Ayda Jebat menakluk awan




Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat melakar sejarah tersendiri apabila bakal mengadakan persembahan di awan biru pada aras ketinggian 38,000 kaki sempena penganjuran Minggu Muzik Malaysia (MMM) 2019 awal Ogos depan.

Ayda, 27, dijangka mengadakan persembahan selama 30 minit dengan beberapa buah lagu popularnya menerusi penerbangan AirAsia yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah.

Pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat itu menyifatkan pemilihan tersebut adalah pengalaman paling bermakna sepanjang kariernya.

“Sejujurnya, saya tidak sabar menantikan hari persembahan. Pertama kali menyanyi pada ketinggian 38,000 kaki di udara menjadikannya pengalaman paling indah buat saya.

“Meskipun sibuk dengan jadual kerja tanpa henti sehingga sukar untuk berlatih, tetapi saya harap dapat lakukan sehabis baik dan menghiburkan semua penumpang penerbangan itu nanti,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Aura White Sparkle Diamond Skincare dan Aura White Sparkle Diamond Collagen Travel Pack di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Persembahan tersebut dijangka bakal dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records sebagai persembahan muzik secara langsung pada paras tertinggi.

Minggu Muzik Malaysia merupakan perayaan muzik tempatan yang berlangsung selama seminggu dengan edisi sulungnya bermula di sekitar Kuala Lumpur dari 9 hingga 15 September depan.

Bagaimanapun, Ayda hanya akan membuat persembahan secara solo tanpa iringan penari kerana memikirkan aspek keselamatan.

“Rasanya tidak boleh ada penari kerana sukar untuk bergerak dalam pesawat. Jadi, saya perlu hiburkan penumpang dengan cara tersendiri. Sebanyak empat hingga lima buah lagu berada dalam senarai untuk dinyanyikan,” jelasnya.


Cindai

Sementara itu ketika menyentuh soal lakonan, Ayda baru-baru ini mencuri tumpuan peminat apabila berkongsi beberapa video dan gambar ketika menjalani penggambaran drama Cindai yang bakal bersiaran menerusi slot Samarinda TV3 tidak lama lagi.

Dalam perkongsian itu, apa yang menarik perhatian peminat adalah imej watak Cindai yang selekeh dan tidak terurus.

Jelas Ayda, Cindai adalah watak yang paling mencabar pernah dilakonkannya kerana sarat dengan perubahan emosi.

“Watak Cindai ada simptom penyakit gangguan mental, tetapi dia tidak tahu mengenainya. Bagaimanapun, orang di sekeliling nampak kelakuannya yang sering berubah-ubah.

“Ini adalah watak yang sangat mencabar sampai membuatkan saya berasa sangat penat kerana banyak bermain dengan emosi. Itu belum lagi babak-babak seperti hampir dirogol, berlari dan terjatuh sehingga meninggalkan kesan lebam memandangkan kulit saya memang sensitif,” ujarnya.

Pada masa sama, pelakon filem Pinjamkan Hatiku itu mengakui tidak kisah untuk tampil selekeh dan tidak cantik kerana sedar tanggungjawab seorang pelakon adalah menyampaikan cerita kepada penonton.

Di sebalik kesibukan dengan karier lakonannya, penyanyi lagu Siapa Diriku itu tetap mencuri masa menyiapkan projek album perdananya yang bakal dilancarkan menjelang awal tahun depan.

Album yang mengandungi 10 buah lagu baharu itu mendapat sentuhan daripada beberapa orang komposer Indonesia seperti Irwan Simanjuntak dan komposer tempatan.

“Terdapat dua bahagian dalam album ini iaitu lima lagu balada dan lima pop. Lagu balada sudah disiapkan dan masih dalam proses menyelesaikan bahagian lagu pop yang merupakan kerjasama dengan komposer tempatan.

“Bukan saya tidak mahu bekerjasama dengan komposer tempatan, tetapi sehingga ke hari ini saya masih belum bertemu dengan orang yang serasi dengan muzik saya. Kalau ada, saya sentiasa terbuka untuk menggunakan khidmat mereka,” jelas Ayda.

Putus cinta

Menyentuh soal kisah peribadinya, baru-baru ini timbul cerita mengatakan hubungan Ayda dengan pelakon Redza Rosli yang sebelum ini mesra bertukar dingin dan renggang.

Ditebak dengan persoalan itu, Ayda menjelaskan dia tetap positif terhadap sebarang spekulasi yang timbul.

Namun begitu, jelas Ayda sebelum ini dia tidak pernah membuat sebarang penafian terhadap apa yang berlaku. Hal ini kerana, dia tidak pernah menidakkan atau mengiyakan tentang kesahihan hubungan mereka.

“Sejujurnya kami hanya berkawan baik dan tidak ada istilah putus cinta. Apa yang penting, saya cuba bersikap profesional dan akan bekerja dengan cara yang baik.

“Sebelum ini kami memang profesional. Cuma mungkin pada ketika itu hubungan kami diperkatakan ramai kerana sering dilihat bersama,” jelas Ayda.

Biarpun mengunci mulut mengenai episod putus cinta, namun desas-desus yang bertebaran mendakwa hubungannya bersama Redza menjadi dingin kerana orang ketiga.

Apa yang tidak manisnya, orang ketiga yang dimaksudkan adalah pelakon Oktovia Manrose. Difahamkan Oktovia dan Redza menjadi rapat selepas kedua-duanya bergandingan dalam sebuah drama.

Mengakui terkejut dengan spekulasi tersebut, Ayda bagaimanapun enggan perkara peribadinya dikaitkan dengan orang lain.

“Saya sebenarnya terkejut apabila ada yang mengaitkan nama pelakon wanita itu. Bagi saya tidak perlu kaitkan perkara ini dengan orang lain.

“Buat masa ini saya tidak mahu komen lebih-lebih sebab terdapat banyak hati yang perlu dijaga. Bukan sahaja diri saya, tetapi juga pihak sebelah sana.

“Pada masa sama, saya dan Redza juga sudah bersetuju untuk tidak memberikan sebarang kenyataan. Rasanya itu adalah yang terbaik buat masa ini,” ulasnya panjang lebar.

Biarpun mengakui akan bersikap profesional, namun pelantun lagu Pencuri Hati itu masih belum bersedia untuk digandingkan bersama Redza dalam sebuah projek buat masa ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post