Encik Mimpi setia bersama pengurusnya demi masa depan kerjayanya dalam bidang nyanyian.
Penyanyi Encik Mimpi menyangkal dakwaan dia mempunyai masalah bersama syarikat rakaman Indigital Sdn Bhd sehingga memilih untuk tidak lagi memberi hak pengedaran lagu-lagunya kepada label berkenaan.
Encik Mimpi atau nama sebenarnya Mohd Azam Zamri, 28, sebaliknya berkata, keputusannya itu dibuat secara baik kerana mengikut pengurus dan mentornya yang kini berhijrah ke syarikat MVM Production.
"Sebelum ini pengurus saya bekerja dengan Indigital namun dia berhenti dan kini bersama MVM.
"Saya sendiri tidak pernah mengikat kontrak bersama label berkenaan sebaliknya kerjasama kami hanya memberi hak pengedaran lagu sahaja.
"Saya mengikutnya kerana dia adalah pengurus dan mentor saya jadi rasanya tiada apa-apa isu mengenai perkara tersebut," katanya kepada mStar Online.
Tambahnya, dia masih penyanyi bawah label miliknya sendiri iaitu Encik Mimpi Production dan kini memberi hak pengedaran lagu-lagunya kepada MVM Production.
Encik Mimpi tampil dengan single terbaharu, Hentikan Rindu Ini.
Dalam pada itu, Encik Mimpi berkata, dia bertindak mengikut pengurusnya kerana dia mampu membimbing kariernya ke tahap lebih tinggi pada masa hadapan.
"Dia adalah orang bertanggungjawab membawa saya masuk ke dalam industri sebagai penyanyi dan dia adalah individu yang paling saya percaya.
"Saya sudah biasa bekerja dengannya tambahan pula dia tahu strategi paling sesuai untuk karier saya," katanya.
Sementara itu, Encik Mimpi berkata, sebagai permulaan, dia baharu sahaja melancarkan single berjudul Hentikan Rindu Ini hasil ciptaannya sendiri.
Dia kini sedang giat mengadakan promosi untuk lagu berkenaan dan bersyukur ia mendapat respons baik daripada pendengar.
Dalam perkembangan lain, Encik Mimpi berkata, sambutan Aidilfitri sentiasa menjadi acara penting kepadanya kerana sebelum ini terpaksa menyambut perayaan itu di Jepun.
Katanya, selama lima tahun dia meraikan Syawal di negara berkenaan kerana menyambung pengajian dalam bidang kejuteraan elektrik.
"Sambut raya di Jepun memang tiada istimewa kerana tidak ramai orang Islam di sana.
"Pernah saya menyambut 1 Syawal di dalam bilik kerana tidak mempunyai teman.
"Sebab itu bila balik ke Malaysia, hari raya saya akan sambut dengan meriah bersama keluarga," katanya.