Dunia baharu Marsha


Tiada apa yang lebih membahagiakan pelakon dan penyanyi, Marsha Milan Londoh selain daripada bergelar seorang isteri. Perkahwinan memang indah, namun bagi Marsha ia sebuah dunia baharu dalam kehidupannya, sekaligus seorang mualaf sejak Disember lalu.

SELEPAS empat bulan melewati kehidupan sebagai seorang isteri dan seorang mualaf, Marsha Milan Londoh mengakui, kehidupannya mengalami banyak transisi. Paling ketara, perubahan tersebut dapat dilihat sewaktu kakinya melangkah masuk ke Studio Utusan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini, wanita dari Tamparuli, Sabah yang cukup terkenal dengan imej seksi itu, kini selesa menyarungkan pakaian lebih sopan dan tertutup.

Enggan lagi menyarungkan busana mencolok mata, pendirian tersebut bukan atas paksaan mana-mana pihak. Sebaliknya kata Marsha, kesedaran untuk berpakaian lebih tertutup hadir dalam dirinya beberapa bulan sebelum bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 31 Disember tahun lalu.

“Mungkin faktor usia, beberapa bulan sebelum berkahwin saya rasa sudah tiba masanya untuk berimej yang lebih sopan. Cukup-cukuplah seksi sebelum ini.

“Selepas menjadi isteri, ada batas yang perlu dijaga bukan sahaja pergaulan tetapi juga cara pembawaan diri,” kata Marsha yang berasa lebih terjaga dan selamat sejak berkahwin.

Sungguhpun begitu, Marsha yang masih dalam proses mendalami agama Islam selepas mengucap syahadah beberapa minggu sebelum tarikh akad nikahnya itu juga ada menyimpan niat untuk berhijab. Bagaimanapun, biarlah perkara tersebut ditunaikan seiring keikhlasan hati.

“Suami memang suka melihat saya berhijab, namun dia hanya mendoakan yang terbaik buat isterinya. Jika saya berhijab suatu hari nanti, biarlah ia datang daripada hati sendiri bukan atas paksaan orang lain,” ujarnya.

Meskipun masih terlalu baharu memeluk Islam, Marsha amat bertuah kerana dikelilingi rakan dan keluarga mertua yang amat menyokongnya. Justeru, proses penghijrahannya tidak sukar, sebaliknya cukup indah.

Bahkan sebelum memeluk Islam lagi, Marsha telah mula menghadiri kelas agama untuk mengisi ilmu di dada bagi melengkapkan diri sebagai seorang Muslim.

“Sekarang pun saya masih menghadiri kelas agama. Alhamdulillah, saya berkawan dengan ramai orang Melayu, jadi sudah tahu perkara asas tentang Islam. Saya masih dalam proses belajar. Saya juga bersyukur kerana selepas berkahwin, saya tinggal dengan keluarga mertua, jadi setiap hari ada sahaja ilmu baharu yang dipelajari daripada mereka,” tutur Marsha.

Biarpun empat bulan telah berlalu, masih terkesan di fikirannya tekanan yang dipikul sebelum sah bergelar isteri. Baginya, Disember tahun lalu merupakan tempoh paling sibuk dan penuh dengan tekanan. Masakan tidak, dalam tempoh cuba mendalami Islam dan menyiapkan diri bergelar isteri, dia perlu berhadapan dengan pelbagai dugaan termasuk khabar angin telah memeluk Islam dan berkahwin senyap-senyap.

“Disember tahun lalu merupakan tempoh yang paling berserabut dalam hidup saya. Dalam keadaan perlu menjaga hati keluarga sendiri dan bakal mertua, saya harus berdepan dengan tekanan emosi sendiri.

“Ketika sedang sibuk dengan persiapan perkahwinan, belajar agama Islam dan kerja, tiba-tiba ada gosip mengatakan saya telah pun peluk Islam serta sudah berkahwin. Walhal ketika itu saya belum lagi mengucap syahadah dah berkahwin. Tekanan waktu itu sangat tinggi. Namun, sebaik memeluk Islam dan sah bergelar isteri, semua tekanan itu hilang. Mengingati detik itu, membuatkan saya bersyukur dengan kebahagiaan yang dimiliki hari ini,” kata Marsha jujur.

Bulan madu

Jelas Marsha, kehidupannya kini terasa lebih tenang dan bahagia. Bahkan menetap bersama keluarga mertua bagai sebuah dunia baharu. Baginya tinggal bersama keluarga suami merupakan pilihan terbaik.

