Shah Iskandar murah rezeki selepas nikah


Shah Iskandar dan isteri, Sarah masih mencari waktu yang sesuai untuk berbulan madu.

Kehidupan pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar Mahfuz, 33, semakin sibuk dengan tawaran berlakon selepas mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Siti Sarah Mohd. Noor, 30, hampir empat bulan lalu.

Berikutan kekangan kerja, majlis resepsi pihak perempuan hanya sempat diadakan pada Sabtu lalu di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, Selangor sekali gus memberi peluang kepada pihak media untuk sama-sama meraikan hari bahagianya.

Menurut Shah, rezekinya dalam dunia seni tidak putus-putus selepas bergelar suami dan dia menganggap perkara itu sebagai keberkatan hubungan yang baru dibina.

“Kehidupan saya secara peribadi pastinya berubah kerana kini sudah mempunyai isteri yang perlu dijaga dan ditanggung.

“Kadang-kadang apabila bangun pagi, saya masih terkejut melihat Sarah di sisi, mungkin kerana berada dalam proses penyesuaian hidup berdua,” katanya sambil tertawa sewaktu ditemui di majlis resepsi di Shah Alam pada 16 April lalu.

Walau bagaimanapun, pasangan merpati dua sejoli ini masih tidak berkesempatan untuk berbulan madu kerana Shah terikat dengan jadual penggambaran yang ketat.

Tambah Shah, dia dan isteri langsung tidak mempunyai masa berbincang soal itu kerana menumpukan perhatian kepada kerjayanya masing-masing.

“Sarah mempunyai perniagaan produk kecantikan yang perlu diuruskan, manakala saya seperti biasa berulang-alik antara Singapura dan Malaysia bergantung kepada tawaran lakonan.

“Insya-Allah, jika kami berdua merasakan jadual karier semakin teratur, baru kami akan memikirkan tentang bulan madu,” ujarnya yang memilih Greece atau Korea Selatan sebagai destinasi pilihan.



Tidak menumpang

Sementara itu, Sarah sempat memberitahu bahawa ura-ura yang mendakwa dia kini menanggung suaminya selepas berkahwin adalah tidak benar sama sekali.

Kata Sarah, suaminya tidak pernah masuk campur urusan perniagaannya kecuali jika diminta pendapat malah sering menyokong dari sudut promosi dan pemasaran.

“Tiada istilah dia menumpang hasil pendapatan saya kerana Shah mempunyai kerjaya sebagai pelakon yang menjadi sumber rezekinya dan setakat ini lebih daripada cukup untuk menyara kami berdua.

“Sebaliknya, Shah tidak pernah berkira untuk menggunakan namanya sebagai selebriti dalam membantu mengenalkan produk kecantikan syarikat saya,” tambahnya lagi.

Hal berkenaan disokong oleh Shah yang memberitahu apabila sesuatu perkara itu melibatkan keluarga, dia tidak suka untuk menjadikannya hal bisnes semata-mata.

Dia akan cuba membantu sedaya upayanya sebagai tanda semangat kepada isterinya dalam dunia perniagaan dan sebagai bukti dia bangga dengan apa yang diusahakan oleh Sarah.

“Ketika Sarah menerima saya untuk menjadi suami, saya sudah cukup bersyukur dia mahu sama-sama menempuhi cabaran andai terpalit cerita kontroversi kelak.

“Selagi saya boleh membantu memajukan perniagaannya, saya akan cuba lakukan sebagai bukti cinta saya kepadanya,” katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post