Peralihan fokus Fizz Fairuz


BAHAGIA di samping keluarga tersayang, Fizz Fairuz dan Almy Nadia bersama anak sulung mereka, Nur Afrina Ariana, setahun tiga bulan. Pasangan itu juga bakal menimang anak kedua menjelang Oktober nanti.

KECENDERUNGAN golongan selebriti berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sebagai punca pendapatan sampingan selain dunia hiburan bukan lagi sesuatu yang pelik. Jika rata-rata artis fokus ke arah perniagaan dalam bentuk jualan produk, butik atau restoran, aktor Fizz Fairuz kini sedang sibuk menjayakan Karnival Moh Joget Pahang 2016.

Projek berkenaan juga bersempena dengan Karnival Kesenian dan Kebudayaan Rakyat Pahang 2016.

“Selama empat tahun saya simpan projek ini untuk diusulkan kepada pihak kerajaan negeri Pahang berkenaan hasrat mengadakan sebuah karnival yang besar di negeri itu.

“Apabila saya usulkan, mereka cadangkan mengapa tidak ia dilaksanakan pada tahun ini kerana ada kena mengena dengan Tahun Melawat Pahang 2017 pada tahun depan,” ujarnya.

Tambah aktor Mat Tudung itu juga, idea program berkenaan terhasil selepas dia rasa terpanggil melakukan sesuatu untuk negeri kelahirannya. Dia mahu memastikan seni warisan Pahang dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

“Tidak semua orang mahu buat kerja yang berkaitan kesenian dan budaya warisan. Daripada situ, saya ambil inisiatif untuk memartabatkan kesenian dan budaya warisan Pahang ke tahap yang sepatutnya.

“Sekarang, tidak semua orang terutama generasi muda tahu tentang kesenian negeri masing-masing. Seperti contoh, ramai tidak tahu Lenggang Mak Lenggang itu kesenian apa malah ramai mengandaikan ia adalah sejenis tarian berdasarkan kepada namanya. Tetapi sebenarnya ia merupakan bunga silat dalam tarian yang dipersembahkan di hadapan pengantin dalam majlis perkahwinan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fizz juga terpanggil mengulas dakwaan sesetengah pihak mengatakan dia kini sudah ‘memperlahankan’ bidang lakonan kerana sudah hilang populariti.

“Tawaran berlakon tetap ada seperti biasa, tetapi saya perlu bersikap lebih selektif dalam memilih watak dan karya kerana dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan, seseorang itu perlu ada peningkatan.

“Mungkin disebabkan situasi tersebut, orang beranggapan saya sudah tidak berlakon. Tuduhan tersebut tidak benar kerana saya masih ada dalam industri ini dan itulah punca periuk nasi saya sejak dahulu.

“Saya sedar, dakwaan tersebut juga satu risiko yang perlu dihadapi apabila terlibat dengan projek besar sebegini.

“Kerja ini hanyalah sampingan. Jangan disebabkan saya terlibat dengan karnival sebegini, orang menganggap jadual saya sudah padat. Karnival ini berlangsung selama dua kali sebulan, jadi saya mempunyai banyak masa untuk berlakon,” ujarnya yang kini sedang menjalani penggambaran telemovie Karya 12: Kulit di bawah arahan Michael Ang.

Berkongsi perkembangan dunia lakonannya, Fizz juga dijadualkan menjalani penggambaran filem Munafik 2 arahan Syamsul Yusof selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.

Semakin sibuk dengan urusan kerja, rezekinya turut bertambah apabila perkongsian hidupnya dengan pelakon Almy Nadia bakal diserikan lagi dengan kehadiran seorang lagi cahaya mata.

Almy yang kini hamil empat bulan dijangka melahirkan bayi kedua mereka menjelang bulan Oktober nanti.

“Alhamdulillah, setakat ini kehidupan kami berjalan lancar walaupun isteri sedang hamil. Saya pula sibuk dengan kerja luar. Tetapi, ini adalah projek kami bersama, jadi kalau saya keluar bekerja, Almy akan pantau dari rumah.

“Sama juga dengan pengurusan anak. Kami tiada masalah untuk mengawalnya kerana untuk kehamilan kali kedua, isteri tidak mengalami sebarang alahan teruk,” jelas Fizz.

Post a Comment

Previous Post Next Post