Percubaan pop Hunny Madu


SEJAK menjadikan muzik sebagai nadi kariernya sekitar 2004, Hani Farhana Mohd. Hatim atau lebih mesra disapa Hunny Madu dilihat begitu sinonim dengan irama hip-hop dan R&B.

Setia mewarnai portfolio seninya dengan variasi lagu-lagu berentak sedemikian, Hunny kukuh membina empayarnya menerusi lagu-lagu berjudul Miss Strong, Bayangkanlah, 3 Perkara dan Kisah Kita.

Pacuan karya segar milik Hunny yang dimulakan menerusi album debut, Pulau Janji (2011) dan kemudiannya ditumpahkan ke dalam sebuah mixtape berjudul GoHard Or GoStan (2014) jelas mendefinisikan kekuatannya sebagai seorang penghibur.

Biarpun darah seninya pekat mengalirkan nuansa muzik bercorak sebegitu, namun Hunny tidak pernah menyangkal tentang kuasa dan pengaruh yang diberikan muzik pop, iaitu genre muzik arus perdana yang senang diterima pendengar.

Menyedari hakikat tersebut, Hunny memberanikan diri untuk cuba bereksperimen dengan acuan muzik dan menerbitkan sebuah lagu berentak pop rancak berjudul Hello.

“Saya bukan jenis memilih dan sentiasa terbuka untuk mendengar semua jenis muzik. Banyak genre muzik yang saya dengar termasuklah world music, dangdut dan country.

“Sejujurnya, muzik pop memang sudah sebati dalam kehidupan kita. Sebagai eksperimen, saya rasa tidak salah untuk menerbitkan sebuah lagu yang lain daripada lagu-lagu saya sebelum ini,” tutur Hunny membuka bicara sewaktu ditemui pada majlis pelancaran singlenya di Hippie Club, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai lagu yang turut menampilkan rapper Aman Ra itu, Hunny menyifatkan perubahan hala tuju muziknya bukan secara total, malah lebih fokus kepada percubaan baharu dalam mewarnai karya-karya muzik sahaja.

“Tidak dinafikan, sejak tiga tahun lepas saya kerap muncul dengan lagu berentak hip-hop kerana menganggap ia adalah medium paling senang untuk menyalurkan mesej.

“Namun, adakalanya teman rapat tidak memahami apa yang ingin disampaikan menerusi lagu-lagu sebelum ini. Sehinggalah saya menyuarakan idea untuk menerbitkan Hello, banyak respons positif yang diterima,” tuturnya.

Berbicara lanjut mengenai Hello, Hunny berkata, idea untuk menulis lagu berentak pop datang secara spontan.

Ujar bekas penyampai radio Fly FM itu, perkataan ‘hello’ dan melodi awal hadir serentak dan penceritaan lagu tersebut diinspirasikan daripada kisah cinta ketika zaman remajanya.

“Secara teknikalnya, melodinya ringkas dan liriknya senang untuk didengar. Mungkin sewaktu menulis liriknya, saya sedang mengimbau memori silam bercinta secara jarak jauh sewaktu zaman remaja.


Lagu Hello disifatkan Hunny sebagai percubaan sulungnya untuk lari daripada kepompong hip-hop dan R&B.

“Saya berharap agar apa yang ingin disampaikan ini diterima oleh pendengar,” ujar Hunny.



Tulis lagu

Melihat pada pola penerimaan pendengar masa kini terhadap karya yang dilantunkan penyanyi, lagu-lagu berentak rancak dengan lirik yang bersahaja lebih senang diterima oleh pendengar dan hal ini diakui sendiri oleh Hunny.

Namun, menurut pengacara Hip TV itu, Hello mungkin merupakan satu-satunya karya bergenre pop yang akan dihasilkan olehnya.

“Setakat ini, saya tidak merancang untuk menerbitkan sebarang lagu yang berentak seperti Hello. Namun, jika peminat memberikan maklum balas positif, saya mungkin akan menulis lagu yang berentak serupa.

