Sissy Imann Tak kisah dikata kemaruk popular




“Tak kisahlah kalau ada yang nak mengata saya kemaruk kejar popular sekarang. Kejar nak jadi penyanyi, kejar nak jadi pelakon.

“Bagi saya, hanya mahu menimba ilmu dan mencuba peluang bekerja yang baru. Bukan soal populariti yang utama,” kata penyanyi Sissy Imann.

Sissy, 23, sebelum ini muncul dengan single baru berjudul Pesanan Ayahanda dan terbabit juga membintangi program televisyen, The House bersama Wani Kayrie dan Sarah Suhairi.

Sissy Imann atau nama sebenar Sissy Imann Mohamad Kamil berkata, dia akur betapa laluannya untuk mencipta nama dalam karier seni agak berliku.

“Saya tahu, hingga kini masih terkial-kial untuk mengetengahkan nama sebaris bakat muda lain yang lebih dikenali dan popular.

“Namun, saya tak patah semangat untuk terus mencuba dan sekarang melihat rezeki nampaknya mula berpihak untuk bakat saya.

“Selain fokus pada karier nyanyian, sekarang saya juga mendapat peluang mengembangkan bakat sebagai pelakon,” katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Mungkin Kamu itu, dia juga kini sudah jatuh cinta pada bidang lakonan diceburi.

Terdahulu, Sissy muncul membintangi telefilem khas sempena Anugerah Juara Lagu (AJL) berjudul Misi Penculikan Cinta yang ditayangkan TV3 pada 2 Februari lalu.

Dia juga mendapat kepercayaan membintangi drama bersiri, Tolong Aku Doktor Cinta untuk RTM dan Kariah Cik Pong sempena Ramadan nanti.

Turut bergelar guru vokal, Sissy adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian Pendidikan Muzik Pendidikan Rendah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur.

Menjawab mengenai dirinya yang kelihatan seperti ‘dikongkong ibu bapa’ kerana sering ditemani ahli keluarga, Sissy menafikan perkara itu.

“Keluarga terutama ibu bapa tidak pernah mengongkong saya. Cuma, saya yang rasa lebih selesa dan selamat apabila mereka ada bersama.

“Hubungan saya dan keluarga memang sangat rapat. Jadi, sukar untuk saya berjauhan dengan mereka dan berdikari,” katanya.

Menurutnya, ibu bapanya sentiasa memberi kebebasan kepadanya dalam membuat keputusan dan sama sekali tidak mengongkong.

Post a Comment

Previous Post Next Post