AKTRES ini masih belum disunting mana-mana lelaki untuk dijadikan permaisuri hidup.
SELAGI bunga tidak dipetik di taman, selagi itulah pastinya ada yang akan bertanya milik siapa yang empunya gerangan.
Aktres popular, Uqasha Senrose juga tidak terkecuali berdepan senario sedemikian terutamanya apabila timbul khabar angin bakal melangsungkan majlis pertunangan dengan lelaki warga asing tidak lama lagi, selain khabarnya majlis itu juga bakal dilangsungkan dengan cukup meriah di luar negara.
Sambil menafikan gosip tersebut, Uqasha sebaliknya lebih selesa menumpukan perhatian terhadap pementasan teater Ombak Rindu yang bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 22 April depan.
Bersama Sensasi Bintang, pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, 24, membicarakan lebih lanjut berhubung perkara itu.
SENSASI BINTANG: Terdapat khabar angin mengatakan anda bakal bertunang tidak lama lagi. Komen?
UQASHA SENROSE: Ramai yang bertanyakan perkara itu terutamanya dalam kalangan rakan media. Ia hanya satu gosip.
Adakah anda menyedari gosip sedemikian?
Sejujurnya, saya tidak tahu bagaimana cerita itu boleh timbul. Jika benar jodoh sudah sampai, mudah-mudahan peminat dapat mendoakan saja kebahagiaan saya.
Tiada perancangan untuk ke arah itu dalam masa terdekat?
Saya sedang sibuk menjalani latihan teater Ombak Rindu, jadi lebih baik saya kekal fokus daripada memikirkan perkara sebegini.
Terdapat perbalahan antara anda dan Hafidz Roshdi di laman sosial.Komen?
Saya kesal kerana terheret sama dalam isu ini. Sepatutnya, tidak timbul soal cemburu. Saya sudah cuba hubungi dia namun tidak diendahkan, jadi saya enggan memanjangkan perkara ini.
Suka atau tidak, anda seakan-akan tidak boleh lari daripada berterusan dilanda gosip liar. Komen?
Sejujurnya, saya mahu dikenali kerana bakat dan bukannya kisah kontroversi. Jadi, ada baiknya saya kekal fokus dengan perjalanan karier.
Baru-baru ini, ada juga timbul gosip mengatakan anda ditawarkan watak Izzah disebabkan pengaruh individu tertentu. Bagaimana reaksi anda berhubung perkara itu?
Sudah tentu saya terkejut dengan dakwaan berkenaan. Semua gosip itu langsung tidak berasas dan menerima tawaran atas kemahuan sendiri, bukannya kerana pengaruh sesiapa. Apa yang saya tahu, watak itu sebenarnya untuk pelakon yang tidak bertudung. Jadi apabila ditawarkan watak Izzah, saya menganggapnya sebagai satu cabaran.
Tidak khuatir jika dibandingkan peminat dengan pelakon asal iaitu Maya Karin?
Saya mahu lari daripada bayangan Maya Karin. Dia seorang pelakon hebat, siapalah saya untuk dibandingkan dengannya. Saya hanya mahu berikan yang terbaik di pentas teater nanti.
Boleh ceritakan serba sedikit berhubung keperibadian anda yang barangkali tidak diketahui umum?
Saya memang seorang yang penakut terutamanya jika berada di tempat gelap. Selain itu, saya tidak makan budu dan sos cili. Saya juga memiliki tabiat suka menggigit kuku serta suka mengelamun sejak kecil.