Sherry Ibrahim tenang berhijab


Sherry berasa tenang selepas mengambil keputusan untuk bertudung.

SETIAP hari, kita semua akan melalui hari yang baharu. Masa yang lepas mustahil untuk diambil kembali. Apa yang tinggal hanyalah pengalaman lalu untuk kita jadikan bekalan untuk hari esoknya.

Justeru, sebolehnya hari-hari yang dilalui itu, kita semua mahu abadikannya sebagai satu momen kehidupan terbaik. Demi mencapai itu semua, sudah pasti jalan paling jelas ke arah itu adalah dengan sentiasa memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Barangkali kata paling mudah adalah penghijrahan. Perubahan diri ke arah yang lebih baik. Mungkin kedengarannya agak mudah, tetapi ia benar-benar memerlukan satu bentuk pengorbanan yang tinggi.

Begitu juga dengan apa yang dilalui pelakon Sherry Ibrahim baru-baru ini. Membuat keputusan untuk tampil berhijab meletakkan dirinya sebagai satu titik permulaan baharu sebagai wanita Muslimah yang lebih diredhaiNya.

Penampilannya sewaktu sambutan majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-33 pada 3 April lalu merupakan kemunculan pertamanya di khalayak secara berhijab.

“Sebenarnya, saya sudah lama terdetik untuk berubah (dengan mengenakan hijab). Cuma ada satu hari itu, entah bagaimana hati saya tiba-tiba terdetik untuk pakai tudung.

“Orang pertama yang tengok saya bertudung ialah ibu bapa saya. Mereka terkejut macam tak percaya betul ke dengan apa yang saya lakukan. Mereka sendiri tak sangka yang saya akhirnya mahu berubah begini,” kata Sherry sewaktu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.

Belajar bertudung

Sememangnya, tiada manusia yang sempurna. Mengakui itu satu kewajipan sedia ada yang perlu dilaksanakannya sebagai orang Islam, sekurang-kurangnya Sherry masih belum terlambat untuk berubah. Dia berasa bertuah kerana diberikan peluang untuk merasai satu penghijrahan yang boleh disifatkan sebagai satu momen cukup indah dalam hidupnya.

Bergelar artis, isu bertudung mungkin kelihatan klise. Realitinya, dia tidak mampu menutup semua mulut. Biarpun ada yang mulut-mulut tepi yang mendakwa pelakon drama Cinta Ibadah itu sekadar mahu meraih tumpuan media, dia punya pendirian dan pegangan sendiri.

Baginya, dia cukup ikhlas dengan perubahan imej baharunya itu. Apa yang penting niat untuk berubah itu biarlah urusan dia dan Sang Pencipta.

Justeru bagi Sherry, dia tidak mahu dilabel mahu bertudung sahaja. Baginya, dia mahu aspek sebenar pemakaian tudung itu dibuat secara sesempurna yang boleh mengikut syariat.

Sebagai orang baru berhijrah, dia mengakui agak kekok ketika mahu mengenakan tudung. Banyak perkara yang perlu dipelajarinya. Jika sebelum ini dandanan rambut menjadi perhatian, kini fokusnya tertumpu kepada teknik pemakaian hijab

“Mula-mula memang kekok betul. Ada tudung, tapi saya tak reti nak menggayakannya. Maklumlah tengok orang pakai macam-macam teknik lilitan. Kita pula baru nak belajar.

“Ada juga saya tonton video tutorial cara-cara pemakaian tudung di laman YouTube. Malangnya, apabila saya aplikasikan, macam tak menjadi pula. Itu yang sekarang saya memang bawa sahaja tudung yang jenis sedia pakai. Senang sebab jenis sarung sahaja dulu. Mungkin kemudian belajar sikit-sikit yang cara lain,” kongsi pemilik nama sebenar Syarizad Ibrahim itu.

Biarpun masih baru, menurut Sherry, penampilan baharunya itu juga mahu diselarikan dengan imej penampilannya secara keseluruhan. Justeru, dia tidak mahu lagi mengenakan sebarang pakaian yang boleh disifatkan sebagai mencolok mata. Sebolehnya, biarlah ia menepati garis panduan pemakaian seorang Muslimah sebenar.

“Sekarang saya tidak mahu pakai baju yang ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Memang saya cuba elakkan.

“Dengan bertudung, kalau boleh saya mahu yang menutup bahagian dada ini. Tak manis pula kalau bertudung tetapi pakai ketat. Saya tak mahu jadi begitu. Tambahan pula, apa orang luar akan cakap kepada saya jika begitu,” kongsinya.

Katanya, buat masa ini baju sedia ada yang boleh dipakai masih lagi disimpan untuk diguna secara suai padan bagi yang bersesuaian.

“Ada juga baju yang masih boleh dipakai. Cuma saya perlu suai padankan sahaja. Sekarang ini, kena banyakkan koleksi baharu sahaja, terutamanya tudung.

“Baju mana yang tak boleh pakai itu mungkin boleh diberi kepada orang lain atau dijual sebagai item pre-loved,” kongsinya yang kini sibuk menyertai program realiti Gempak Superstar.



Jadi penyanyi

Bercakap mengenai pembabitannya dalam program realiti berkenaan, menurut Sherry, ia menjadi satu platform terbaik untuk mengetengahkan bakat para pelakon dalam satu cabang seni yang lain. Bahkan baginya, itu juga sebagai satu peluang buatnya untuk mengejar cita-cita yang selama ini pernah diburunya.

“Sebelum ini memang saya ada pernah mahu keluar dengan single sendiri. Bagaimanapun, hasrat itu terhenti begitu sahaja.

“Jadi saya rasa inilah peluang yang saya perlu gunakan untuk ketengahkan semula hasrat saya sebelum ini untuk menyanyi,” kongsi Sherry.

Sememangnya Sherry bukan sahaja berbakat dalam dunia lakonan, bahkan dia sendiri berjaya membuktikan kemampuannya beraksi di atas pentas dengan bakat suaranya yang umum tidak pernah tahu.

Buktinya, baru bersiaran untuk minggu pertama, Sherry sudah berjaya meletakkan dirinya di tangga pertama dengan mengenepikan sembilan lagi peserta yang juga terdiri daripada barisan pelakon tanah air.

Secara tidak langsung ia meletakkan satu penanda aras yang baik untuk dirinya meneruskan kariernya bukan sahaja dalam dunia lakonan tetapi juga pada masa sama dalam dunia nyanyian.

“Sekarang ini fokus saya hanya pada pertandingan realiti ini sahaja. Memang tidak terima tawaran berlakon terlebih dulu. Komitmen dengan program ini juga agak tinggi.

“Maklumlah, kami bukan sahaja perlu menyanyi tetapi juga perlu berlakon mengikut jalan cerita lagu yang disampaikan. Jadi, ia satu tugasan yang agak mencabar,” katanya yang menyanyikan lagu Kalis Rindu nyanyian asal Elyana pada minggu pembukaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post