Kualiti Ippo Hafiz


Bukan satu perkara yang lazim dewasa ini apabila melihat anak muda yang mempunyai keghairahan tinggi dalam bidang muzik untuk melahirkan sebuah album studio penuh. Lebih-lebih lagi dalam zaman kemerosotan jualan album fizikal. Bagaimanapun, itulah yang telah berjaya dilakukan penyanyi, Ippo Hafiz.

Album berjudul Ippo Hafiz dilancarkan 17 Mei lalu dengan memuatkan 11 buah lagu yang majoritinya digubah dan ditulis oleh dirinya sendiri. Boleh dikatakan, ia adalah satu langkah berani yang jarang-jarang dilakukan oleh penyanyi sedia ada apatah lagi penyanyi berstatus hijau.

Bukan berniat untuk melemparkan pujian menggunung. Namun hakikatnya, Ippo atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Yaziz membuktikan walaupun sukar untuk album fizikal terjual dengan jayanya seperti era terdahulu, dia tetap yakin dengan keputusan melahirkan buah tangan sulung.

Sementelah, kerjaya seninya baru ingin memulakan jelajahnya di dalam industri seni tempatan.

“Niat saya berada dalam industri hanya kerana ingin jual bakat saya. Saya ingin berkongsi gubahan lagu dan nukilan lirik yang telah saya hasilkan.

“Saya tahu orang ramai lebih kenal lagu-lagu saya kerana ia menjadi lagu tema drama popular tetapi tidak kenal individu di sebalik lagu-lagu tersebut. Dengan itu, saya berharap agar penghasilan album ini dapat menghakis persepsi tersebut,” ujar Ippo membuka bicara.

Dalam kekerapan lagu popularnya seperti Rahsia yang merupakan lagu tema drama Teman Lelaki Upahan dan Kekal Bahagia (lagu tema Cinta Si Wedding Planner) dimainkan dicorong radio sekali gus menjadi siulan ramai, Ippo merendah diri menganggap ia sebagai hasil positif daripada kejituan semangatnya dalam berkarya selama ini.

“Sebenarnya, pada mulanya niat saya cuma ingin menjadi komposer dan penerbit. Pada tahun 2009, saya diberi peluang untuk menghasilkan lagu untuk Azizi (Akademi Fantasia) berjudul Jauh Sudah.

“Sejak itu, keinginan untuk bergelar penyanyi semakin membuak-buak dan saya semakin rajin menggubah lagu,” katanya.

Kekangan


HARAPAN: Sangat meminati bakat nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah, Ippo berharap suatu hari nanti dapat menghasilkan lagu buat kedua-dua penyanyi handal tersebut.

Diajak menyelak cerita bagaimana perjalanan seninya bermula, dia menyimpang kepada cerita bagaimana tercetusnya nama Ippo Hafiz yang menjadi nama pentasnya hari ini.

“Sebenarnya, ketika berada di tingkatan tiga, saya sangat meminati siri anime Hajime No Ippo. Disebabkan ketaksuban saya terhadap kartun tersebut, rakan-rakan mula memanggil saya dengan nama Ippo.

“Saya pun tidak menyangka sehingga kini orang menggelarkan saya dengan nama Ippo dan tidak mempunyai masalah dengan panggilan tersebut asalkan ia bukan Hippo (badak),” ujarnya sambil tertawa.

Lancar membuahkan bicara, Ippo menjelaskan niatnya untuk berkecimpung dalam lapangan seni pada mulanya ditentang oleh kedua-dua ibu bapanya, namun dia berjaya meyakinkan mereka bahawa tiada perkara lain yang ingin dilakukannya dalam hidup melainkan ia berkait rapat dengan muzik.

Akui lelaki itu, ibu bapanya tidak berkenan dia melibatkan diri dalam bidang muzik kerana mahu dirinya mempunyai masa depan yang lebih cerah sebagai seorang manusia. Untuk itu, Ippo mendapat galakan daripada mereka untuk menjadi seorang ahli tahfiz namun dia membuktikan bahawa menjadi seorang penggiat muzik bukanlah seteruk yang disangka.

“Ibu bapa menghantar saya ke sekolah pondok tapi jiwa saya tiada di situ. Lebih kurang empat tahun lepas, saya minta restu daripada mereka dan mereka reda dengan keputusan hidup saya untuk menjadi seorang pemuzik.

“Alhamdulillah, selepas mendapat restu daripada mereka, jalan hidup saya lebih terbuka dan rezeki semakin bertambah. Sejak itu, saya mula sedar bahawa apa sekali pun yang kita lakukan dalam hidup, ia memerlukan restu daripada kedua orang tua kita,” ceritanya.

Inspirasi


SAIZ: Bagi Ippo, walaupun tidak dikurniakan wajah komersial dan tubuh badan yang sempurna seperti penyanyi lain, dia bersyukur kerana dapat berkongsi bakat dengan khalayak.

Satu hal menarik mengenai album sulungnya, daripada 11 trek yang terhasil, 10 daripadanya melibatkan dirinya sebagai penggubah lagu mahupun penulis lirik.

Justeru, diajak berbicara soal inspirasi dalam menghasilkan sesuatu lagu, dia berkata, inspirasi dan ilham berbuat demikian adalah melalui pembacaan.

“Saya suka membaca novel. Melalui plot dalam novel, saya tafsirkan dalam melodi lagu dan penulisan lirik.

“Lagu pertama yang saya hasilkan melalui pembacaan novel adalah bertajuk Hujan Sepi yang turut dimuatkan dalam album ini. Selain daripada membaca novel, saya gemar menonton drama dan filem, di situ juga saya mendapat ilham untuk mencipta lagu,” ulasnya.

Tambahnya, dia tidak mempunyai latar belakang pendidikan muzik tetapi lebih berpandukan minat yang mendalam dalam bidang muzik.

Ditanya persoalan ramai yang menyamakan vokalnya dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh, Ippo tidak menafikan hal tersebut dengan membidas: “Ramai yang kata begitu kepada saya. Saya tiada niat untuk meniru gaya nyanyian Noh hanya kerana orang mendengar sebuah lagu saya dan melabelkan saya sebegitu.

“Sebab itu saya sarankan mereka mendengar lagu-lagu saya yang lain dalam album ini. Selepas itu, mereka bebas untuk menghakimi sama ada saya meniru ton vokal Noh atau sebaliknya.”

Post a Comment

Previous Post Next Post