Hafiz Hamidun Merasai pengalaman hampir nazak


HAFIZ mahu lebih berhati-hati dalam hal kesihatan dan akan memastikan mengambil vaksin sebelum keluar negara.

BERTEMU dengan penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun pada majlis berbuka puasa anjuran Sony Music serta Celcom baru-baru ini jelas kelihatan tubuhnya menyusut disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru yang dihidapinya sebelum Ramadan. Biarpun sudah semakin pulih, kesakitan yang dialaminya masih bersisa dan perlu berulang-alik ke hospital membuat rawatan susulan untuk benar-benar pulih.

Hafiz yang kini mempunyai berat badan 52 kilogram (kg) berbanding 62kg sebelum sakit mengakui, ini kali pertama dia sakit teruk sehingga terlantar selama 12 hari di wad sebuah hospital swasta. Mengimbas kembali detik paling cemas dalam hidupnya, Hafiz berdepan dengan pengalaman hampir nazak selepas lima hari berada di hospital.

Ceritanya: “Saya demam teruk sehingga sel darah merah dan putih turun pada tahap kritikal, disebabkan itu saya dimasukkan ke wad pada dua Ramadan lalu. Ketika mendapatkan rawatan doktor telah mengesan dalam paru-paru saya terdapat air dan juga bakteria. Justeru itu, doktor harus menebuk bahagian belakang badan untuk mengeluarkan air daripada paru-paru. Seksanya Allah sahaja yang tahu.

“Dugaan saya cukup besar, sebelum belakang badan ditebuk, pada hari kelima di hospital saya merasai pengalaman nazak apabila terjaga daripada tidur pada pukul tiga pagi kerana tidak boleh bernafas. Disebabkan paru-paru terasa sangat sempit, saya panik. Mujur, umur masih panjang dan pengalaman itu benar-benar menginsafkan.”

Tanpa sedar, kesakitan itu mengajarnya untuk lebih menghargai kehidupan dan menjaga kesihatan. Katanya, pengalaman sakit tersebut menjadikan dia serik untuk mengulangi episod yang sama sekali lagi. Masakan tidak, selain terpaksa menjalani pemeriksaan X-ray dan mengambil darah setiap hari, dia juga harus menghabiskan sejumlah ubat bagi merawat paru-parunya.

“Sebenarnya sebelum Ramadan memang saya berniat untuk berehat, namun kerja terlalu banyak. Jadi dengan apa yang berlaku, hikmahnya adalah saya diminta berehat. Apapun saya bersyukur kerana cepat ke hospital dan mempunyai insurans yang menanggung segala kos rawatan, jika tidak susah juga,” kongsi Hafiz jujur.

Meskipun Hafiz, 32, dibenarkan keluar daripada hospital sejak Khamis lalu, ramai yang tertanya-tanya bagaimana dia boleh mendapat jangkitan paru-paru walhal sebelum itu dia tidak pernah menunjukkan gejala tidak sihat.


HAFIZ kini masih menerima rawatan berkala di hospital untuk memastikan penyakitnya benar-benar pulih.

Menjawab kepada persoalan tersebut, Hafiz menjelaskan dia telah mengalami batuk-batuk sebelum berangkat ke Afrika Selatan pada hujung Mei lalu. Disebabkan jadual yang padat dia tidak mengendahkan gejala tersebut dan terbang ke Indonesia selepas itu. Bagaimanapun sepanjang berada di Indonesia, dia mengalami demam panas berpanjangan sehingga suhu mencecah 40 darjah Celsius.

Sebaik menerima rawatan di hospital, doktor mengesahkan dia menghidapi jangkitan paru-paru disebabkan oleh bakteria. Namun kata Hafiz, tiada spesifik lokasi di mana dia memperoleh bakteria tersebut kerana menurut doktor, ia boleh berlaku kepada semua orang termasuk kanak-kanak.

“Doktor memberitahu bakteria ini ada dalam badan semua orang, ia akan menyerang ketika demam dan badan lemah. Jadi, doktor menasihatkan jika batuk dan demam lebih daripada tiga hari dapatkan rawatan segera di hospital. Jika kanak-kanak yang terkena lagi teruk kesannya sehingga perut boleh bertukar hijau,” sambungnya.

Selepas apa yang berlaku, selain menjaga kesihatan diri, Hafiz akan lebih berhati-hati setiap kali ke luar negara. Bimbang diserang sakit yang sama, Hafiz akan mendisiplinkan diri untuk mengambil vaksin mengikut jadual. Tuntutan kerja memerlukannya sentiasa terbang ke luar negara sekali gus terdedah dengan pelbagai bakteria yang tidak diketahui.

“Saya bukan tidak biasa ke luar negara, jika pergi buat umrah memang sudah disuntik vaksin yang boleh bertahan selama dua tahun. Mungkin itu tidak cukup dan saya akan pastikan diri dilindungi dengan vaksin sesuai sebelum terbang ke sesuatu negara. Lebih baik mengambil langkah berjaga-jaga daripada terlantar sekali lagi di hospital,” ujarnya yang baru muncul dengan single terbaharu berjudul Marhaban.

Berbicara tentang ibadah puasa, sambil tersipu-sipu malu Hafiz mengakui sehingga 19 Ramadan dia masih tidak boleh berpuasa kerana terpaksa mengambil ubat mengikut jadual. Dia hanya mula berpuasa pada Jumaat lalu.

“Saya dimasukkan ke hospital dua hari sebelum Ramadan dan sehingga 19 Ramadan masih belum boleh berpuasa. Malu sebenarnya hendak mengaku, tetapi demi pulih dengan segera saya terpaksa makan ubat mengikut jadual kerana masih terdapat air sebanyak 600 mililiter dalam paru-paru. Selepas raya saya akan jumpa doktor untuk melihat perkembangannya, harap-harap semuanya okey,” tuturnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post