Syazwan Zulkifly Karier lakonan kembali menyinar




Selepas mencipta nama menerusi drama Juvana sebagai Apek, nama Syazwan Zulkifly sekali lagi menjadi fenomena hasil lakonan mantapnya menerusi watak Pali dalam drama, Pujaan Hati Kanda.

Ironi, tanda pagar #kecampali turut diwujudkan kerana keberkesanannya melakonkan watak seorang lelaki psiko dan kejam terhadap tunangnya yang dilakonkan oleh Mira Filzah itu.

Bahkan, berikan sahaja apa jua watak kepada pemuda berusia 32 tahun ini, pasti dapat dizahirkannya dengan begitu baik dan mantap sekali gus mewarnai lagi sesuatu naskhah tersebut.

Hakikatnya, Syazwan yang mesra disapa Kepeng ini pernah ‘kontang’ tawaran selama 10 bulan sebelum tampil dalam drama Pujaan Hati Kanda tersebut.

“Ya saya akui perkara tersebut. Memang, perjalanan karier lakonan saya perlahan sebelum itu.

“Namun bermula hujung tahun 2018 sehingga kini, alhamdulillah, karier seni saya kembali menyinar” ujarnya kepada Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi khas baru-baru ini, seraya menunjukkan reaksi lega di wajahnya.


Menurut Syazwan, untuk tahun ini sahaja, dia berjaya menerima beberapa tawaran drama dan ada di antara naskhah tersebut sedang ditayangkan di skrin televisyen.

“Sudah pastinya perkara ini sangat menggembirakan hati saya. Secara tidak langsung ia menunjukkan kewujudan saya dalam arena seni ini masih relevan dan bakat lakonan saya masih diterima ramai,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata Syazwan, rezeki yang hadir dalam hidupnya kini, tidak akan sesekali membuatkan dirinya membongak kerana dia sedar setiap pelakon itu memiliki fasa-fasa yang mana akan disukai dan diterima penonton.

Dalam perkembangan lain, Syazwan turut berkongsi yang dirinya bakal tampil dengan filem bergenre psiko thriller terbaharu berjudul Wangi pada 5 September depan bersama pelakon-pelakon hebat lain seperti Erra Fazira, Sharnaaz Ahmad dan Nabila Huda.

“Peranan yang saya bawakan tidaklah sebesar mana, namun begitu saya seronok menjayakannya apatah lagi berpeluang berlakon bersama-sama barisan pelakon hebat serta berpengalaman,” tuturnya yang membawakan watak sebagai teman lelaki kepada aktres Nabila Huda bernama Azlan dalam naskhah arahan Mohd. Latiff Zami itu.

Dalam pada itu, kongsi Syazwan lagi, dia juga bakal muncul menerusi beberapa buah filem lain selepas ini seperti Cinta Romusha dan Bikin Filem.

Post a Comment

Previous Post Next Post