Aura kedewasaan Greyson Chance


ENAM tahun lalu, penyanyi kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat, Greyson Chance pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat muzik dunia selepas lagu saduran yang dimuat naik di laman perkongsian video YouTube, menjadi viral.

Mendendangkan lagu yang pernah dipopularkan oleh Lady Gaga berjudul Paparazzi, video tersebut kini ditonton lebih 50 juta kali selepas pengacara dan personaliti televisyen tersohor, Ellen DeGeneres berkongsi capaian video tersebut menerusi Twitter.

Berbekalkan raut wajah comel dengan suara keanak-anakan, Chance yang pada waktu itu baru berusia 12 tahun terus ditawarkan untuk bernaung di bawah syarikat rakaman milik DeGeneres, eleveneleven. Pada 2011, Greyson melahirkan album debutnya berjudul Hold On Tight.

Menjadi penanda aras terhadap karier nyanyiannya, album yang mendapat sentuhan beberapa komposer terkemuka seperti Da Internz dan The Matrix itu turut mendapat pujian daripada pengkritik muzik.

Tidak seperti kebanyakan penyanyi lain yang mengekalkan momentum nyanyian dengan terus menerbitkan album, Greyson mengambil keputusan untuk berehat selepas memasarkan mini album berjudul Truth Be Told, Part One setahun kemudian.

Bagaimanapun, ‘kehilangan’ Chance selama lima tahun bukan sekadar menghabiskan masa dalam satu percutian yang panjang. Tetapi, dia telah merencanakan kemunculan semula yang menampilkan sisi muzik lebih segar dan dewasa. Mengiringi kematangannya dalam bidang muzik, Chance hadir dengan sebuah album mini baharu berjudul Somewhere Over My Head.

Biarpun tampil dengan imej dewasa seiring dengan usianya yang kini mencecah 18 tahun, terselit perasaan gusar dalam hatinya. Ujar Chance, dia bimbang jika peminat sukar untuk menerima evolusi muzik yang ingin diketengahkannya.

“Saya agak risau jika peminat masih merindui Greyson Chance yang dulu. Walaupun lagu-lagu baharu masih berlingkar dalam nuansa muzik pop, namun suara dan laluan muzik sudah jauh berubah.

“Tetapi, saya berasa sangat gembira kerana peminat masih setia dan menyokong perubahan yang saya lakukan,” jelas Chance yang ditemui pada sidang akhbar di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Chance singgah ke Malaysia bagi mempromosikan mini terbaharunya album itu di samping menjayakan beberapa persembahan jelajah termasuk di Sunway Putra Mall.

Menerusi persembahan tersebut, Chance menghiburkan lebih 1,500 peminat yang hadir dengan membawakan lagu-lagu seperti Afterlife, Back On The Wall, Hit & Run, No Fear, More Than Me dan Waiting Outside The Line.


PEMINAT Chance menyifatkan peminat sebagai tulang belakang yang sentiasa menyokong kariernya.

Penulisan lagu

Bercerita lanjut mengenai kematangannya sebagai seorang pemuzik, Chance berkata kedewasaannya itu sedikit sebanyak ditumpahkan dalam karya-karya yang terdapat dalam Somewhere Over My Head.

Penyanyi yang kini sedang popular dengan lagu Afterlife itu berkata, perubahan suaranya selepas mencapai umur akhil baligh turut menyumbang kepada gaya penulisan lagu yang berbeza.

“Apabila saya mengatakan gaya penulisan lagu berubah mengikut perubahan suara, mungkin ramai yang melabelkan kenyataan itu sebagai sesuatu yang klise. Namun, hakikatnya, ia memberi sedikit anjakan berbeza terhadap material yang saya hasilkan.

“Dalam masa sama, perubahan hidup yang dialami juga turut memberi impak terhadap transisi saya sebagai seorang pemuzik,” ujar Chance yang menjadikan perpindahannya daripada Oklahoma ke Los Angeles, Amerika Syarikat sebagai idea mencipta lagu.

Melihat kepada perkembangan Chance sebagai seorang penyanyi yang turut berkemahiran mencipta lagu, pasti terdetik pertanyaan sama ada jejaka yang berketinggian 175 sentimeter itu mempunyai perancangan untuk berkolaborasi dengan penyanyi popular lain.

“Saya bersikap sedikit memilih apabila mahu bekerjasama dengan mana-mana artis. Pada pendapat saya, biarlah kolaborasi itu sesuai supaya hasil akhirnya nanti dapat memuaskan hati peminat dan pendengar,” ujar Chance.

Ketika ditanya adakah dirinya bakal mengikuti trend semasa dengan mengangkat elemen seks dalam karya sehingga tidak sesuai didengar oleh kanak-kanak, jawabnya: “Saya bukan Zayn Malik. Jadi, apa yang dilakukan hari ini merupakan refleksi diri saya sewaktu saya berusia 12 tahun.”


SOMEWHERE OVER MY HEAD Selepas lima tahun menyepi, Chance kembali dengan sebuah album mini yang diberi judul Somewhere Over My Head. Album tersebut bersifat lebih matang, seiring usianya yang kini berusia 18 tahun, berbanding sewaktu kelahiran album pertama sewaktu dia berusia 12 tahun.

Simpati

Sebelum mengakhiri perbualan, Chance sempat ditanya mengenai tragedi menyayat hati yang menimpa penyanyi Christina Grimmie baru-baru ini.

Bekas peserta program The Voice US itu maut selepas ditembak ketika sedang menjalankan sesi ramah mesra dengan peminat usai membuat persembahan di The Plaza Live, Orlando awal bulan ini.

Mengakui terkesan dengan insiden tersebut, Chance berpendapat, apa yang berlaku pada Grimmie adalah tidak adil. Ujarnya, dia masih lagi terkejut dengan apa yang berlaku dan bersimpati dengan keluarga penyanyi itu.

“Kami bermula menerusi platform yang sama iaitu YouTube. Sepanjang bergelar penyanyi, saya pernah berjumpa dengan Grimmie dan dia seorang yang sangat positif.

“Jadi, apa yang terjadi kepadanya tempoh hari sangat memeranjatkan. Tidak adil untuk penyanyi berbakat sepertinya menerima nasib sebegitu. Saya sangat bersimpati,” ujar Chance.

Begitupun, apa yang terjadi pada Grimmie tidak menghalang Chance untuk terus mendekati peminat setiap kali terlibat dengan konsert jelajah.

“Peminat merupakan tulang belakang saya. Tidak kira apa yang terjadi, saya tetap akan bertemu dengan mereka yang sentiasa menyokong karier saya selama ini,” ujar Chance menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post