Ali XPDC tenang selepas berhijrah


ALI (dua dari kanan) bersama ahli kumpulan XPDC generasi kedua iaitu (dari kiri) Lola, Eddie dan Izo bakal berkongsi pentas bersama kumpulan XPDC generasi pertama dan May dalam Konsert May vs XPDC: Rentap Kasi Sentap yang akan diadakan di Padang B, Plaza Angsana, Johor pada 1 Mei depan.

SEWAKTU berkesempatan bertemu dengan bekas vokalis generasi kedua kumpulan rock XPDC, Ali pada sidang media Konsert May vs XPDC: Rentap Kasi Sentap (Konsert May vs XPDC) di Quill City Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini, penampilan lelaki berusia 48 tahun itu kelihatan jauh berbeza berbanding dahulu.

Menyarungkan jubah berona hitam dan lengkap berserban, Ali XPDC dilihat begitu selesa menggayakan imej baharunya.

Tutur percakapannya juga disusun lebih lembut, sekali gus membuktikan penghijrahan Ali atau nama sebenarnya, Mohd. Ali Ismail sekitar lima tahun lalu bukan sekadar cakap-cakap kosong.

Ali berkata, biarpun sudah berhijrah dan kerap dijemput untuk menghadiri majlis agama, minatnya terhadap muzik masih belum terpadam.

Katanya, dia masih aktif menyanyikan lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan dan pernah menerbitkan sebuah album berjudul Maghfirah Mu pada tahun 2014.

Dalam perkembangan lain, Ali memberitahu, dia bakal berkongsi pentas bersama ahli-ahli asal kumpulan XPDC dan May menerusi Konsert May vs XPDC yang bakal diadakan di Padang B, Plaza Angsana, Johor pada 1 Mei depan.

BULETINMALAYSIA!: Apa khabar Ali? Bagaimanakah kehidupan anda selepas mengambil keputusan untuk berhijrah?

ALI: Khabar baik. Kehidupan saya sama seperti dahulu. Masih lagi menyanyi dan bermain muzik. Cuma, masa yang ada lebih digunakan untuk berdakwah dan mengikuti kelas agama. Saya juga sering dijemput oleh ustaz-ustaz untuk bercerita tentang kisah hidup saya menerusi majlis-majlis agama.

Sejak bilakah anda mengambil keputusan untuk berhijrah dan mendalami ilmu agama?

Sekitar tahun 2011, ketika usia saya sudah menginjak ke angka 40, perasaan bimbang mula muncul dalam diri. Apabila melihat anak-anak membesar, saya sering bertanya pada diri, sampai bila saya perlu hidup dalam kehidupan dengan amalan yang tidak mencukupi? Sejak itu, secara perlahan-lahan, saya mula mencari suasana baharu dan berubah ke jalan yang lebih diredai. Alhamdulillah, saya lebih tenang dan istiqamah sehingga hari ini.

Anda dilihat sering mengenakan jubah walaupun ke majlis hiburan. Adakah anda menjadikan jubah sebagai pakaian harian anda?

Ya, sejak mendalami ilmu agama, saya kerap menyarungkan jubah. Mengenakan jubah dan membela janggut merupakan sunah, jadi perkara yang elok seharusnya diamalkan.

Bagaimanakah dengan penerimaan peminat?

Setakat ini, peminat memberikan maklum balas positif. Sebagai contoh, sewaktu dijemput untuk membuat persembahan pada sebuah konsert di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, saya mengenakan jubah sambil menyanyikan lagu-lagu berentak rock.

Walaupun tidak agresif, namun saya menerima komen yang memberangsangkan daripada peminat. Lebih menggembirakan, ramai yang meminta saya untuk kekal dengan imej sebegini.

Bagaimanakah pula dengan tawaran nyanyian? Adakah anda risau imej baharu menjejaskan periuk nasi anda sebagai penyanyi?

Pada awalnya, saya berasa risau. Namun, saya yakin dengan rezeki kurniaan Allah. Biarpun pendapatan tidak setinggi dulu tetapi rezeki yang dikurniakan tidak pernah putus.

Adakah anda akan berhenti menyanyi suatu hari nanti?

Seorang ustaz pernah menasihati saya agar tidak berhenti menyanyi. Katanya, suara saya ini adalah anugerah daripada Allah dan mencadangkan supaya menggunakannya ke arah kebaikan. Jadi, disebabkan itu saya muncul dengan album kerohanian berjudul Maghfirah Mu.

Maaf bertanya. Nama anda disenaraikan pada saat-saat akhir untuk mengikuti Konsert May vs XPDC. Adakah anda dipilih kerana vokalis asal XPDC, Mael terlibat dengan kes dadah dan ditahan oleh pihak polis di Johor?

Berkenaan perkara tersebut, saya tidak boleh memberi komen lanjut. Apa yang boleh saya katakan, saya dijemput oleh pihak penganjur iaitu ARD Management untuk mengadakan persembahan bersama ahli asal XPDC dan kumpulan May pada konsert itu nanti.

Adakah anda tidak terasa hati apabila dipanggil oleh penganjur pada saat akhir?

Tidak sama sekali. Saya anggap jemputan itu sebagai rezeki. Pada masa yang sama, hubungan saya dengan ahli XPDC lain termasuk yang asal masih dalam keadaan baik. Sebab itu saya bersetuju untuk terlibat dalam konsert ini.

Boleh kongsikan sedikit mengenai konsert tersebut?

Saya dan ahli XPDC generasi kedua yang lain iaitu Izo (gitar), Eddie (bass) dan Lola (dram) masih berbincang mengenai persembahan. Senarai lagu juga belum ditentukan tetapi kami akan cuba untuk melakukan yang terbaik untuk peminat. Bagi yang berminat untuk menonton, tiket berharga dari RM30 hingga RM700 boleh didapati menerusi talian 07-234 8634 atau pesanan WhatsApp di talian 016-916 0809.

Post a Comment

Previous Post Next Post