BERGELAR anak seni bernama Azlan banyak likunya. Orang menyangka, seperti deras dan tingginya setiap not yang dialunkan jejaka kelahiran daerah Hulu Langat, Selangor tersebut, seperti itu jugalah kemeriahan hidup yang dikecapi bekas vokalis Meet Uncle Hussain berkenaan.
Azlan atau nama lengkapnya, Nor Azlan Rosle, 34, telah mengalami pelbagai perubahan hidup sejak mula bergelumang dalam seni muzik tanah air pada 2007. Selepas lagu antem siulan ramai, Lagu Untukmu memecah dingin industri ketika itu, Azlan terus mengorak langkah biarpun dia kini tidak lagi bersama Meet Uncle Hussain sebagai vokalis yang ‘digeruni’ ramai.
Barangkali masih terngiang-ngiang di telinga peminat tatkala Meet Ungle Hussain dijulang tinggi apabila Lagu Untukmu diumumkan sebagai pemenang Juara Lagu ke-23 pada tahun 2009.
Tidak dapat dinafikan bahawa itu adalah mercu tanda keberadaan Azlan dalam industri muzik tempatan, sekali gus menyemarakkan lagi fenomena muzik indie pada ketika itu.
Maka bertebaranlah kepercayaan peminat kepada kebanjiran band-band lain yang memperjuangkan muzik indie seperti Hujan, Bittersweet, The Times dan Laila’s Lounge.
Hampir sedekad berlalu, apa yang boleh disimpulkan pengaruh muzik indie tidak lagi seperti dulu. Masih ada tetapi kencangnya tidak sama pada waktu gemilang muzik indie suatu ketika dulu. Tidak menafikan hal tersebut, Azlan sebagai antara pelopor muzik indie tempatan tidak berang dengan nuansa terkini cabang muzik yang menjadi pintu rezeki buatnya.
“Sebenarnya, muzik ini umpama roda. Kadangkala kita berada di atas, kadangkala di bawah. Saya yakin masih ramai peminat muzik indie di luar sana. Cuma, barangkali sebagai manusia biasa mereka mengalami perubahan hidup seperti berkeluarga.
“Alasan kukuh mengapa sekitar tahun 2007 muzik indie senang bertapak adalah semangat serta kerjasama semua pihak. Sifat keterbukaan pendengar untuk menerima muzik baharu pada ketika itu adalah sangat memberangsangkan,” ujarnya kepada Kosmo! pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Album studio kedua
OPTIMIS: MELIHAT pada senario band indie tempatan yang semakin suram, Azlan percaya tahun ini (2016) bakal menjadi tahun kebangkitan buat muzik indie apabila banyak band indie terkemuka negara yang akan melancarkan album terbaharu seperti Hujan dan Bittersweet. Tidak terkecuali, Azlan & The Typewriter turut ingin melancarkan album studio tahun ini.
Sudah lama meninggalkan bayang Meet Uncle Hussain, Azlan yang kini kukuh berdiri selaku vokalis band Azlan & The Typewriter yang turut dianggotai Andy (gitaris), Man (bass), Bakri (drum) dan Amy (keyboard) kini sedang menumpukan sepenuh perhatian dan ketekunan untuk menghasilkan album studio kedua yang bakal dilancarkan pada tahun ini.
“Setakat ini, dua buah lagu sudah siap dirakam. Tinggal lagi, ia perlu menjalani proses mastering. Album ini mesti berada di pasaran pada tahun ini juga.
“Apa yang menjadi misi dan harapan untuk album kali ini, saya berharap ia boleh diterima oleh setiap lapisan masyarakat. Untuk itu, muzik atau bunyian setiap lagu dalam album ini perlu mesra pendengar dan bersifat universal,” katanya bersahaja.
Bercerita lanjut, Azlan memberitahu bahawa dia tidak akan teragak-agak untuk melancarkan mana-mana single sebaik sesebuah lagu sudah sedia untuk dimainkan di corong-corong radio mahupun di internet.
