Joe Flizzow jadi penceramah motivasi


JOE FLIZZOW (tiga dari kiri) menjadi antara penceramah motivasi sempena program IM4U Reach Out 2016 baru-baru ini.

SIAPA sangka, di sebalik petah lentur nyanyiannya meluncurkan kata-kata menerusi lagu-lagu berentak hip hop, tersimpan satu bakat dan kemahiran unik dalam diri Joe Flizzow.

Penyanyi dan produser muzik popular itu kini sering diberi kepercayaan oleh beberapa organisasi tempatan untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada golongan remaja.

Dalam diam, sebenarnya sudah hampir empat tahun dia terlibat selaku penceramah motivasi. Bagi Joe, peluang tersebut tidak dilepaskan bagi mendekati golongan muda dan berkongsi pendedahan tentang kehidupan dan pilihan kerjaya pada masa akan datang.

“Kebanyakan remaja di Malaysia sering menjadikan sijil universiti sebagai tanda aras untuk berjaya. Walhal banyak lagi cabang kerjaya yang boleh diceburi berdasarkan minat.

“Biarpun kita dididik sebegitu tetapi saya cuba mendedahkan betapa pentingnya mereka keluar dan mencuba sesuatu di luar kepompong selesa,” katanya ketika ditemui pada majlis akhbar program iM4U Reach Out 2016 di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Tambah Joe, atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 36, pendedahan tersebut perlu bagi menggalakkan golongan belia sedar tentang potensi diri, lebih-lebih lagi jika mahu menceburkan diri dalam bidang seni.

“Mungkin ada antara mereka yang belajar untuk bergelar doktor atau jurutera tetapi pada masa yang sama, mereka mahu menjadi seorang pelukis atau pereka seni halus.

“Tidak salah untuk mencuba, asalkan mereka sedar tentang kebolehan dan bakat sendiri,” katanya yang sering bercakap mengenai pengalaman hidup dan kerjayanya sebagai seorang penyanyi.

Melanjutkan bicara mengenai program iM4U Reach Out 2016 yang berlangsung di iM4U Central, Puchong pada 9 April lalu, Joe yang terlibat untuk kali keempat sebagai penceramah motivasi berkata, dia berasa berbesar hati kerana sekali lagi dapat berkongsi pengalaman dengan golongan muda.

Katanya, program yang menekankan penglibatan golongan remaja dan belia sebagai sukarelawan itu perlu dianjurkan setiap tahun agar kesedaran tentang nilai-nilai murni dapat dipupuk dengan cara alternatif.

“Inisiatif program ini adalah untuk memberikan suatu tanggapan positif terhadap aktiviti sukarelawan di negara kita,” katanya lagi.



Muzik berevolusi

Dalam perkembangan lain, setelah hampir tiga tahun sepi tanpa album solo, pelantun lagu Apa Khabar itu juga merancang untuk menerbitkan album studio solo kelimanya tahun ini.

Ujar Joe, pendengar boleh menjangkakan sebuah evolusi muzik yang lebih segar dan bertepatan dengan trend industri menerusi karya terbaharunya nanti.

“Seperti fesyen, muzik juga mengalami transisi yang luar biasa. Sebagai seorang penyanyi dan produser, sudah semestinya saya mahukan kelainan dalam album saya nanti,” katanya.

Sebelum menutup bicara, Joe sempat berkongsi mengenai pengisian album berkenaan kelak.

“Saya mahu mengeluarkan sebuah album yang sedikit berbeza berbanding album Havoc. Mungkin pada kali ini, lagu-lagu Inggeris bakal mendominasi keseluruhan pengisian album berkenaan,” tutup Joe.

Post a Comment

Previous Post Next Post