Eina Azman Raya pertama sebagai ibu


BIARPUN pertama kali menyambut Aidilfitri bersama anak-anak, namun bagi pelakon tinggi lampai, Datin Eina Azman hanya membuat persiapan sederhana.

Mereka sekeluarga akan menyambut hari raya di Kuala Lumpur dan berkemungkinan akan pergi bercuti.

"Walaupun pertama kali menyambut raya bersama anak-anak, saya cuma buat persiapan biasa sahaja.

"Bagaimanapun tidak dinafikan keterujaan menyambut raya itu berbeza.

"Saya juga sudah sediakan baju untuk anak-anak lima pasang dan sedondon,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 21, menambah, kehadiran dua cahaya mata kembar, hidupnya banyak berubah dan bertuah kerana mempunyai pembantu rumah yang membantu menjaga anak.

"Saya tidak mahu berpura-pura dengan mengatakan saya mampu menjaga anak, padahal pada hakikatnya saya memang tidak mampu.

"Lagipun menjaga anak kembar tidak semudah disangka. Bagaimanapun saya tidaklah melepaskan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada pembantu rumah," ujar ibu kepada Karl Kareef dan Arianna Aubrey ini.

Eina berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden, 37, pada 31 Ogos 2014.

Syawal tahun ini akan disambut ceria dengan kehadiran Karl dan Arianna dan persiapan lebih kepada mereka berbanding dirinya sendiri.

Dalam perkembangan lain, Eina akan kembali aktif sebagai pelakon bermula penghujung tahun ini dan memberitahu sudah pun menerima beberapa tawaran berlakon.

Bagaimanapun dia belum bersedia berkongsi dengan lebih lanjut mengenai tawaran tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post