Faizdickie Kena kutuk badan gemuk





Bekas pemenang Personaliti Media Sosial Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, Faizdickie membuat keputusan merehatkan dirinya daripada Instagram (IG) akibat tidak tahan berdepan kutukan akibat berat badan mencecah hingga 105 kilogram (kg).

Selepas empat bulan menyepi, Faizdickie atau nama sebenarnya, Nasrul Faiz Abu Azal membuat kemunculan semula dengan imej baharu.

Faizdickie berkata, dia sebenarnya membuat keputusan untuk melakukan transformasi sepanjang tempoh kehilangannya itu.

"Pada mulanya, saya tidak mempunyai keinginan untuk menguruskan badan. Tetapi, hari demi hari pelbagai kutukan yang diterima hingga ada yang menyamakan saya dengan sejenis binatang.

"Walaupun bukan semua pengikut yang mengutuk, sebaliknya banyak juga komen positif yang diterima. Tetapi, komen negatif yang dilemparkan cukup berbekas di hati saya, lebih lagi apabila ada yang menggelarkan saya dengan panggilan tidak enak.

"Saya cukup tertekan hingga bertindak menjauhkan diri daripada masyarakat. Saya rasa tidak selamat dan hilang keyakinan diri. Saya tahu kesihatan mental terganggu, jadi saya membuat keputusan melakukan perubahan dalam hidup," katanya.

Faizdickie berkata, masalah berat badan adalah salahnya sendiri kerana kelalaian menjalani rutin hidup yang sihat. Kutukan netizen menyebabkan berat badannya semakin bertambah.

Ini kerana, katanya, dia akan cenderung untuk makan berlebihan setiap kali tidak gembira dan tertekan.

"Ketika itu saya cukup tertekan dan makan banyak. Sebenarnya, kesilapan datang daripada saya sendiri yang mengabaikan soal kesihatan.

"Daripada berterusan hidup dalam tekanan, saya nekad melakukan perubahan. Keluarga dan teman rapat tidak berhenti memberikan sokongan.

"Alhamdulillah, saya berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 26 kg dalam masa empat bulan. Saya kini sudah pun mendapat berat badan sesuai iaitu 79 kg.

"Saya lebih gembira dan keyakinan diri makin bertambah sejak turun berat badan," katanya.

Kemunculan semula Faizdickie yang cukup dikenali dengan karakter Kak Leha Bunting menerusi IG nyata disambut positif pengikutnya, malah ramai terkejut melihat transformasi baharu selepas empat bulan menghilangkan diri.

Post a Comment

Previous Post Next Post