Percubaan komedi Shira Saad


TERINGIN berlakon di sisi pelakon kacak, Fattah Amin, Shira Saad tidak mahu hanya dikenali dengan imej seksi atau wajah cantik, sebaliknya ingin menjual bakat lakonan.

PERTAMA kali diberi tanggungjawab menggalas watak besar dalam filem berjudul Lu Mafia Gua Gangster (LMGG), pelakon Shira Saad mengakui gementar menunggu sambutan penonton terhadap filem terbitan hasil naskhah usahasama Red Fires Film Production dan RJ Future Sdn. Bhd. tersebut.

Meskipun masih hijau dalam bidang lakonan, Shira Saad atau nama lengkapnya, Nurul Shahira Saad, 22, yang sebelum ini dikenali menerusi drama Benci Tapi Married bercerita mengenai wataknya dalam filem tersebut.

“Saya memegang watak sebagai Ros, seorang gadis kampung yang mempunyai hubungan istimewa dengan Amir (lakonan Atu).

“Alhamdulillah, ini merupakan pengalaman pertama saya memegang watak utama dalam filem selepas beberapa kali menjayakan watak tempelan dalam filem-filem sebelum ini,” ujarnya ketika hadir pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Terdahulu, Shira pernah berlakon dalam beberapa filem seperti Aku Akan Muncul, Romeo Kota dan Mat Moto. Bagaimanapun, Shira percaya banyak lagi perkara yang perlu dipelajari.

“Alhamdulillah, saya banyak belajar daripada pelakon-pelakon senior seperti Datuk Jalauddin Hassan. Walaupun merupakan orang lama, beliau tidak lokek ilmu lakonan,” katanya.



Hanya SPM

Diajak berbicara tentang cabaran sepanjang menjalani penggambaran filem arahan sutradara berbakat bernama Roy tersebut, wanita berkulit kuning langsat kelahiran Johor itu menyifatkan lakonan dalam filem komedi tidak semudah yang disangka.

“Melakonkan watak komedi juga bukan mudah kerana saya tidak dilahirkan dengan bakat untuk membuat lawak. Jadi, saya harus banyak melakukan kajian untuk memastikan lakonan saya setaraf dengan pelakon-pelakon lain.

“Selain itu, saya juga perlu menjayakan beberapa babak aksi dan ia bukanlah sesuatu yang mudah buat saya. Mujur, dengan adanya bantuan daripada pihak produksi, segalanya berjalan dengan lancar,” katanya yang sangat meminati bakat lakonan aktres Lisa Surihani dan Nora Danish.

Bercerita lanjut perihal dirinya, Shira memberitahu bahawa walaupun taraf pendidikannya hanya bersandarkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), perkara tersebut bukan alasan untuk tidak terus memperbaiki diri terutama dalam bidang lakonan.


SHIRA mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa untuk menceburi bidang lakonan.

Ulas Shira yang masih bekerja di sebuah firma guaman di Johor: “Walaupun hanya mempunyai SPM, tahap akademik itu tidak membataskan saya untuk tidak bekerja keras dalam apa jua perkara yang saya ceburi. Saya ingin buktikan walaupun hanya mempunyai SPM, saya juga boleh berjaya seperti orang lain.

“Kalau orang ingin mengkritik mengapa saya tidak menyambung pelajaran selepas SPM, itu adalah hak mereka. Apa yang penting adalah fokus dalam setiap perkara yang dikerjayakan. Insya-Allah, ada rezeki buat orang yang bekerja keras.”

Tambahnya lagi, seperti pelakon lain, dia juga perlu menjalani sesi uji bakat untuk mendapatkan watak yang diidamkan dalam filem LMGG.

Shira tidak menolak sekiranya suatu hari nanti terpaksa berhenti kerja demi memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang lakonan yang semakin hari semakin membuahkan impak positif dalam hidupnya.

“Banyak lagi yang perlu saya belajar. Biarlah orang kata lakonan saya kayu atau apa pun, saya lebih mengerti apa yang saya mahukan dalam hidup,” kata anak ketiga daripada lima adik-beradik itu.

Zero

Filem LMGG yang menampilkan kumpulan pelawak Zero akan ditayangkan bermula 21 April nanti. Ia mengisahkan tiga lelaki, Amir (Atu), Rosham (Syyiful) dan Megat (Syarif) yang bekerja di sebuah tempat pelupusan sampah di Johor yang bercita-cita tinggi dan suka berangan.

Pada satu sisi kehidupan yang lain, King (Jalaluddin Hassan) dan Kong (Zack Taipan) merupakan dua mafia yang paling digeruni di daerah sama dan mereka berdua merupakan sahabat baik sejak kecil dan merupakan rakan kongsi bisnes haram yang dijalankan.

King telah kehilangan sebuah kotak berisi berlian dan kotak tersebut ditemui oleh Amir. Situasi menjadi kelam-kabut apabila Amir menjadi sasaran King.

Post a Comment

Previous Post Next Post