
Hampir lima tahun bergelar pelakon, nama Ben Amir belum lagi meniti di bibir peminat seperti rakan-rakan seangkatannya, Fattah Amin, Saharul Ridzwan atau Syafiq Kyle.
Pada saat mereka semua sudah mengecap pelbagai kejayaan dalam dunia lakonan, Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin masih mengambil masa, bertatih dan berjalan perlahan dalam mencuri perhatian peminat dengan bakat dan lakonannya.
Ditemui pada sesi fotografi drama terbaharunya, Spanar Jaya X di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, baru-baru ini, jejaka yang popular dengan Suri Hati Mr. Pilot itu menafikan ada berasa cemburu dengan kejayaan rakan-rakannya yang lain.
Malah, Ben, 28, tidak berasa tertekan untuk mengejar populariti sebagaimana yang telah dicapai pelakon-pelakon lelaki lain. Dia yakin, hanya perlu terus membuktikan bakat yang ada dan peluang untuk bersinar pasti akan tiba suatu hari nanti.
Bagaimana anda melihat perjalanan karier anda sepanjang lima tahun ini?
BEN: Baik, Alhamdulillah. Ia tidak bergerak terlalu perlahan atau terlalu pantas. Saya bermula sebagai pelakon tambahan, pelakon pembantu dan akhirnya berjaya mendapat kepercayaan menjadi watak utama melalui usaha keras sendiri. Setakat ini saya berpuas hati dengan apa yang sudah saya capai.
Anda tidak berasa iri hati dengan kejayaan rakan-rakan seangkatan yang lebih popular?
Tiada sebab untuk saya berasa dengki, itu rezeki mereka. Lebih baik saya fokus sahaja pada kerjaya sendiri kerana pada saya, selagi tawaran ada dan rezeki tidak putus, ia sudah cukup baik untuk saya.
Jadi, adakah populariti tidak penting buat anda?
Bukanlah tidak penting langsung cuma bukan keutamaan dalam jangka masa sekarang. Saya mahu bina profil dalam industri atas bakat lakonan, bukan popular dan terkenal dengan gosip atau kontroversi semata-mata.
Apakah perancangan anda untuk tahun 2019?
Saya sekarang sedang mempersiapkan diri dalam seni mempertahankan diri seperti muay Thai kerana menyasarkan watak dalam filem aksi. Setakat ini memang belum ada sebarang tawaran cuma saya suka membuat persiapan awal memandangkan berlakon dalam filem aksi ada dalam perancangan kalendar 2019 saya.
Maaf bertanya soal peribadi, bagaimanakah hubungan anda dengan Uqasha Senrose?
Kami masih berkawan seperti biasa, sama sahaja seperti yang pernah saya beritahu sebelum ini.
Mengapakah anda sudah kurang memuat naik gambar bersama di laman Instagram, mungkin kerana sudah tidak rapat atau putus cinta?
Kami tidak pernah bercinta pun, hanya kawan biasa sahaja. Peminat yang suka membuat spekulasi sedangkan saya dan Uqasha tiada apa-apa. Saya kurang muat naik gambar bersama kerana mahu kurangkan persepsi tersebut dan tidak mahu orang ingat nama saya hanya kerana gosip-gosip seperti ini. Namun, saya dan Uqasha masih berkawan dan tidak bergaduh.