Suara rayu Syafiq Farhain




Suasana studio yang suram berubah gamat gara-gara perkongsian berani mati penyanyi Syafiq Farhain bahawa dirinya pernah menjadi mangsa usikan lelaki bernafsu songsang menerusi Instagramnya baru-baru ini.

Tambahan pula dedah pelantun Sayang Maafkan Aku itu, kata ganti diri atau panggilan antara dia dan lelaki berkenaan yang diawali dengan dengan istilah ‘bro’ berubah menjadi ‘baby’. Seram bukan?

Dedahnya lagi, mesej yang diterima menerusi Direct Message (DM) Instagram tersebut adalah daripada seorang Instafamous lelaki yang enggan didedahkan identitinya.

“Saya berkawan dengan sesiapa sahaja, saya tidak mahu dikatakan sombong. Pada mulanya, dia sekadar menegur dan membalas setiap InstaStory saya

“Selepas beberapa lama, perbualan antara kami yang bermula sebagai ‘bro’ secara tiba-tiba berubah menjadi ‘baby’. Saya terus tidak melayan dan terkejut dengan sikap sebegitu,” katanya kepada Kosmo!.


Puas memujuk untuk Syafiq berkongsi identiti pelaku tersebut walaupun secara off record, ternyata pemilik nama sebenar Nursyafiq Farhain A.M. Salim itu memilih untuk menjaga aib individu berkenaan.

“Biarlah dia, asalkan dia tidak menghina saya. Saya anggap dia hanya bergurau,” ujarnya yang ingin segera menamatkan perbualan berkaitan godaan lelaki bernafsu songsang itu.


Tumpang populariti

Graf kerjaya pegawai bomba yang kini bertugas di ibu pejabat di Putrajaya itu sebenarnya sudah berada atas landasan yang cantik tanpa perlu suntikan kontroversi yang mengencangkan langkah kariernya.

Umum beranggapan dengan menyandang gelaran anak kepada penyanyi legenda rock balada, Allahyarham Saleem Iklim, pasti mudah bagi Syafiq untuk mendaki populariti.

Namun menyaksikan tujahan kerjayanya, Syafiq dilihat tidak lagi menumpang populariti bapanya malah bergelut untuk mencari tapak dalam industri.

Perkara tersebut diakui Syafiq yang mendedahkan fokus itu antara yang menjadi alasan penyertaannya dalam program Big Stage sekitar setahun lalu.

“Apabila umum mengetahui status saya sebagai anak kepada arwah Saleem, takkan saya mahu nafikan. Sudah tentu saya mengaku, dia ialah bapa saya.

“Malah ke mana sahaja membuat persembahan antara lagu wajib peminat ialah Suci Dalam Debu. Saya juga berusaha membina identiti dalam industri ini,” luahnya.

Impi duet dengan Siti

Ajukan sahaja soalan kepada mana-mana pendatang baharu terutama penyanyi sudah pasti mengimpikan nama mereka disebut-sebut penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Ternyata Syafiq antara kelompok ‘budak baru nak up’ (BBNU) yang bertuah apabila bakatnya antara diiktiraf Siti daripada sudut pandangan seorang penyanyi berpengalaman.

Sejak bersaing di pentas Big Stage, Siti dilihat tertarik dengan suara gemersik dimiliki Syafiq yang disifatkan sebagai anugerah dari Allah.

Lebih mengujakan, Siti pernah menzahirkan impian ingin berduet dengan Syafiq.

“Siapalah saya untuk mengajak Tok Ti (Siti Nurhaliza) berduet. Jika jemputan datang daripadanya, sudah tentu saya berbesar hati.

“Saya pernah mempunyai pengalaman berduet dengan Tok Ti. Biarpun beliau sangat merendah diri, tetapi auranya berlainan. Kita merasa kecil di sisi beliau,” jelasnya.

Sebelum ini, menerusi rakaman Bintang Minggu Ini terbitan Astro, Syafiq diberi peluang untuk berduet dengan Siti menyampaikan lagu Kisah Ku Inginkan.

Mengimbau kenangan berkongsi pentas dengan biduanita itu, Syafiq pantas berkata, sehingga kini dia masih terasa debaran berkenaan.

“Rasanya nyanyian saya dalam rakaman tersebut bukan yang terbaik. Jika diberi peluang kedua berduet dengan Tok Ti, saya berjanji untuk melakukan dengan sehabis baik,” ujarnya yang masih kemas menyimpan impian untuk berduet dengan Siti.

Selain memahat impian yang mungkin dikongsi ramai penyanyi lain tersebut, Syafiq mengimpikan dirinya memiliki naskhah malar segar demi hayat kerjayanya kelak.

Kini dalam rangka promosi single baharu bertajuk Demi Setia, Syafiq akui kekuatan vokalnya tidak seiring dengan perkembangan muzik semasa.

Terperangkap dengan gaya pop dan balada sekitar 1990-an, Syafiq bergelut untuk memastikan keberadaannya relevan.

“Saya perlu berusaha lebih lagi. Sejak menamatkan saingan dalam Big Stage, kerjaya saya semakin berkembang.

“Namun saya sedar, vokal saya tidak seiring dengan muzik masa kini. Sungguh pun begitu, saya tidak mahu terlalu mengikut trend, sebaliknya mahu suara ini menjadi identiti mutlak Syafiq Farhain,” tegasnya.

Meskipun tidak dapat meneka selera khalayak, Syafiq berjanji untuk melakukan terbaik bukan sahaja demi kelangsungan karier, malah peminat yang selama ini menyokongnya.

Secara peribadi, Syafiq boleh dikategorikan sebagai pendatang baharu yang bernasib baik. Berbekalkan wajah tampan, dia nyata mampu menembusi bidang selain nyanyian.

Cabang bidang baharu

Terbaharu, penyanyi berasal dari Setiu, Terengganu itu terjun dalam dunia pengacaraan mengendalikan rancangan travelog Apa Lagi Terengganulah bersiaran menerusi TV Okey.

Rakaman yang dilakukan sekitar negeri kelahirannya itu memberikan pengalaman baharu, baik dari segi peribadi dan kerjaya.

“Apabila saya dibawa produksi ke lokasi tumpuan sekitar Terengganu, saya terkejut kerana tidak pernah tahu kewujudan beberapa lokasi pelancongan itu.

“Saya seronok menjadi pengacara tetapi masih banyak yang perlu dipelajari,” katanya.

Syafiq berdebar menantikan reaksi peminat terhadap debut lakonannya dalam filem berkisar perjuangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bertajuk Hero The Movie.

Filem yang bakal ditayangkan pada Oktober depan turut melibatkan beberapa selebriti lain seperi Mark Adam, pelawak Tauke Jambu dan Bell Ngasri.

“Saya tidak kisah menjayakan sebarang watak. Mengenai impian untuk berlakon, kita lihat dahulu pendapat umum terhadap lakonan saya dalam Hero The Movie,” katanya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post