Loque, si Badang Kota Raya


Muncul dengan single terbaharu, Badang Kota Raya, kata Loque, lagu tersebut ditujukan buat pemuzik generasi kini utuk terus berkarya.

LEGASI muzik nusantara kumpulan Monoloque bermula sekitar tahun 2012, selepas album perdana mereka, Hikayat Halimunan Abad Ke-21: Jejak Tanah diterbitkan.

Ketika itu, percubaan pertama vokalisnya, Loque memecahkan klise muzik arus perdana berhasil apabila single berjudul Kekanda Adinda, duet dengan Atilia mendapat sambutan positif pendengar.

Terus mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik tempatan, Monoloque kemudiannya melahirkan sebuah mini album berjudul Inderaloka (2013) dan seterusnya sebuah single tentang realiti kehidupan masyarakat kota berjudul Ringgit pada tahun lalu.

Seperti arca yang dibentuk bagi menggambarkan sebuah penceritaan, Loque dilihat utuh mengekalkan acuan muzik garapannya walaupun banyak genre muzik baharu diperkenalkan saban waktu.

“Tidak dinafikan, ramai juga bertanya adakah saya tidak berasa jemu kerana sering melakukan perkara yang sama?

“Namun, saya dilahirkan untuk berkarya dan menghasilkan lagu-lagu sebegini. Jika bukan saya yang meneruskan legasi ini, siapa lagi?” tutur Loque atau nama lengkapnya, Khairil Ridzwan Annwar membuka bicara.

Tambah Loque, lagu-lagu yang digarap tidak terlalu dikongkong dengan muzik nusantara sejati. Namun, muzik-muzik Melayu yang diangkat turut disuntik dengan elemen moden agar hasil akhirnya dapat diterima dengan baik oleh khalayak.

“Harus diakui, lagu-lagu sebegini agak sukar untuk menembusi pasaran muzik arus perdana, apatah lagi berlawan dengan karya-karya sedia ada.

“Jadi, apa yang boleh saya buat adalah bergerak seiring dengan muzik moden agar cita rasa muzik pendengar dapat dipenuhi,” katanya yang kini sedang sibuk mempromosikan single terbaharu, Badang Kota Raya.



Band tempatan

Melanjutkan bicara mengenai pengisian single terbaharunya, bekas ahli kumpulan Butterfingers itu berkata, Badang Kota Raya ditulis sebagai aspirasi buat band tempatan untuk terus berkarya.

“Sejak kebelakangan ini, band-band tempatan kurang menonjolkan diri dan menerbitkan karya-karya baharu. Sejak muzik hip-hop dan pop merajai carta muzik, lagu-lagu yang dibikin dengan instrumen gitar seperti dilupakan.

“Saya berharap band-band indie kembali mencetuskan fenomena dan memeriahkan industri muzik tempatan seperti dahulu,” ujar Loque.

Ditanya adakah kelompok pemuzik tempatan takut berdepan trend muzik semasa sehingga enggan menerbitkan lagu-lagu baharu, Loque berkata, ia seperti suatu kitaran.

“Kemunculan trend baharu boleh disifatkan sebagai suatu kitaran. Sebagai pemuzik yang bagus, mereka sepatutnya ‘hidup’ dan bersaing dalam kitaran tersebut menerusi lagu-lagu ciptaan mereka,” katanya yang juga terlibat dengan pembikinan single runut bunyi untuk filem Redha berjudul Ayah.

Loque juga giat menyiapkan album studio keduanya, Jangan Puja Sampai Kecewa dan sebuah album kerjasama khas bersama Muzium Pahang berjudul Lagu Perang.

Buku

Selain menulis lagu, Loque juga menumpahkan sisi kreatifnya ke dalam bentuk tulisan dengan menerbitkan sebuah buku berjudul Butterfingers: Untuk Seketika Ku Hilang.

Ditulis oleh I. Shah, buku tersebut telah mula dijual sejak awal April sempena pengundurannya daripada kumpulan Butterfingers 10 tahun lalu.

“Buku tersebut diterbitkan sempena dengan ulang tahun ke-10 penerbitan album terakhir saya bersama Butterfingers iaitu Selamat Tinggal Dunia.

“Banyak yang diceritakan dalam buku tersebut dan ia merupakan sebuah memoir bermakna untuk saya, Butterfingers dan peminat,” katanya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post