Julia Ziegler bakal tamat zaman bujang


PELAKON jelita, Julia Ziegler memerlukan masa mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal sebelum mendirikan rumah tangga.

Jika sebelum ini pelakon jelita, Julia Ziegler cukup hangat dengan pelbagai cerita kontroversi. Menyentuh mengenai soal hati, wanita bernama Julia Bob Fauzi Ziegler ini, bijak menyimpan dengan rapi tanpa dihidu mana-mana pihak.

Tanpa sebarang cerita cinta, tiba-tiba sahaja wanita berusia 32 tahun ini mendedahkan dia bakal menamatkan zaman bujang bersama jejaka pilihan hati tidak lama lagi.

Lelaki pilihannya bukanlah dalam kalangan orang seni, sebaliknya seorang jurutera mekanikal dikenali sebagai Johan berusia 33 tahun.

Mereka dijangka bakal mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, sehingga kini pasangan tersebut masih belum menetapkan sebarang tarikh muktamad untuk melangsungkan hari bahagia mereka.

KOSMO!: Lama tidak mendengar khabar Julia. Bagaimana perkembangan terkini anda sepanjang bulan Ramadan?

Julia: Alhamdulillah saya baik-baik sahaja. Sepanjang Ramadan, saya memang tidak mengambil sebarang tawaran kerja kerana ingin berehat. Lagipun bulan puasa bukan datang selalu, jadi inilah peluang terbaik untuk fokus kepada ibadah.

Insya-Allah, selepas raya barulah saya kembali bekerja. Setakat ini, saya ada menerima tawaran untuk sebuah program realiti tetapi maklumat lanjut mengenai perkara itu tidak boleh didedahkan buat masa sekarang.

Bagaimana pula dengan sambutan Aidilfitri tahun ini?

Persiapan raya dilakukan secara sederhana sahaja. Sejujurnya, saya tidaklah terlalu teruja untuk menyambut raya. Mungkin kerana situasi banyak berubah dari segi bilangan ahli keluarga dan faktor usia. Sebenarnya, sejak kematian beberapa ahli keluarga pada tahun lalu, ia membuatkan perasaan seronok semakin hilang.

Tambahan pula, tahun ini kakak-kakak saya semuanya beraya bersama keluarga sebelah suami. Oleh itu, hanya saya bersama kedua ibu bapa yang tinggal, sebab itu rasa agak kosong untuk menyambut raya tahun ini.

Kemungkinan kekosongan itu akan terisi, sementelah anda bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi?

Betul, saya tidak sorok tentang perkara itu. Insya-Allah, jika tiada aral melintang kami merancang untuk mendirikan rumah tangga.

Cuma masih belum ada sebarang perbincangan muktamad tentang tarikh. Kalau boleh, biarlah pihak lelaki memutuskan soal itu sebab kurang manis jika saya yang cakap lebih.

Jika tiada aral melintang, kemungkinan kami akan melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun ini. Namun, perkahwinan bukan perkara mainan atau mudah.

Saya perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. Bukan takut tetapi berdasarkan pengalaman yang saya lihat daripada orang sekeliling, rasanya lebih baik bersedia dari awal supaya tidak kelam-kabut kemudian hari.

Jika tidak keberatan boleh anda ceritakan tentang perkenalan kalian dan apa yang membuatkan anda terpikat kepadanya?

Bakal suami merupakan seorang jurutera mekanikal dan usianya setahun lebih tua daripada saya. Kami sudah berkenalan selama enam bulan.

Saya tertarik padanya kerana sikapnya yang memahami serta mampu membimbing ke arah kebaikan. Saya akui, sebelum ini pernah berasa putus asa dalam soal cinta dan perkahwinan sehinggakan wujud perasaan tidak mahu berkahwin.

Bagaimanapun, kuasa Allah, siapa boleh menduga. Setakat ini, dia mampu mengawal sikap saya daripada seorang yang kelam-kabut menjadi terurus. Secara tidak langsung perkara tersebut telah membuka hati saya untuk menerimanya dalam hidup.

Post a Comment

Previous Post Next Post