AYDA JEBAT yang memiliki personaliti menarik dan menawan dilantik menjadi Ikon Ariani Lebaran 2016 oleh jenama tudung terkenal, Ariani.
Menjelang Ramadan yang bakal tiba kurang dua minggu lagi, kebiasaannya waktu ini menjadi ruang buat selebriti tempatan berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga tercinta.
Berbeza senario bagi penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat, 24, apabila perkataan bercuti atau berehat tidak wujud dalam kamus hidupnya sepanjang bulan Ramadan bagi memenuhi permintaan tawaran bekerja mencurah pada tahun ini.
Tidak merungut apatah lagi mengeluh, pemilik nama Nur Suhada Jebat ini turut berbesar hati apabila dilantik menjadi Ikon Ariani Lebaran 2016 oleh jenama tudung terkenal, Ariani.
KOSMO!: Apakah perkara pertama yang terlintas di fikiran Ayda apabila dirisik menjadi Ikon Ariani Lebaran 2016?
AYDA JEBAT: Pada mulanya, saya agak terkejut kerana seperti kita sedia maklum, Ariani merupakan jenama tudung malah terdapat sesetengah rakan bertanya adakah saya akan memakai tudung apabila berkolaborasi dengan produk ini. Selepas diterangkan pihak Galeri Ariani, barulah saya faham bahawa mereka mahukan saya menjadi ikon koleksi Ready To Wear (RTW) Ariani Lebaran kerana mahukan personaliti muda dan berwajah segar.
Bulan Ramadan akan tiba tidak lama lagi, adakah anda bercadang mengambil cuti atau rehat bagi menjalani ibadah puasa bersama keluarga?
Pada tahun ini, saya memang tiada waktu senggang kerana mempunyai banyak komitmen kerja perlu dipenuhi. Pada kebiasaan, bulan puasa merupakan masa terbaik bersama keluarga tetapi tanggungjawab pada kerjaya masih belum selesai. Saya masih terikat dengan penggambaran drama Assalamualaikum Cinta sepanjang Ramadan dan selepas raya akan meneruskan penggambaran baki filem Pinjamkan Hatiku bersama Farid Kamil di New Zealand.
Tidakkah anda berasa ralat kerana terlampau sibuk dengan kerjaya?
Bagi saya, tawaran yang diperoleh merupakan rezeki dan tiada sebab untuk saya menolaknya. Perkara yang paling penting adalah keluarga memahami bidang diceburi, itu sahaja sudah cukup bagi saya terus gagah bekerja.
Anda sudah mempunyai dua buah single popular, jadi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, adakah mempunyai perancangan melahirkan lagu hari raya?
Sebenarnya, niat itu ada kerana apabila saya diundang membuat persembahan, kadang-kadang tiada lagu baharu untuk didendangkan kepada audien. Bagaimanapun, pada tahun ini, tiada perancangan untuk merakam lagu hari raya kerana terikat dengan tugasan malah saya tiada masa untuk duduk dan memikirkan soal itu. Biar saya selesaikan satu per satu tugasan sebelum beralih kepada agenda lain.
Berbicara soal peribadi, bagaimana hubungan anda dengan penyampai radio Era, Radin?
Kami masih berkawan seperti biasa dan tidak lebih daripada itu. Memang peminat sering mengusik kami bercinta. Pada hakikatnya, saya dan dia setakat ini hanya selesa berkawan. Masih banyak perkara yang saya perlu fokus dalam hidup sebelum memikirkan soal cinta dan kahwin. Saya tidak boleh halang orang bercerita cuma saya mengambil pendekatan biarkan sahaja dan lama-kelamaan, ia akan reda dengan sendiri.