Sissy Imann Belum rezeki dikenali ramai

MESKIPUN masih ramai yang belum mengenali nama penyanyi Sissy Imann, ia sama sekali tidak membuatkan wanita cekal ini berkecil hati dan kecewa.

Bagi anak kedua daripada tiga beradik yang mempunyai kelulusan ijazah pendidikan ini, apa yang pasti kanvas kerjaya seninya itu sudah berjaya dicorak dengan baik.

Dari hanya melangkah sebagai penyanyi, Sissy kini sudah bergelar komposer, guru vokal, pemuzik, pelakon dan pengacara. Boleh dikata, semua cabang seni sudah dijejakinya.

Sissy, 25, berkata apa yang membuatkan dia sanggup berjuang dengan semangat kental kerana hasil kerja dan karyanya diterima baik dalam industri hiburan tanah air.

"Kalau nak kira daripada aspek popular di mata peminat, saya tak nafikan harus meningkatkan usaha lagi. Ia berikutan, belum rezeki saya untuk dikenali ramai dan menjadi perhatian peminat.

"Bagaimanapun, saya tak kecil hati nama tak popular seperti selebriti lain. Untuk saya, setakat ini alhamdulillah rezeki dalam kerjaya seni tak putus. Malah, paling utama saya tidak terpalit dengan gosip liar dan cerita sensasi.

"Apapun, saya sangat bersyukur dengan perkembangan kerjaya seni sendiri. Sekalipun, ketika ini ada kekangan dalam kerjaya kerana penularan Covid-19, ia adalah ujian untuk kita semua," katanya.

Berbicara aktiviti di rumah, Sissy berkata, dia banyak meluangkan masa dengan pelbagai aktiviti seni secara dalam talian, termasuk menyiapkan karya lagu mengikut idea yang muncul.

Ditanya mengenai lagu Gundah ciptaannya yang dinyanyikan sendiri, Sissy berkata, dia bersyukur karya itu dipilih menjadi lagu tema (OST) untuk filem Aku Bukan Gila lakonan Fasha Sandha, Beto Kusyairy dan Wanna Ali.

"Saya sebenarnya tak sangka juga apabila pihak penerbit iaitu Pencil Pictures milik Datuk Ayu Puteh berminat dengan lagu ini. Lagu Gundah ini saya hasilkan sesuai dengan emosi yang kecewa akibat cinta.

"Malah, lagu Gundah ini ada kisahnya tersendiri dan sarat mesej. Bagaimanapun, saya tak pernah terfikir lagu Gundah ini akan dipilih menjadi lagu tema filem," katanya.

Sentiasa yakin dengan rezeki ditetapkan Allah buatnya, Sissy berkata dia sedaya-upaya mencuba tidak akan melepaskan setiap peluang yang datang.

"Disebabkan itu, saya tidak bersikap memilih. Pada saya, asalkan tawaran yang datang itu tidak bertindan dengan aktiviti seni yang sedia ada, pasti dipertimbangkan. Malah, selalunya saya terima saja dan atur semula masa.

"Kenapa saya tetap ambil, bukanlah disebabkan tamak, tetapi saya lebih melihat ke arah mahu menimba ilmu dan pengalaman. Bagi saya, lagi seronok untuk mencabar kemampuan bakat sendiri," katanya.

Mengulas juga kecaman atau kritikan netizen, Sissy berkata, pada era pengaruh teknologi dan media sosial sekarang, setiap orang kena jadi lebih matang. Bahkan, hati pula kena kental dan tak boleh cepat koyak atau sentap

Menurut Sissy, dia seorang yang lebih selesa dan tenang berfikir positif. Jadi, segala kecaman dan kritikan pedas

daripada netizen itu tidak diendahkan. Mana yang baik diambil sebagai pengajaran manakala sebaliknya, dibiarkan saja.

Post a Comment

Previous Post Next Post