannya.

“Disebabkan sebelum ini saya pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam rahim, jadi doktor menasihatkan agar lebih prihatin dalam soal penjagaan kesihatan termasuk diminta membuat pemeriksaan secara berkala.

“Pastinya saya punya keinginan mempunyai zuriat sendiri tetapi segalanya bergantung pada rezeki Tuhan,” ujar Elizad yang mengharapkan agar dikurniakan cahaya mata secepat mungkin.

Cabaran

Biarpun masih belum mempunyai zuriat sendiri, perkara itu tidak membataskan Elizad dalam menterjemahkan karakter Shila yang merupakan isteri kepada Adam lakonan Adi Putra dan ibu kepada tiga orang cahaya mata menerusi drama popular Lambaian Ramadan.

Menjalani kehidupan sebagai keluarga bahagia, derita menerpa hidupnya tatkala anak perempuannya, Nurin (Puteri Balqis) menghidap penyakit leukemia dan pada masa sama perlu berdepan dengan wanita yang ingin merebut suaminya.

Drama arahan Along Kamaludin itu banyak mencabar emosi Elizad terutama saat ingin membawa penonton sama-sama merasai gelora jiwa Shila yang mempunyai seorang anak menghidap penyakit kronik.

Sesuatu yang baharu dalam portfolio seninya, Elizad mengakui dia menerima watak tersebut kerana ingin mempelbagaikan karakter serta keluar daripada zon selesa.

“Pertama kali saya bersetuju dan menerima watak sebagai ibu kerana ia merupakan satu tugas besar serta mencabar kredibiliti dalam menterjemahkan karakter agar kelihatan lebih dramatik.

“Watak sebagai ibu merupakan sesuatu yang baharu dalam perjalanan seni saya, sekali gus memerlukan kajian dalam menzahirkan karakter itu secara semula jadi agar naskhah tersebut dapat memberi kesan mendalam kepada penonton,” ujarnya menutup bicara.

Diterbitkan A. Aida Production Sdn. Bhd., drama yang bersiaran menerusi slot Samarinda itu turut dibintangi oleh Reen Rahim, Muntazar Ghufran, Izz Ilham, Kismah Johar dan Qazim Nor.

Post a Comment

Previous Post Next Post