Aminhayat botak kerana alopesia


SELAIN masih meneruskan rawatan memulihkan masalah keguguran rambut yang dihidapi, Aminhayat membentuk kesedaran umum masyarakat dengan mencetuskan kempen alopesia.

Sudah seminggu selebriti televisyen, Aminhayat Abd. Rahim tampil dengan imej tanpa rambut atau botak ketika membaca berita di saluran TV9.

Kelihatan pelik dan sedikit janggal, namun pembaca berita itu menjelaskan, penampilan baharunya bukan sengaja dibuat-buat atau gimik untuk menaikkan rating.

Sebaliknya, lelaki berusia 34 tahun itu sudah jenuh berdepan masalah keguguran rambut yang kronik atau dikenali sebagai alopesia.

Masih tidak berputus asa meneruskan rawatan masalah berkenaan, Aminhayat turut terpanggil menyuntik kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya alopesia.

Tidak bersendirian, usaha tersebut malah mendapat sokongan majikan tempatnya mencari rezeki sejak 10 tahun lalu. Hasilnya, kempen kesedaran alopesia turut disiarkan menerusi sebuah laporan khas di Berita TV9 dua minggu lalu.

BULETINMALAYSIA!: Umum tahu, fesyen dan imej seseorang pembaca berita tidak boleh keterlaluan tetapi Aminhayat kini tampil botak. Anda kelihatan agak janggal, kenapa memilih berimej sedemikian?

Aminhayat: Saya membotakkan kepala bukan kerana fesyen, disengajakan ataupun gimik tetapi disebabkan masalah keguguran rambut yang dikenali sebagai alopesia. Alopesia menyebabkan keguguran rambut di bahagian belakang kepala secara bertompok-tompok. Saya mengambil keputusan untuk membotakkan terus supaya kelihatan lebih kemas.

Sejak bila sebenarnya anda ‘berperang’ dengan masalah tersebut?

Sebenarnya, sudah dua tahun yang berdepan masalah ini. Cuma ia bertambah serius sejak awal 2016. Akibat masalah rambut, hampir sebulan juga saya hidup tertekan.

Apakah yang sebenarnya membuatkan anda begitu tertekan?

Imej dalam kerjaya pembaca berita dan personaliti televisyen merupakan sesuatu yang amat penting. Saya telah mencuba pelbagai rawatan tetapi belum ada yang menunjukkan perubahan positif.

Rasanya, belum ada pembaca berita di Malaysia yang asalnya mempunyai rambut kemudiannya menukar imej menjadi botak.



Justeru, apa tindakan yang dilakukan sepanjang usaha menangani masalah tersebut?

Selepas masalah semakin kronik, saya akhirnya berjumpa dengan doktor pakar. Hasil penerangan doktor dan kajian, saya dapati alopesia merupakan masalah yang sering dihidapi lelaki dan wanita. Namun, saya tidak mudah putus-asa dan masih meneruskan rawatan yang mengambil masa sekitar enam bulan.

Bagaimana pula dengan idea kempen kesedaran tentang alopesia?

Sebagai pesakit alopesia, saya faham perasaan dan tekanan yang dihadapi golongan senasib. Kebanyakan mereka berasa malu dan mendapatkan rawatan di tempat yang salah.

Saya mahu khalayak sedar bahawa alopesia bukanlah pengakhiran kehidupan, jadi tidak perlu malu kerana ia boleh dirawat. Cuma ingin saya berpesan agar dapatkan rawatan daripada pakar yang bertauliah.

Bagaimana perasaan anda apabila berimej botak?

Mulanya memang kekok, rasa seperti makhluk asing. Topi menjadi aksesori wajib. Selepas orang sekeliling pun terbiasa dengan imej baharu ini, secara automatik saya pun okey.

Bagaimana pula dengan kerjaya anda sebagai pembaca berita?

Alhamdulilah, pihak pengurusan memberikan sokongan penuh. Selepas 10 tahun bersama TV9, selain membaca berita saya juga seorang penerbit. Walaupun tiada rambut, saya masih diberi kepercayaan muncul di kaca televisyen (ketawa).

Post a Comment

Previous Post Next Post