KERJASAMA antara Malaysia dan negara luar bagi menjayakan sebuah naskhah seni bukan suatu perkara luar biasa dalam industri hiburan tempatan.
Baik bidang muzik mahupun lakonan, perkongsian kreatif antara dua rumpun berbeza juga dilihat kerap membuahkan paduan yang unik, sekali gus menepati cita rasa masyarakat tempatan.
Terbaharu, menerusi kerjasama antara Media Prima Berhad dan rumah produksi Orangetree Productions, sebuah drama rantaian yang menampilkan kerjasama antara pelakon Malaysia dan Indonesia dijadualkan bakal menjalani penggambaran pada Oktober depan.
Diberi judul Dia, drama rantaian 150 episod itu turut menyaksikan kolaborasi sulung antara pelakon popular Indonesia, Irwansyah dan bakat baharu dari Malaysia, Zahirah MacWilson.
Berkesempatan bertemu dengan Irwansyah pada majlis Media Prima Screening 2016 yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini, pelakon yang pernah popular dengan filem Heart itu mengakui teruja dengan kerjasama yang terjalin antara dua rumpun itu.
Biarpun pertama kali terlibat dalam produksi drama tempatan, namun intuisi hatinya kuat mengatakan bahawa Dia bakal menarik kelompok peminat selain mencetuskan fenomena tersendiri.
“Drama Dia boleh dikatakan sedikit berbeza jika mahu dibandingkan dengan drama-drama yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Ceritanya tidak terlalu rumit tetapi cukup membuatkan khalayak tertarik untuk menontonnya.
“Justeru, saya berasa senang apabila diberi peluang dan kepercayaan oleh Media Prima bagi menjayakan drama bersiri ini,” kata Irwansyah membuka bicara.
Melanjutkan bicara mengenai drama tersebut, Irwansyah berkata, hampir 70 peratus proses penggambaran dilakukan di Malaysia dan penonton berpeluang menyaksikannya melontarkan dialog dalam bahasa Melayu.
“Saya cuba belajar dengan Zahirah dan pelakon lain untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.
“Jadi, saya berharap agar drama rantaian ini dapat diterima dengan baik oleh penggemar di Malaysia,” katanya yang menjanjikan lakonan yang lebih segar dan matang.
Perubahan
Menyentuh mengenai kehidupan peribadinya, selain sibuk mengusahakan laman web jual beli online wokuwoku.com bersama isteri, Zaskia Sungkar, pelantun lagu Camelia itu kini lebih selesa untuk mendekatkan diri dengan ajaran Islam.
Ujar lelaki berusia 31 tahun itu, kehidupannya jauh lebih tenang berbanding dahulu dan banyak perkara dapat diselesaikan apabila fikiran tidak lagi terisi dengan perkara yang sia-sia.
“Saya berubah kerana memikirkan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Alhamdulillah, hidup saya kini semakin tenang.
“Jika dulu jiwa sering berada dalam keadaan yang tidak tenteram tetapi kini lebih terurus,” ujar Irwansyah yang kerap menghabiskan masa lapangnya dengan membaca al-Quran.
Dalam perkembangan terbaharu, Irwansyah bakal muncul dengan single berunsur ketuhanan bersama Zaskia berjudul Harim Di Tanah Haram.
Kolaborasi
ADIK-BERADIK TIRI - Irwansyah dan Zahirah masing-masing pertama kali dipertemukan dalam dunia lakonan. Melalui drama rantaian Dia, mereka menjadi pasangan adik-beradik tiri.
Sementara itu, bagi Zahirah, 21, bergandingan bersama Irwansyah dalam sebuah drama rantaian merupakan suatu peluang yang berharga buat dirinya.
Katanya, peluang tersebut akan digunakan sebaik mungkin dalam mempertingkatkan mutu lakonan selain memberikan yang terbaik kepada penonton.
“Ini merupakan kolaborasi pertama saya dengan pelakon dari seberang yang melibatkan sebuah drama rantaian.
“Sejujurnya, saya berasa sungguh gembira dan teruja kerana dia merupakan seorang pelakon yang besar di sana,” tutur Zahirah yang turut bergandingan dengan pelakon Janna Nick.
Menyingkap perjalanan dan plot drama tersebut, Zahirah berkata, dia bakal memegang watak sebagai Aina, iaitu adik tiri kepada Adit (Irwansyah) yang berkelana ke Kuala Lumpur selepas bapanya meninggal dunia.
“Drama Dia merupakan sebuah naskhah yang dipenuhi dengan kisah cinta dan konflik yang melibatkan watak-watak utamanya,” kata Zahirah.
Jika diselak kembali halaman awal kariernya sebagai seorang pelakon, kehadiran Zahirah dalam industri seni tidak hanya bersandarkan pada kerjaya lakonannya semata-mata.
Anak kepada pelakon Zainol Johari MacWilson itu pernah beberapa kali dikaitkan dengan kontroversi termasuk isu cubaan diculik yang berlaku di pusat beli-belah The Curve, Selangor akhir tahun lalu.
Pada masa yang sama, kisah cintanya bersama pelakon Zul Ariffin juga menjadi buah mulut peminat apabila Zahirah dikatakan menjadi penyebab keruntuhan hubungan Zul dengan bekas kekasihnya, produser Gayatri Su-Lin Pillai.
Tidak mahu kisah kontroversi tersebut terus mengekorinya, Zahirah memutuskan untuk memberi fokus kepada kariernya.
“Buat masa ini, saya hanya mahu memberi fokus kepada kerja. Walaupun agak penat tetapi ia membuatkan saya lupa pada dunia luar.
“Pada masa yang sama, saya juga berasa sangat bersyukur kerana ayah sangat memahami dan banyak mengajar saya tentang selok-belok dunia hiburan,” katanya menutup bicara.