Jalaluddin Hassan selektif watak dengan usia




Pelakon versatil Datuk Jalaluddin Hassan, mengakui amat berhati-hati memilih watak yang kena dengan usianya sekarang.

Jalaluddin, 65, berkata, dia perlu melihat kesesuaian watak itu dengan jalan cerita sebelum bersetuju menerimanya.

“Saya kena tengok jalan cerita. Kalau produksi nakkan saya bawa watak lelaki miang, kahwin dua atau tiga, saya akan tengok dulu macam mana.

“Tiada yang salahnya berkenaan poligami dan tiada masalah dalam hal ini.

“Tapi kalau watak lelaki yang melacurkan diri, saya akan cuba elakkan. Kalau setakat lelaki yang kahwin dua, tiga untuk drama genre komedi, mungkin saya boleh pertimbangkan,” katanya.

Ditemui pada majlis memperkenalkan menu 'Citarasa Warisan Bonda' sempena Ramadan di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Jalaluddin turut menyeru supaya penerbit dan pengarah drama, sensitif dengan babak membabitkan watak suami isteri di atas katil yang membabitkan pelakon bukan muhrim.

“Mereka bagi alasan ini hanya drama tapi kita kena ingat, hukum mesti dipertahankan walau apa alasan diberikan.

“Saya bukan bercakap berkenaan diri sendiri tapi juga terhadap semua pelakon. Dah tiba masanya kita mempertahankan hukum syariah dan hukum Islam.

“Kalau kita bagi alasan itu hanya lakonan bagi menghalalkan cara, kita nampak bodoh nantinya,” katanya.

Menurutnya, semua pihak yang terbabit dengan seni perlu ada perasaan malu kepada peminat serta ketua agama dan mufti yang sentiasa memerhatikan.

“Perlu ada sikap menghormati. Janganlah lebih sudu daripada kuah. Namun untuk menegur mereka (penggiat seni) juga perlu ada caranya dan biarlah dengan cara baik.

“Untuk buat babak drama suami isteri, banyak cara boleh dibuat. Iran sudah buktikan dan kita boleh melakukannya.

“Cuma kita perlu kreatif dan yang penting lakonan berkesan serta orang boleh nampak itu menggambarkan watak suami isteri tanpa pegang tangan dan berpelukan,” katanya.

Jalaluddin berkata, semua pihak wajar mencontohi etika yang ditetapkan oleh TV Alhijrah untuk drama yang disiarkan di stesen itu.

“Mereka menetapkan pelakon perempuan mesti bertudung dan tak boleh bersentuhan antara bukan muhrim.

“Nampak cantik persembahan mereka. Sebagai orang Islam kita sendiri perlu mempertahankan agama kita.

“Orang sekarang sudah berani mempertikai mengenai nabi dan Islam. Kalau perkara kecil begini pun kita gagal buat, apatah lagi yang besar di mana orang begitu celupar dan biadap melakukan provokasi terhadap Islam,” katanya.

Jalaluddin baru saja selesai membintangi filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof dan Nur 2 arahan Shahrulezad Mohameddin.

Post a Comment

Previous Post Next Post