Lagu Melayu asli tuah buat Haziq Rosebi




Bekas peserta program Akademi Fantasia 4 (AF4), Haziq Rosebi mengakui keputusan memilih menyanyikan genre lagu Melayu asli dan malar segar membawa tuah tersendiri terhadap kariernya.

Haziq atau nama sebenarnya Hazwan Haziq Rosebi, 31, berkata, rezekinya murah kerana sering dijemput untuk menyanyi di majlis berkonsep eksklusif, kenduri kahwin dan kemelayuan yang memerlukan dia menyanyi lagu genre begitu.

"Rasanya saya tak salah pilih genre sejak keluar AF, walaupun ada yang suruh tukar genre lain kerana sukar nak cari makan.

"Bukan tak nak dengar nasihat orang tapi saya kekalkan identiti ini sampai sekarang.

"Alhamdulillah, dapatlah juga saya beli rumah dan kereta hasil usaha sendiri daripada nyanyian," katanya yang ditemui ketika membuat persembahan pada Majlis Pelancaran Buku 50 Tahun Filem Malaysia & Singapura (1930-1980) karya Mustafar AR di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, tiada cerita lain yang boleh dikongsikannya kepada media setiap kali berjumpa kecuali tawaran membuat persembahan untuk lagu genre itu.

"Untuk masuk televisyen, lagu begini memang tak sesuai sangat. Tapi sebenarnya dari segi persembahan, yang banyak dana ialah orang senior begini.

"Tapi kalau golongan muda tak diajak meminati lagu tradisional, saya rasa dalam lima atau 10 tahun ke atas, kita dah tiada identiti sendiri," katanya.

Haziq berkata, dia sedikit pun tidak kisah dirinya kurang dikenali dalam kalangan peminat semasa.

"Tapi sebagai artis yang menyanyikan lagu tradisional, saya perlu ada usaha mempromosikan lagu genre begini supaya diminati oleh golongan muda.

"Saya masih memikirkan untuk menghasilkan lagu baru genre tradisional.

"Bimbang radio tak mainkan sedangkan kos untuk buat lagu mencecah RM7,000 ke RM8,000, jadi baik saya kekal buat persembahan saja," katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan setiap artis perlu ada lagu baru untuk kekal menjadi sebutan peminat.

"Ramai kawan kata begitu tapi saya selalu fikir mengenai kemungkinan yang dikatakan tadi.

"Mungkin perlu dibuat pembaharuan lagu tradisional seperti gandingan Zizi Kirana dan Altimet menerusi lagu Pendekar Pena," katanya yang pernah menyanyikan single berjudul Zapin Suri terbitan Pak Ngah pada 2009.

Dalam pada itu, Haziq mengakui melakukan proses diet yang ketat untuk mendapatkan berat badan ideal.

"Berat badan pernah mencecah 72 kilogram dan akhirnya saya buat diet secara Intermittent Fasting (IF).

"Biasanya makan malam akhir saya pada jam 10 malam dan keesokannya akan makan semula pada jam 2 petang.

"Saya buat diet selama 16 jam dan hanya makan nasi sebesar penumbuk pada waktu malam berserta lauk seperti ikan dan sup," katanya.

Haziq kini berjaya mendapatkan kembali berat badan 60 kilogram yang diidamkannya.

"Kali terakhir saya mempunyai berat begini ketika berusia 16 tahun. Saya gembira kerana dapat memakai semula baju lama," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post