LAGU Hey Kau berjaya menjadi introduksi buat Sandra, bukan hanya dalam pasaran muzik tempatan, bahkan ke Indonesia.
PENYANYI yang cukup dikenali menerusi lagu Hey Kau, Sandra mengakui walaupun single sulung nyanyiannya itu popular dalam kalangan peminat, kewujudannya sebagai penyanyi masih samar-samar.
Sandra atau nama lengkapnya, Alessandra Dianne Ampuria, 22, bagaimanapun berasa beruntung kerana episod awal kerjayanya sebagai penyanyi menemukan dia dengan nama-nama besar seperti Tam Spider dan penulis lirik, Iman Imran. Peluang bekerjasama dengan mereka menerusi single sulungnya, Hey Kau memperkenalkan Sandra ke negara jiran.
Melalui lagu berkenaan, Sandra berjaya mencuri perhatian di Indonesia apabila Hey Kau dimainkan secara serentak di lapan buah stesen radio di republik tersebut.
Sandra bercerita mengenai misi mencipta nama sebagai penyanyi dan perkembangan terbaharunya.
BULETINMALAYSIA!: Tahniah dengan kejayaan single berjudul Hey Kau yang berjaya menaikkan nama anda sebagai seorang penyanyi. Bagaimana perasaan anda sekarang?
SANDRA: Alhamdulillah, saya tidak sangka akan mendapat maklum balas positif pendengar hanya dengan kemunculan single pertama. Saya bersyukur dan gembira, walaupun sebelum ini saya gagal untuk bergelar peserta dalam program realiti Mentor Legend, ternyata rezeki untuk bergelar penyanyi tidak terhenti di situ. Saya harap momentum baik ini dapat dikekalkan untuk perjalanan seni yang masih panjang.
Maaf bertanya, adakah anda berkecil hati apabila ramai berpendapat lagu tersebut sangat popular tetapi peminat tidak mengenali siapa penyanyi yang mendendangkannya?
Saya masih baharu dalam industri dan faham tidak semua penyanyi atau artis akan dikenali umum dalam masa yang singkat. Kalau saya terus hasilkan karya yang bagus, mungkin selepas ini lebih ramai peminat akan mengenali siapa saya. Bagi saya, tidak perlu terburu-buru untuk mencipta nama kerana apa yang saya utamakan adalah muzik. Jika ia sampai ke telinga peminat, saya cukup gembira.
Single Hey Kau kini menembusi radio di Indonesia, boleh perincikan kejayaan tersebut dan bagaimana usaha mengembangkan pengaruh muzik anda di Indonesia?
Syukur alhamdulillah. Itu semua usaha dan kesungguhan syarikat rakaman, Indigital Music yang sudah lama mencuba untuk menembusi pasaran di sana. Tahun lalu ketika bercuti di Bali, saya diperkenalkan dengan sebuah syarikat produksi di sana iaitu Wastu Art Production dan mereka melihat pakej yang ada pada saya untuk pasaran Indonesia.
Saya sendiri terkejut apabila mereka berminat dengan lagu dan nyanyian saya dan pastinya gembira kerana usaha selama ini berhasil.
Terima kasih kepada pencipta lagu, Tam Spider dan Iman Imran kerana menghasilkan karya yang melekat di minda dan bibir pendengar.
Kami juga mempunyai perancangan untuk ke sana (Indonesia) tetapi ia masih dalam proses perbincangan.
Adakah anda sendiri mempunyai keyakinan untuk menembusi pasaran muzik di sana?
Jujur dikatakan, saya hanya mencuba. Berjaya atau tidak, itu soal kedua. Indonesia adalah sebuah negara yang besar dan semestinya pasaran di sana lebih luas dan sukar untuk diterokai.
Bagaimanapun, kalau ada rezeki untuk dikenali di sana, saya tidak akan mensia-siakannya. Sebelum ini, ramai penyanyi tempatan berjaya membina nama di sana dan kejayaan mereka memerlukan semangat yang kuat.
Maaf bertanya, ada yang tidak berapa senang dengan saiz fizikal anda yang disifatkan terlalu kurus. Boleh berikan sedikit komen?
Ya, ramai yang memberi reaksi mendakwa saya terlalu kurus. Apa yang boleh dikatakan, memang begini bentuk fizikal saya. Bukan tidak cukup makan (ketawa), cuma rasanya bentuk tubuh saya sukar untuk berubah. Saya makan banyak pun tetap begini tetapi saya ambil kritikan tersebut untuk terus memperbaiki diri.
Boleh ceritakan perkembangan terbaharu anda?
Single kedua saya berjudul Ku Tak Mahu Cinta sudah dilancarkan. Insya-Allah, menjelang Mei nanti single ketiga yang mengambil judul daripada nama saya sendiri iaitu Alessandra pula akan dilancarkan. Menariknya lagu tersebut sudah siap dirakam dan ia berentak balada.