Eyra Hazali nikah awal November




Setiap insan yang menjalin hubungan cinta, sudah pasti mengimpikan bibit rasa kasih yang terbina berakhir dengan sebuah ikatan yang suci. Walaupun secara luarannya nampak indah, hakikat sebenar, setiap pasangan itu pasti melalui dugaan dalam perhubungan, lebih-lebih lagi di fasa ‘darah manis’.

Eyra Hazali bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Foto oleh FAIRUZ IZYANA
Begitu juga dengan apa yang dirasai pelakon yang kini tampil manis berhijab, Eyra Hazali. Sudah mengikat tali pertunangan dengan pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Muhammad Haziq Nadzli, 21, pada Disember tahun lalu, pelakon yang mesra disapa Eyra itu kini sedang menghitung hari bahagianya tak lama lagi.

Jika mengikut perancangan, pemegang trofi Artis Baharu MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2019 itu bakal mengakhiri zaman bujangnya pada awal November ini. Justeru, secara tidak langsung, pelakon berusia 20 tahun itu cuma berbaki kira-kira tiga bulan lagi sebelum menyarung status sebagai seorang isteri.

Dugaan

“Insya-Allah, kami memilih untuk disatukan pada bulan November ini. Bulan tersebut memberi makna kepada kami kerana ia merupakan momen hubungan kami mula menjadi serius. Bahkan, pemilihan tarikh pernikahan juga merupakan tarikh yang mana Haziq meluahkan isi hatinya kepada saya,” kongsi Eyra.

Bagaimanapun, pelakon drama Mr. Grey itu juga tidak menafikan, hubungan mereka juga seperti insan lain yang diuji dengan beberapa ujian ketika bertunang. Bagaimanapun, kongsi Eyra, dugaan yang timbul itu tidak melibatkan kehadiran orang ketiga, sebaliknya ia hanyalah melibatkan ujian yang mengaitkan perasaan diri sendiri terhadap pasangan.

“Saya jadi selalu overthinking (fikir jauh yang bukan-bukan) pula selepas bertunang ini. Walhal sebelum bertunang, tak macam itu pun.

“Allah tak datangkan orang ketiga, tetapi datangkan unsur-unsur perasaan yang saya tak pernah rasa sebelum ini. Sampaikan kadang-kadang saya terfikir kenapalah ada rasa begini pula selepas bertunang,” luah Eyra yang memberitahu persiapan perkahwinannya sudah diselesaikan sebanyak 70 peratus.

Bagaimanapun, menurut Eyra lagi, dia bersyukur apabila Haziq seorang yang bijak dalam mengawal keadaan, biarpun ada ketika emosinya mula menerawang jauh disebabkan sifat overthinking yang dianggapnya sebagai dugaan ketika bertunang.

“Sifat overthinking ini tak sihat sebenarnya. Maklumlah kita ini dah bertunang, ditambah pula dengan hubungan jarak jauh. Sampaikan kadang-kadang apabila dia pergi makan, saya mula berfikir dia pergi makan dengan siapa. Pernah sekali, dia tak benarkan saya menemaninya pulang ke Johor, walhal saya selalu teman dia memandu pulang. Itu yang buat saya mula fikir bukan-bukan. Sebenarnya dia tidak mahu saya rasa penat kerana ada penggambaran keesokannya. Gaduh benda-benda remeh begitulah yang saya maksudkan.

“Cuma, Haziq ini seorang yang sabar melayan kerenah saya. Ada setengah lelaki mungkin penat nak melayan kalau orang asyik fikir bukan-bukan. Kalau saya tidak okey, dia akan pujuk. Kalau saya masih tidak okey, dia akan pergi ke mommy (panggilan ibu Eyra). Sampaikan mommy kata, ada juga dia panggil tok kadi kahwinkan terus sebab pening melayan perangai kami. Fikir-fikir balik memang kelakar,” selorohnya yang menganggap ia sebagai satu dugaan ketika bertunang.

Kongsi Eyra lagi, dia mengakui ada yang melihat usianya berkahwin pada umur 20 tahun terlalu muda. Bagaimanapun, dia percaya bahawa rezeki dan jodoh terletak di tangan Tuhan. Justeru, dia bersedia untuk menggalas tugas sebagai seorang isteri pada usia yang muda.


“Mula-mula apabila dia ajak kahwin, tertanya-tanya juga betul ke? Nak dapatkan izin berkahwinpun bukan senang. Berbagai-bagai dugaan. Cuma, abang saya sendiri yang suruh berkahwin. Katanya, daripada nanti asyik keluar berdua, baik kahwin sahaja dan halalkan perhubungan ini,” ceritanya yang memberitahu akan menetap di Johor mengikuti suami selepas berkahwin kelak.

Begitu pun, menurut Eyra, selepas berkahwin nanti, dia akan terus aktif berlakon seperti biasa. Katanya, Haziq juga tidak pernah melarangnya untuk terus bergiat aktif dalam dunia lakonan memandangkan dia sedia maklum bahawa lakonan merupakan punca rezeki bakal isterinya selama ini.

“Sebelum kami berkenalan lagi, inilah rezeki saya sejak di usia enam tahun. Cumanya, selepas kahwin, kata Haziq, saya kena lihat juga karakter yang akan dilakonkan sebab ada batas-batas yang perlu dijaga,” katanya yang kini muncul dalam drama Puteri Yang Ditukar di saluran Astro Prima.

Letih

Eyra yang membawa watak heroin bernama Zahira dalam drama itu berkata, dia memerlukan komitmen yang cukup tinggi dalam menjayakan drama tersebut.

“Ia sebenarnya satu pengalaman baharu buat saya kerana dapat bekerja dengan dua pasukan berbeza pada satu masa untuk menjayakan drama sebanyak 80 episod itu.

“Sepanjang penggambaran drama ini pun saya tidak menerima tawaran lain kerana jadual yang ketat. Walaupun penat kerana perlu berlari-lari ke dua set penggambaran berbeza, tetapi saya berasa seronok,” katanya yang memberitahu drama tersebut menyediakan dua pasukan penggambaran untuk menjayakan drama Puteri Yang Ditukar dalam masa yang ditetapkan.

Menurut Eyra lagi, dia juga tidak pernah berasa serik untuk terus menerima tawaran yang memerlukan komitmen lama sehingga beratus episod pada masa akan datang.

“Kalau tanya pasal berbulan madu pula, kami mahu tunggu kerja semuanya selesai terlebih dahulu. Tambahan pula, Haziq ada perlawanan bola selepas kahwin,” katanya yang akan berehat selama tiga bulan untuk menikmati alam rumah tangga.

Post a Comment

Previous Post Next Post