BERTEMBUNG - Captain America: Civil War menyaksikan pertembungan luar biasa dua puak iaitu puak Iron Man dan Captain America.
Buat julung kalinya, adrenalin peminat tegar adi wira Captain America ataupun Iron Man akan mencanak tinggi apabila filem terbaharu terbitan Walt Disney Studios Motion Pictures, Captain America: Civil War mula menjengah pawagam tempatan pada Khamis (hari ini).
Diarahkan oleh dua sutradara berkaliber antarabangsa, Joe Russo dan Anthony Russo, tiada kata mampu diucap betapa naskhah kali ini amat ditunggu-tunggu peminat siri tersebut.
Masakan tidak, naskhah kali ini bakal menyaksikan pertembungan dua puak iaitu Captain America dan Iron Man yang masing-masing tidak tercela dengan status watak jahat atau dalam istilah komik dikenali sebagai villain. Kedua-duanya adalah superhero atau adi wira kesayangan dunia yang mempunyai pengikut tersendiri.
Jika naskhah Batman v Superman: Dawn of Justice mendapat reaksi yang pelbagai dalam kalangan penonton, Captain America: Civil War barangkali berbeza penerimaannya.
Ini kerana Captain America Civil War, turut diperhebatkan dengan kemunculan watak adi wira serta villain terkemuka lain seperti Black Widow, Winter Soldier, Falcon, War Machine, Hawkeye, Black Panther, Vision, Scarlet Witch, Ant-Man, Agent 13 dan tidak ketinggalan Spiderman.
Mencabar, panas
Menggalas watak utama sebagai Captain America bukan suatu perkara yang mudah buat aktor kacak, Chris Evans, 33. Evans terkenal sebagai seorang bintang yang bukan sahaja menghamburkan bakat lakonannya semata-mata, dia juga figura yang mempunyai bakat unik sebagai pengarah.
Sejak watak Captain America diterjemahkan olehnya di layar perak menerusi debut Captain America: The First Avenger pada tahun 2011, bintang Evans sebagai seorang pelakon terus menjalar dan tidak keterlaluan jika dikatakan, dia adalah antara adi wira terhangat yang menjadi bualan ramai peminat terutama dalam kalangan peminat wanita.
“Sangat seronok untuk mengetahui paparan watak adi wira yang diterjemahkan di layar perak mendapat sambutan yang menggalakkan. Bukan mudah melakonkan watak adi wira kerana setiap adi wira mempunyai kostum yang berbeza.
“Sebagai Captain America, kostum yang dipakai memang panas dan setiap kali saya menyarung kostum berkenaan, memang akan berpeluh. Itu adalah antara cabaran setiap kali turun ke set penggambaran filem bercorak adi wira,” ujarnya dalam satu temu bual bersama BlackTree TV.
Kata Evans, penggambaran dijalankan di Atlanta, Georgia dan dia menggelarkan lokasi tersebut sebagai ‘Hotlanta’ kerana kepanasan yang melampau.
“Waktu itu memang musim panas dan saya tidak mampu menghalang peluh daripada mengalir di badan. Kostum yang ketat dan bergetah, memang sangat mencabar bagi saya tetapi ia merupakan suatu pengalaman yang menyeronokkan terutama bekerja dengan Robert Downey Jr. (Iron Man),” katanya.
Bukan mudah untuk mencapai keserasian apatah lagi apabila melibatkan pertembungan dua bintang hebat, Evans dan Downey. Bagi Evans, dia sangat selesa bekerja dengan Downey yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.
“Saya tidak suka Iron Man, saya hanya bergurau. Kami mungkin merupakan seteru dalam Civil War tetapi apabila di luar set penggambaran kami merupakan rakan baik.
“Pun begitu, kami juga banyak bertengkar untuk menghasilkan persembahan yang terbaik dalam Civil War,” ujar Evans dalam satu temu bual rancangan bual bicara, Jimmy Kimmel Live.
Usia bukan penghalang
Berbeza berbanding lelaki yang menyarung kostum Captain America, Downey yang memperdagangkan watak Iron Man barangkali mempunyai persepsi berlainan sewaktu melakonkan watak adi wira baju besi berkenaan.
Masakan tidak, jika Evans berusia 32 tahun, Downey sudah menjangkau usia 51 tahun. Biarpun begitu, ramai yang kagum dengan ketangkasannya sebagai Iron Man dalam semua filem jenama adi wira tersebut walaupun dia adalah di antara aktor yang masih bertahan membawakan watak tersebut tatkala usia semakin lanjut.
“Saya pasti seseorang pelakon akan diberi peluang selagi dia mampu melakukannya. Faktor usia bukan kekangan jika anda mampu berlakon dengan baik.
‘‘Tidak menjadi masalah jika penonton terus mahu melihat anda di kaca televisyen mahupun layar perak sebagai seorang adi wira,” getus Downey dalam satu temu bual.
Disogok pertanyaan mengenai Evans sebagai Captain America, Downey sangat menghormati aktor tersebut sebagai sahabat dan teman seperjuangan.
“Dia seorang yang sangat kacak dan telah berjaya membawa nama Captain America lebih daripada jenama adi wira. Di Amerika, ia telah menjadi satu budaya yang sukar dibendung. Semua orang sukakannya.
“Misalnya, jika saya berjalan di pusat beli-belah, selalu saya lihat orang memakai baju dengan nama Captain America terpampang di dada mereka. Itu menjadi bukti bahawa dia telah berjaya menghidupkan watak tersebut lebih daripada segala-galanya,” kongsinya.
Apa yang paling seronok dalam Civil War, Downey berkata: “Bagi saya, ia merupakan kedatangan semula ke fasa kebebasan dan kerjasama bersama adi wira lain. Apa yang penting, saya membawakan watak Tony Stark atau Iron Man dengan sebaik-baiknya. Itu yang paling seronok.”
Pertembungan epik dalam Captain America: Civil War disebabkan jumlah manusia dengan kuasa luar biasa semakin meningkat, satu ikatan harus dilakukan untuk memastikan mereka tidak menjadi ancaman kepada penduduk bumi.
Maka, timbul konflik dan menjadikan para adi wira berpecah kepada dua pihak; setuju dan tidak bersetuju.
Kedua-dua pihak yang diterajui oleh Captain Amerika dan Iron Man perlu mendapatkan solusi dengan pantas sebelum mereka mula berbunuhan sesama sendiri.