Kisah Ramadhan Amy Search


AMY SEARCH menggayakan Jubah Abdel dipadan bersama Songkok Maulana daripada jenamanya, Amy Search General Products yang kini laris di pasaran.

Ramadan tahun ini agak berbeza buat figura yang terkenal dengan nama pentasnya, Amy Seacrh. Jika sebulan sebelum Ramadan beliau dihujat dengan sepak terajang dilema kumpulan Search dan bekas penganjur Konsert 35 Tahun mereka, AF Jets Sdn. Bhd., kehadiran bulan mulia ini membuat Amy enggan mengingat atau berbicara hal-hal sedemikian lagi.

Sebaliknya, tumpuan vokalis legenda yang kini berusia 57 itu lebih diberikan kepada ibu tercinta, Fatimah Omar. Melewati usia 80-an, wanita yang melahirkan anak lelaki kedua dengan nama Suhaimi Abdul Rahman itu sedang uzur, namun hal yang menggembirakan Amy adalah kerana ibunya kini menetap bersamanya, satu perkara yang cukup sukar dilakukan Amy sejak bertahun dahulu. Namun, kali ini ibunya akur untuk menetap bersamanya di Kuala Lumpur dan meninggalkan kediaman di Bakar Batu, Johor Bahru.

Malah sehingga kini, sudah hampir enam bulan ibunya menetap bersama Amy, sekali gus membuat rutin hariannya berubah. Perubahan tersebut dilakukan dengan ikhlas kerana kata Amy, siapalah dirinya sekarang tanpa seorang wanita tua yang kini sedang uzur dan memerlukan perhatian khusus daripada seorang anak.

“Sebenarnya paling susah memujuk mak tinggal dengan saya. Selalunya, kalau dia datang ke KL pun, dua tiga hari kemudian dah resah mahu pulang. Tapi kali ini berbeza kerana saya akhirnya berjaya memujuk mak tinggal bersama saya di sini, sekali gus membolehkan saya memberi perhatian dan menjaganya sebaik mungkin seperti apa yang pernah dilakukannya kepada saya,” ujar Amy penuh teruja.

Sepanjang Ramadan, rutinnya adalah akan bersahur dan berbuka puasa dengan ibunya yang masih mampu menjalani ibadah puasa. Penyanyi itu akan menyediakan makanan kepada ibunya dan membawa serta menyuapkannya ke mulut ibunya, sebelum dia bersahur atau berbuka dengan isteri dan anak-anaknya. Seperti biasa juga, mereka akan menunaikan solat tawarih bersama-sama jika beliau tidak memenuhi undangan berbuka puasa atau kekangan lain.


Amy bersama ibunya, Fatimah (dua dari belakang) dan keluarga menikmati Ramadan dan bakal menyambut Aidilfitri di kediamannya di Selangor.

Sementelah, beliau kini tidak menang tangan menguruskan perniagaan jenama, Amy Search General Products yang mendapat sambutan di luar jangkaan. Memulakan perniagaan tersebut sejak awal Ramadan lalu, produk yang dikeluarkannya Songkok Maulana, Jubah Abdel, Kebarung Klasik Aleeka dan Kurta Abbud menjadi buah mulut banyak orang kerana kekemasan, kualiti dan ringkas.

Ironi, kata Amy idea melahirkan jenama sendiri sudah lama tersemat dalam hati selepas saban tahun banyak peminatnya bertanya tentang fesyen yang digayakannya setiap kali menyambut Aidilfitri. Namun, hanya tahun ini impian tersebut menjadi realiti kerana beliau mahu berkongsi dengan peminat mengenai fesyen yang digayakannya menerusi jenama sendiri.

Lebih unik, salah satu busana keluarannya iaitu Jubah Amy sengaja dicipta untuk digayakan oleh lelaki dan perempuan sekali gus.

“Alhamdulillah, sambutan yang saya terima sangat di luar jangkaan. Sebenarnya sejak tahun lepas saya telah mula mengeluarkan Songkok Maulana dan dijual di Butik RumibyRumi, namun tahun ini saya meluaskan perniagaan ini dengan melahirkan beberapa rekaan busana untuk hari raya pula.

“Salah satunya ialah Jubah Amy yang direka khas untuk lelaki dan perempuan. Ternyata ia mendapat sambutan hangat,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan Syawal yang akan menjelang dalam tempoh 10 hari lagi, Amy pantas memberitahu seperti tahun-tahun sebelumnya beliau menyambut kehadiran bulan kemenangan tersebut dengan penuh sederhana.

“Tetapi tentulah Aidilfitri tahun ini istimewa buat saya kerana mak menyambutnya di kediaman kami. Itu sudah memadai kerana pada saya setiap kali hari raya, perkara yang paling penting bagi saya adalah berkumpul dengan keluarga,” katanya yang akan memastikan rendang daging, masak lodeh dan sambal tumis ikan bilis menjadi menu wajib pada pagi raya.

Post a Comment

Previous Post Next Post