Firdaus Ghufran Tuah drama Budak Tebing

Minat pelakon baharu, Firdaus Ghufran, 18, dalam dunia lakonan cukup menebal sejak zaman kanak-kanak lagi. Bagaimanapun, bakatnya mula menjadi perhatian apabila membintangi drama Budak Tebing arahan Feroz Kadir yang disiarkan menerusi slot Lestary di TV3.

Firdaus atau nama sebenarnya, Muhammad Firdaus Ghani Ghufran berkata, dia mula yakin dengan bakat yang dimiliki selepas membintangi beberapa drama, walaupun hanya watak tambahan.

"Saya bakat perlu digilap demi menerokai dunia lakonan lebih mendalam. Bukan sekadar mahu mendalami ilmu lakonan, saya juga berjinak-jinak dalam dunia penulisan skrip.

"Saya sedang menghasilkan skrip untuk sebuah filem pendek. Saya percaya pengalaman akan mengajar saya untuk menghasilkan skrip yang lebih baik.

"Jadi, saya rasa belum terlambat buat saya menerokai dua cabang seni serentak," katanya kepada BH Online.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, populariti drama Budak Tebing membantu melonjakkan namanya hingga menembusi pencalonan bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33.

"Drama Budak Tebing dibintangi pelakon hebat seperti Aedy Ashraf, Adam Lee, Bella Dowanna, Eyka Farhana, Amyza Aznan, Syazwan Zulkilfly dan ramai lagi. Saya menumpang tempias populariti mereka.

"Lebih bernasib baik apabila drama ini disiarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac lalu. Jadi, ramai yang menontonnya di rumah. Ada hikmah juga di sebalik pandemik COVID-19 ini.

"Episod akhir drama Budak Tebing sahaja ditonton 5 juta. Sepanjang 13 episod bersiaran, saya diberitahu rating mencecah 10 juta tontonan. Itu belum masuk platform digital seperti YouTube, Tonton dan sebagainya, jumlahnya sekitar 9 juta," katanya.

Jejaka yang memiliki wajah seiras pelakon Isa Khan itu berkata, dia melihat pencalonan dalam ABPBH 33 sebagai rahmat buatnya.

"Jujurnya, dapat pencalonan top 20 ABPBH 33 pun rezeki. Saya bersyukur, lama saya menunggu saat nama dapat membolosi pencalonan anugerah berprestij. Saya hanya melihat penganjuran ABPBH 33 daripada kejauhan sahaja selama ini.

"Soal menang atau kalah, saya serahkan pada rezeki. Saya belum mempunyai kelab peminat, tetapi sedang berusaha mewujudkannya.

"Semuanya masih dalam perbincangan. Saya kini hanya melobi undian menerusi media sosial seperti Instagram," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post