Selain dapat mengeratkan silaturahim, secara tidak langsung dia juga dapat mengubat kerinduannya tinggal dalam keluarga yang besar.

“Hidup saya terasa lebih meriah kerana menetap bersama keluarga mertua. Setiap hari, rumah akan kecoh dan bising, suasana itu yang saya suka. Sebelum berkahwin dahulu perasaan sebegitu hanya dirasai apabila balik kampung di Sabah.

“Apa yang menariknya, setiap kali makan tengah hari atau makan malam, kami akan berkumpul ramai-ramai. Saya juga selalu memasak untuk suami, namun masakan yang mudah sahaja, masih kena menuntut dengan ibu mertua,” ujar Marsha tertawa bahagia.

Sambung Marsha yang mengakui perkahwinannya masih dalam fasa berbulan madu, dia dan suami merancang untuk bercuti ke luar negara sekitar Mei nanti. Mereka akan mengembara ke beberapa buah destinasi popular antaranya London, Monte Carlo, Amerika Syarikat dan Dubai.

“Orang yang telah lama berkahwin menasihatkan saya supaya berjalanlah sepuas-puasnya sebelum dapat anak. Nanti sudah ada anak susah untuk berjalan jauh,” luahnya sambil ketawa.

Bercakap tentang cahaya mata pula, pelakon filem Laga itu tidak kisah seandai dikurniakan anak dalam tempoh terdekat. Tidak pernah merancang mahu melewatkan anugerah tersebut, baginya rezeki akan hadir atas kehendak Ilahi.

“Buat masa ini belum ada rezeki lagi. Doakan yang terbaik buat saya,” tutur Marsha.



Fokus nyanyian

Beralih bicara tentang kerjayanya, Marsha mengakui, sejak bergelar isteri dia mula memperlahankan karier seni demi memberi fokus kepada kehidupan berkeluarga. Sungguhpun suami amat memahami dan merestui pekerjaan yang dilakukan, Marsha sedar tempatnya adalah di sisi keluarga.

Oleh itu, untuk tahun 2016, dia akan memperlahankan kerjaya lakonan dan memberi fokus kepada nyanyian sahaja. Bagaimanapun, itu tidak bermakna Marsha meninggalkan terus bidang lakonan yang telah mengangkat namanya, cuma selepas ini dia akan lebih selektif dalam memilih tawaran.

“Semasa bercinta, suami kurang faham, namun selepas saya bawa ke lokasi penggambaran, dia mula memahami jadual kerja seorang penyanyi serta pelakon.

“Cuma untuk tahun 2016, saya memilih untuk fokus kepada bidang nyanyian. Sebabnya bidang nyanyian mempunyai jadual kerja lebih pendek daripada lakonan dan membolehkan saya mempunyai lebih masa dengan keluarga. Selain itu, ramai peminat sekarang terlupa bahawa Marsha seorang penyanyi.

“Perkara itu berlaku kerana sejak kebelakangan ini kerjaya lakonan lebih menonjol daripada nyanyian,” tuturnya.

Permulaannya, Marsha kini kembali menerusi single ciptaannya sendiri berjudul Sudah Ku Temui. Menurut peserta Akademi Fantasia musim ketiga itu, lagu berentak balada terinspirasi daripada detik pertemuannya dengan suami pada Oktober 2013.

Disebabkan lagu berkenaan bersifat peribadi, Marsha tidak terfikir untuk mengeluarkan secara komersial. Bagaimanapun, fikirannya berubah selepas lagu tersebut dimainkan dalam video perkahwinan mereka yang ditayangkan pada majlis resepsi di Kuala Lumpur. Respons baik yang diterima daripada tetamu yang hadir mengubah fikirannya.

“Menariknya, muzik video lagu berkenaan turut menyelitkan momen istimewa pada majlis perkahwinan saya.

“Jadi, apa salahnya saya berkongsi detik istimewa bersama peminat. Sebenarnya proses menyiapkan lagu tersebut hanya memakan masa tidak sampai sebulan termasuk sesi rakaman yang berlangsung dua hari sebelum majlis resepsi tersebut,” ujarnya tentang lagu yang disusun oleh Tam Spider itu.

Berkebolehan dalam penciptaan lagu, Marsha bagaimanapun mengakui, masih banyak yang perlu dipelajari. Penciptaan lagu masih terlalu baharu buatnya dan Marsha bersedia menyahut cabaran seandainya ada penyanyi yang sudi menggunakan khidmatnya sebagai komposer mahupun penulis lirik pada masa depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post