Kak Ani lunas janji


PUNCAK GAPURA - Single terkini Kak Ani, Puncak Gapura, membuka jendela baharu dalam karier seninya yang pernah mahu ditutup kerana disifatkan seperti sudah tidak mendapat sambutan.

BERDIKIR puteri, bertinting berhadrah, menjulang pula manira ke puncak gapura. Mungkin secara ironinya patah-patah kata itu cukup ampuh untuk melakar karier 30 tahun Noraniza Idris. Bermula dengan lagu hit Dikir Puteri sehingga terkini, Puncak Gapura, penyanyi wanita itu masih setia memperjuangkan seninya.

Ada pepatah dahulunya menyebut, jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai. Samalah seperti keringat Noraniza Idris atau mesra dipanggil Kak Ani yang tidak pernah menyerah dalam memartabatkan seni dan budaya dalam setiap karyanya. Ceritanya sama dengan kata-kata; kalau persembahan Kak Ani, tiada segerombolan penari mesti tidak sah!

Apabila memetik perihal segerombolan, pasti yang mengikut perjuangan Kak Ani terbayang-bayang lincah tarinya sepanjang lebih 10 tahun edisi Anugerah Juara Lagu. Dikir Puteri, Dondang Dendang dan Ngajat Tampi, senarai itu antara yang pernah memenangi Persembahan Terbaik anugerah tersebut. Belum lagi dihitung kira persembahan yang tidak kurang bisa misalnya Tinting, Ayuh Juragan, Awallah Dondang, Tandang Bermadah, Hala Timur dan Hatinya Tak Tahan.

Mengimbas semula momen nostalgik karier dan kehidupannya, Kak Ani muncul bersama Konsert Lentera Muzika Noraniza Idris Masyhur 30 Tahun baru-baru ini.

Seri panggung

Banyak suntikan sentimental diberi hanya darpada nama dan lokasi penganjuran konsert itu. Pertamanya, perkataan masyhur yang paling tepat menjadi representasi dirinya dalam usia 30 tahun kerjaya seni, Masyhur juga sebenarnya merupakan album terbaik antara 15 album studio yang dilahirkan Kak Ani. Banyak lagu hit yang mencipta kemenangan Kak Ani dikelek dalam album yang diterbitkan pada tahun 1999 itu.

Keduanya, pentas Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 1985, kurang lebih 30 tahun dahulu adalah pentas sulungnya mencipta nama.

Terfikir juga, bagaimanakah untuk sebuah konsert yang meraikan 30 tahun, beratus-ratus buah lagu dalam 15 buah album dikumpulkan dalam durasi kurang daripada dua jam?

Menjawab tanda tanya itu, Kak Ani bermula dengan mengadunkan medley lagu-lagu rakyat dari negeri Pantai Timur dan kepulauan Borneo bersama signatur segerombolan penari atas satu pentas. Hala Timur, Dikir Puteri, Rodat, Jambatan Tamparuli dan Tum Ketumba antara pembuka tirai konsert itu.

Persalinan Kak Ani kali ini juga ringkas sahaja. Menyarung busana serba hitam, cuma bertukar-tukar helaian luaran serta hiasan kepala, Kak Ani tidak memerlukan sebarang gimik berlebih-lebih dan hanya bertumpu pada konsep persembahan, gerak tari dan laungan vokal sahaja. Kombo Budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggalas tanggungjawab untuk memberikan suntikan segar dalam lagu dendangan Kak Ani pada malam itu. Hasilnya sungguh indah terutama pada segmen kedua, Pertama Kali.

Jatuh air mata

Untaian lagu yang dipilih bercerita dengan sendirinya. Eratnya pelukan Kasihnya Ibu (dendangan Allahyarham Datuk Sharifah Aini) dan lunaknya Sri Mersing (Allahyarham Kamariah Nor) mengheret emosi audiens untuk bersama-sama merasai putusnya sayang antara ibu dan anak sebelum tiba masa. Ketika ini alun vokal Kak Ani mengalir bersama basah air matanya.

Terus larut dalam genang sedih dan syukur, Mengemis Rindu, Anak Tani dan Joget Jauh Pandangan menggantikan seleksi lagu dalam segmen sama.

Segmen Pribumi barangkali antara segmen menarik dalam edisi persembahan Kak Ani sempena konsert tersebut. Menyatukan lagu-lagu etnik dan pelbagai suku kaum di Malaysia, audiens dijamu dengan kerancakan tarian dan pelbagai gimik menarik dalam Ayuh Juragan, Tandang Bermadah dan Ngajat Tampi.

Pastinya persembahan Kak Ani tidak lengkap tanpa tingkah zapin. Ya, lagu Zapin Beradat dan Akar Kita Zapin menemukan penyudah kepada Konsert Lentera Muzika Noraniza Idris Masyhur 30 Tahun baru-baru ini.

Sedikit hampa apabila lagu Hati Kama (yang pernah didendangkan bersama Datuk Siti Nurhaliza) hanya menjadi lagu pertaruhan dalam peraduan mencari bakat penyanyi dan penari baharu. Lebih manis andainya lagu itu dinyanyikan semula bersama penyanyi asal.



Sakit beranak sulung

“Perasaan lega selepas tamat konsert ini sama seperti orang sakit beranak sulung! Puas yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Sebenarnya saya sudah bertekad tidak mahu meneruskan karier sebagai penyanyi lagi tahun ini, industri ini sudah tiada ruang untuk saya.

“Tetapi saya terpanggil semula apabila pengurusan saya mengeluarkan semula single Puncak Gapura dalam iTunes dan penerbit pula memberikan saya ruang untuk berkongsi apa yang saya fikirkan kepada orang ramai tentang perjuangan seni ini,” kongsi Kak Ani kepada sahabat media usai konsert.

Kalau ditanya bagaimanakah sifatnya lentera, Noraniza Idris jawabnya. Berkerdipan dan terus bersinar. Sebanyak-banyak kata yang dilenturkan tentang 30 tahun perjuangannya, seperkara yang masih berbekas dalam kepala penulis: “Biarlah yang sedarjat sudah terbang tinggi, asalkan saya masih di sini tidak lupa diri.”

Sudah 30 tahun kembara seni Kak Ani, masih tiada sebarang apresiasi, pangkat atau gelaran istimewa dihadiahkan kepada beliau yang tidak pernah lesu berjuang. Barangkali ada yang belum terpandang.

Ah, masakan perlu lagi gelaran lain, cukuplah jolokan Ratu Pop Tradisional itu menjadi pengenalan bagi satu-satunya insan seni bernama Noraniza Idris.

Post a Comment

Previous Post Next Post