Datuk Aznil Nawawi bersama alumni persatuan PRS membawa 150 orang anak-anak fitrah dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih untuk membeli-belah di Tesco Extra, Mutiara Damansara sempena sambutan Hari Raya.
Pengacara Datuk Aznil Nawawi meluahkan harapan agar silaturrahim sesama adik-beradiknya akan lebih erat selepas pemergian ibu mereka Norbaiti Surur, 90, pada Isnin lalu.
Aznil, 54, berkata, sekalipun dia masih bersedih dan hiba atas kehilangan itu, namun ia bukanlah alasan untuk dia terus meratapi pemergian bondanya yang disifatkan satu kehilangan besar dalam hidupnya.
"Isnin lepas merupakan episod paling hiba dalam hidup saya atas pemergian bonda tercinta.
"Lebih sayu, tanggal 7 Julai depan (Raya Kedua), arwah ibu akan menyambut hari lahirnya yang ke-90 dan kami adik-beradik telah merancang untuk meraikannya pada malam sebelum tiba tarikh tersebut,” katanya kepada mStar Online.
Aznil ditemui pada sesi memilih pakaian Hari Raya bersama 150 pelajar dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) dengan kerjasama pasar raya TESCO Extra, Mutiara Damansara, di sini, Selasa.
Aznil Nawawi bersama alumni persatuan PRS melayan kanak-kanak fitrah dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih membeli-belah di Tesco Extra, Mutiara Damansara sempena sambutan Hari Raya.
Allahyarham Norbaiti meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court dekat sini kira-kira pukul 12.56 pagi Isnin lalu akibat sakit tua.
Aznil berkata, Allah lebih sayangkan ibunya kerana dia ‘dijemput’ pada tanggal 10 terakhir Ramadan yang disifatkannya sebagai insan terpilih untuk ‘pergi’ pada waktu yang dianggap baik.
“Dengan pemergian ibu juga, besar harapan saya agar kami adik-beradik akan lebih bersatu, lebih menyanyangi dan lebih menghargai antara satu sama lain selepas ini.
"Saya percaya ini juga harapan arwah sebelum dia pejamkan mata selama-lamanya,” ujar Aznil sebak.
Dalam perkembangan yang sama, Aznil turut meluahkan rasa leganya kerana arwah ibu sempat melihat perjalanan kerjaya seninya yang berkembang positif namun sedikit terkilan kerana arwah tidak sempat melihat cicitnya membesar.
“Saya tidak tahu dan tidak dapat bayangkan bagaimana sambutan Hari Raya pada kali ini tanpa beliau namun saya akan cuba kuatkan semangat, Insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu Aznil berkata, disebalik kesedihannya kerana kehilangan ibu, ada orang lain yang tidak bernasib baik seperti 150 anak-anak fitrah yang sebelum ini penghuni lorong-lorong gelap sekitar ibu kota yang serba kekurangan.
Anak-anak fitrah dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih gembira dengan pakaian Hari Raya masing-masing.
Mereka mendapat peluang untuk membeli keperluan Hari Raya tajaan pasar raya berkenaan tidak melebihi RM250 seorang.
Kata Aznil, dia bersyukur dan amat berterima kasih kepada pihak TESCO Extra kerana hanya dengan sekali pertemuan, pihak tersebut sudi berkerjasama dalam menjayakan program ini yang juga pernah diadakan tahun lalu.
“Saya amat bersyukur dan terharu kerana pihak TESCO Extra sudi memberi tajaan penuh kepada anak-anak ini dengan memberi had belanja sebanyak RM250 seorang, satu jumlah yang agak besar untuk mereka membuat persiapan menyambut raya,” katanya.
Tentang perancangannya terhadap anak-anak ini, Aznil dalam usaha menubuhkan yayasan dan persatuan Kementerian Kanak-Kanak Malaysia bagi membentuk komuniti kanak-kanak terbiar yang berwawasan sekali gus menjadi tonggak pembangunan negara.