Liyana Jasmay tolak program realiti


Liyana JASMAY berasa sedih apabila rakan-rakannya yang terdiri daripada pelakon dikritik hebat dalam sebuah program realiti.

Pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay menolak untuk menyertai program realiti televisyen yang tidak memberi impak positif kepadanya. Dia berkata demikian ketika disoal mengenai trend terkini dalam kalangan selebriti, tidak kiralah penyanyi mahupun pelakon yang berlumba-lumba menyertai program realiti televisyen.

Liyana yang ditemui pada majlis sidang akhbar Karya 12 di Kuala Lumpur baru-baru ini bagaimanapun tidak menghentam selebriti yang menyertai program realiti televisyen kerana itu hak masing-masing. Bagaimanapun, seperti kata pepatah, cubit paha kanan, paha kiri pun terasa, dia turut terkilan apabila rakan-rakan pelakonnya dikritik hebat bukan sahaja oleh juri, tetapi juga khalayak ramai apabila bakat nyanyian mereka dipertikaikan dalam sebuah program realiti sejak bersiaran dua minggu lalu.

Bagi Liyana, andai nama sudah kukuh dalam industri seni, tidak perlu menyertai mana-mana pertandingan realiti televisyen yang boleh menjatuhkan kredibiliti sendiri. Katanya, ada pelbagai strategi lain yang boleh dilakukan untuk kekal relevan dan popular.

Sementara itu, Liyana turut memberitahu, dia bakal muncul dengan single terbaharunya berjudul Oh Na Na tidak lama lagi. Bukan itu sahaja, mengikut perancangan, ibu kepada Sofia Arissa, 2, dan Selena, tiga bulan, akan mengeluarkan satu single baharu setiap bulan.

BULETINMALAYSIA!: Apa khabar Liyana? Lama berehat selepas bersalin anak kedua, apa perkembangan terkini kerjaya anda?

Liyana: Khabar baik. Selepas melahirkan anak kedua pada 22 Januari lalu, kini saya kembali aktif dan mengeluarkan single terbaharu berjudul Oh Na Na.

Selain lagu berkenaan, terdapat dua buah lagu lagi hasil ciptaan Aliff Abdullah, bekas anggota kumpulan Sleeq yang akan dikeluarkan. Maknanya saya akan keluarkan single baharu setiap bulan.

Mengapakah anda memilih strategi sebegitu?

Bagi saya, rugi sekiranya keluarkan hanya sebuah lagu setahun. Sebagai pendengar muzik, dalam tempoh dua minggu atau sebulan, saya akan bosan mendengar lagu yang sama. Jadi, lebih baik keluarkan lagu sebanyak mungkin dan tidak berhenti menghasilkan karya baharu. Aliff dipilih sebagai komposer kerana dia amat memahami jalur muzik dan kehendak saya.



Bagaimana pula dengan kerjaya lakonan?

Buat masa ini syarikat produksi saya, Mermaid Studio dalam proses akhir menyiapkan filem Bella dan Jamie. Sekitar Mei nanti, saya akan terlibat dengan penggambaran sebuah telefilem.

Saya juga terlibat dalam telefilem arahan Ghaz Abu Bakar berjudul Syahadah Yang Hilang untuk projek Karya 12 yang akan disiarkan setiap Sabtu bermula 30 April ini pukul 10 malam di Astro Citra (131) dan Mustika HD (134).

Sejak kebelakangan ini muncul banyak program realiti televisyen membabitkan selebriti. Adakah anda berminat, jika ditawarkan menyertai program sedemikian?

Andai dihulurkan tawaran, saya akan fikirkan impak dan faedah yang diterima daripada program berkenaan. Jika ia membuatkan saya nampak hebat atau melonjakkan nama, boleh difikirkan. Jika sebaliknya, lebih baik tidak perlu sertainya.

Harus ada sebab yang kukuh memperjudikan jenama yang dibina selama ini untuk saya menyertai sesebuah program realiti.

Apakah pendapat anda sendiri terhadap keputusan rakan pelakon yang menyertai sebuah program realiti nyanyian ketika ini?

Itu hak mereka, namun kritikan dan komen negatif yang diterima daripada khalayak membuatkan saya sedih. Kesemua mereka merupakan rakan saya dalam industri, apabila bakat mereka dipertikaikan, saya turut terasa dan sakit hati.

Mereka semua pelakon yang bagus, mungkin keputusan menyertai program sedemikian tidak tepat. Apa pun, saya harap mereka terus kuat dan kualiti persembahan bertambah baik minggu demi minggu.

Bagaimana pula dengan kehidupan anda apabila bilangan ahli keluarga bertambah?

Sudah tentu semakin sibuk tetapi saya semakin bahagia. Walaupun penat, tidak ada apa yang perlu saya rungutkan. Sekarang sudah ada pembantu yang menjaga anak kedua, jadi tidak terlalu penat. Saya masih boleh bekerja, cuma harus bijak membahagikan masa.

Post a Comment

Previous Post Next Post