Shaheizy Sam mahu kurus bersama peminat




Shaheizy Sam nekad untuk menurunkan berat badannya bagi penggambaran filem Polis Evo 3 tidak lama lagi.

Bakal memasuki set penggambaran filem Polis Evo 3 tidak lama lagi, pelakon Shaheizy Sam nekad untuk menurunkan berat badannya.

Tidak seperti rutin penurunan berat badan sebelum ini, Sam atau nama sebenarnya, Shaheizy Sam Abdul Samad, 37, mengajak 30 peminat untuk menurunkan berat badan bersamanya menerusi program 20 Days Challenge.

Ketika dihubungi Kosmo! Online, Sam berkata, idea untuk mengadakan program tersebut adalah disebabkan pertanyaan peminat mengenai proses yang dilalui untuk mendapatkan bentuk tubuh yang ideal.

“Ketika saya menjalani penggambaran filem Polis Evo dan Polis Evo 2, ramai bertanya tentang rutin senaman dan diet yang saya amalkan.

“Jadi, alang-alang saya mahu kembali ke rutin senam sebelum ini, saya bercadang untuk bersenam dengan peminat,” katanya.


Dalam pada itu, Sam menambah, apa yang akan dikongsikan dengan peminat adalah pengalaman-pengalamannya sebelum ini agar dapat dimanfaatkan dalam jangka masa panjang.

“Selain mahu berkongsi perihal kesihatan, saya juga ingin melihat peserta yang terlibat kelak dapat melakukan apa yang dikongsi walaupun tanpa ketiadaan saya.

“Program ini bukan sekadar diet dan senaman, tetapi lebih kepada menjalani gaya hidup yang sihat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sam yang kini seberat 80 kilogram (kg) mahu kembali ke berat badan asal iaitu 68kg.

Terdahulu, Sam memuat naik dua siri video mengajak peminat dan pengikutnya untuk bersenam bersama dalam Instagram.

Menurut Sam, sebanyak 30 orang akan dipilih dan bakal menjalani proses transformasi berat badan selama 20 hari.

Post a Comment

Previous Post Next Post