“Bagaimanapun, ia tidak mempunyai elemen organik seperti yang ada dalam Hello,” ujarnya yang merancang untuk memuatkan lagu tersebut ke dalam album keduanya kelak.

Bercakap mengenai perancangan penerbitan album baharunya, Hunny berkata, konsep yang akan diketengahkan kelak lebih matang dan tersusun berbanding sebelum ini.

“Biarpun tidak merancang untuk mengeluarkan album tahun ini, saya sudah membayangkan laluan muziknya berdasarkan single-single yang pernah saya terbitkan.

“Sama seperti Pulau Janji tetapi ia lebih matang dan tidak terlalu carca-marba,” katanya yang akan muncul dengan sebuah single berbahasa Inggeris pada bulan Mei nanti berjudul Missing You.

Radio

Jika dilihat pada perkembangan kariernya, Hunny lebih dekat di hati peminat sebagai penyampai radio berbanding penyanyi.

Memulakan kerjayanya di stesen radio Fly FM sejak 2008, Hunny hanya sempat bergelar penyampai selama empat tahun sebelum menoktahkan perkhidmatannya pada 2012.

Dia menamatkan tugas atas alasan untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada bidang muzik yang telah lama ditinggalkan.


Selepas muncul dengan single Hello bekerjasama dengan Aman Ra, Hunny Madu merancang untuk mengeluarkan sebuah single berbahasa Inggeris, Mei nanti.

Menurut Hunny, dia begitu menggemari kerjaya sebagai seorang penyampai radio tetapi kekangan masa yang begitu ketat membuatkan dia mengambil keputusan untuk menarik diri.

“Ramai yang tidak tahu, kerjaya sebagai penyampai radio merupakan satu tugas yang sangat memenatkan. Saya kurang masa untuk diri sendiri dan keluarga serta sukar untuk bercuti.

“Jadi, disebabkan saya mahu memberi fokus kepada kerjaya nyanyian, saya mengambil keputusan untuk berhenti,” katanya.

Ditanya adakah dia akan kembali bergelar penyampai radio, Hunny menjawab: “Jika tawaran yang diberikan kena dengan masanya, mungkin dalam masa tiga atau empat tahun lagi saya akan kembali bergelar penyampai radio.

“Sejujurnya, saya suka bercakap di radio. Rasanya seperti bercakap dengan kawan.”

Fesyen

Seiring dengan kepelbagaian muziknya, Hunny juga dikenali sebagai individu yang berani dalam berfesyen. Namun, variasi fesyen yang digemari Hunny tidak semeriah warna muzik garapannya.

“Saya gemar berfesyen tetapi tidak suka menggayakan busana yang terlalu banyak permainan warna.

“Walaupun muzik yang saya bawakan agak rancak tetapi kebanyakan pakaian yang saya gayakan adalah berwarna putih dan hitam. Mungkin itu merupakan signatur imej yang dekat dengan diri saya,” katanya.

Biarpun melekat pada skala warna monokrom, Hunny masih mampu tersenyum lebar tatkala pengacara rancangan Fashion Police, Giuliana Rancic memuji busana rekaan Lynda Rahim yang pernah digayakannya sewaktu berjalan di karpet merah Anugerah Skrin 2015.

Rancic memuji gaya yang dibawakan oleh Hunny selepas pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi meminta komennya mengenai cara dan cita rasa berpakaian artis Malaysia sewaktu berada di Hollywood, Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Saya berasa sungguh gembira kerana Datuk Aznil memilih gambar saya dan gambar tersebut dipuji oleh Rancic.

“Kritikan positif itu bukan sahaja untuk saya tetapi untuk semua pereka tempatan yang lain,” ujarnya yang menyimpan hasrat untuk membuka sebuah butik fesyen suatu hari nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post