“Trend muzik sudah berubah. Kalau dahulu perlu tunggu siap sekurang-kurangnya lima buah lagu baru album boleh masuk pasaran dan dilancarkan. Bagi saya sekarang, mana-mana lagu yang sudah siap perlu diperdengarkan di arus perdana dan hanya kemudian akan dimuatkan dalam album.
“Dengan senario penjualan album fizikal yang semakin mengecewakan, kita (pembikin muzik) perlu mencari alternatif terbaik untuk mengharungi cabaran dalam industri muzik yang semakin mencabar.
“Dalam hal ini, untuk terus memartabatkan industri muzik tempatan, ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk penyanyi, penerbit dan peminat. Sesuatu kejayaan tidak akan menjadi realiti sekiranya ia hanya didukung satu pihak sahaja. Itu bukan cara orang muzik bekerja,” getus Azlan.
Showcase, harapan
KESIHATAN: DISEBABKAN kepadatan jadual seni, Azlan memberitahu bahawa berat badannya turun sebanyak 10 kilogram terutama apabila diberi tanggungjawab sebagai mentor pertandingan Mentor Milenia selain sibuk dengan urusan pembikinan album terbaharu.
Bakal mengubat kerinduan para peminat yang dahagakan kemantapan vokal serta mutu muzik Azlan & The Typewriter, band yang cukup dikenali menerusi lagu Tanda Tanya itu akan mengadakan Showcase Rock & Roll Bersama Azlan & The Typewriter di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 24 April ini.
Dengan tiket berharga RM65, showcase yang bermula pada pukul 3 petang itu bakal menyaksikan penceritaan pahit manis perjalanan arus seni Azlan & The Typewriter melalui untaian lagu band tersebut.
“Tiada masalah untuk menyanyikan lagu lama. Showcase ini akan menceritakan perjalanan hidup saya sebagai pemuzik, dari dulu hingga ke hari ini. Bukan mudah untuk mencipta nama sebagai anak seni melainkan dengan kesungguhan dan ketabahan dalam mengharungi apa juga rintangan.
“Saya percaya ramai yang rindukan persembahan pentas daripada Azlan & The Typewriter. Showcase ini diharap dapat mengumpulkan peminat-peminat kami yang selama ini sentiasa menyokong perjalanan muzik kami,” ulasnya lagi.
Dalam rancak bersembang, terpacul kenyataan Azlan yang agak berdukacita dengan senario industri muzik hari ini yang masih ketinggalan berbanding negara-negara lain.
“Mengambil contoh Korea Selatan yang menjadikan muzik K Pop sebagai fenomena yang berjaya menjelajahi seluruh pelosok dunia. K Pop bukan sahaja sebuah industri tetapi ia juga adalah kuasa ekonomi yang besar.
“Kita lihat bagaimana ia boleh menakluk dunia walaupun ia hanya sebuah industri yang kecil. Muzik bukan sahaja muzik di tempat mereka, ia telah berkembang kepada pelbagai cabang seperti makanan, barangan dan banyak lagi yang dipengaruhi oleh kuasa muzik K Pop,” tegas Azlan.
Bagaimanapun kata Azlan, dia gembira kerana sejak akhir-akhir ini bakat pemuzik tempatan lebih diberi tumpuan berbanding suatu ketika dahulu yang lebih terarah kepada pemuzik luar seperti dari Indonesia.
“Pada pendapat saya, perkembangan ini adalah suatu perkara yang sangat positif. Ini membuktikan bahawa kita tidak perlu bergantung pada pemuzik luar untuk mendengar muzik yang bagus,” katanya menutup bicara.
Sementara itu, bersempena dengan Showcase Rock & Roll Bersama Azlan & The Typewriter yang bakal diadakan, pihak Azlan menawarkan lima pasang tiket eksklusif menonton persembahan dan sesi ramah mesra bersama kumpulan tersebut.
Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Felicia di talian 013-362 4518.