MARIA dan suaminya, Rahman mengadakan sidang akhbar khas berhubung kes saman terhadap Karen.
SEJAK sebelum berkahwin sehinggalah selepas bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Rahman Shakur, 61, pada 26 November 2015, Datin Maria Farida, 46, mendakwa kehidupannya tidak pernah tenteram.
Semuanya gara-gara fitnah dan gangguan menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS) dan laman sosial daripada bekas isteri suaminya yang dikenali sebagai Karen.
Sehubungan itu, Mariah dan suaminya memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Karen. Tiga notis tuntutan saman telah dikeluarkan kepada wanita berkenaan iaitu pada 11 November dan 17 Disember 2015 serta terbaharu, 7 Mei lalu.
Dalam sebuah sidang akhbar khas yang diadakan di Hotel Royale Chulan Damansara, Selangor pada Jumaat lalu, pelakon filem Datin Ghairah itu menegaskan, tindakan tersebut diambil untuk menghentikan segala fitnah dan gangguan yang menjatuhkan maruah dan mengancam keselamatannya.
Sebelum itu, pada 2 Mei lalu, suami Maria membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang, mendakwa dilanggar bekas isterinya.
Pada hari yang sama, Karen turut membuat laporan polis mendakwa dia bertindak demikian kerana mempertahankan diri.
KOSMO!: Bagaimanakah kehidupan Maria sejak mendirikan rumah tangga?
MARIA: Kehidupan saya bersama suami dan keluarga amat bahagia. Walaupun sibuk berlakon, saya tetap membahagikan masa untuk fokus terhadap tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak kandung serta anak-anak tiri. Cuma sejak sebelum berkahwin sehingga ke hari ini, iaitu sepanjang tempoh sembilan bulan ini, saya dan suami tidak henti-henti difitnah dan menerima gangguan daripada bekas isterinya, Karen.
Boleh jelaskan bentuk fitnah dan gangguan bagaimana yang diterima anda dan suami?
Antaranya fitnah di laman sosial miliknya yang menuduh saya sebagai perampas suami orang, mengamalkan ilmu sihir dan menampar anak bongsunya, Qalif Ryan, 7.
Saya masih boleh bersabar dengan semua tuduhan tersebut sehinggalah didakwa sebagai ibu tiri yang jahat, itu sudah melampau. Walhal saya sayangkan anak tiri sama seperti anak kandung.
Selain itu, saya juga menerima ratusan SMS berbau ugutan hampir setiap hari. Saya juga diugut bunuh dan akan disimbah asid olehnya, malah suami juga menerima mesej yang lebih kurang sama.
Apakah yang menyebabkan anda dan suami mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Karen?
Kesabaran setiap orang ada hadnya. Selepas dituduh menampar anak tiri dan suami dilanggar olehnya ketika mahu mengambil anak bongsu, Qalif pada minggu lalu, kami merasakan perkara ini sudah keterlaluan.
Sebelum ada perkara buruk berlaku, lebih baik kami bertindak terlebih dahulu dengan harapan dapat menghentikan segala gangguan dan fitnah. Pihak kami telah pun menghantar notis tuntutan saman kepadanya dan kini hanya menunggu tarikh perbicaraan.
Sebelum mengambil tindakan untuk membawa kes tersebut ke mahkamah, adakah pihak anda cuba menyelesaikan perbalahan dengan cara baik?
Kami telah hantar notis tuntutan saman yang pertama pada 11 November tahun lalu. Ketika itu dia berjanji mahu berdamai dan meneruskan kehidupan seadanya. Percaya dengan kata-katanya, saya tidak meneruskan niat untuk ke mahkamah.
Selepas berdiam diri, semakin banyak pula gangguan dan fitnah dilakukan olehnya. Justeru, kami tidak boleh berdiam diri lagi dan nekad meneruskan juga kes ini ke mahkamah.
Sebelum berkahwin, adakah anda sedar kemelut sebegini akan berlaku?
Sebelum menjadi isteri Rahman, saya telah diberi amaran oleh rakan rapat dan suami bahawa akan berlaku perbalahan sebegini. Saya sudah bersedia, namun tidak menyangka ia akan berlarutan selepas enam bulan kami berkahwin. Tiada apa yang saya harapkan selain kehidupan yang tenang.
Apakah kesan gangguan dan fitnah yang dilemparkan tersebut kepada anda?
Sejujurnya saya kini berdepan trauma. Selain terganggu fokus sewaktu bekerja, ia sedikit sebanyak menjejaskan emosi.
Disebabkan gangguan dan segala ugutan, saya dan suami juga telah mengambil keputusan untuk mengupah pengawal peribadi sejak tahun lalu bagi menjaga keselamatan kami sekeluarga.
Isu rumah tangga anda menjadi kontroversi dan diperkatakan ramai, apa reaksi anda terhadap pihak yang gemar membuat spekulasi dan mengkritik hidup anda selama ini?
Jangan mudah terpengaruh dengan fitnah, sebaliknya tolong selidik terlebih dahulu kebenaran sebelum membuat sebarang penilaian.