“Saya tidak merancang untuk menambah anak dalam tempoh terdekat ini.
“Namun, jika Allah beri rezeki untuk kami dapat anak lagi pada tahun ini, saya terima dengan tangan terbuka,” kata penyanyi Siti Sarah Raisuddin mengulas perancangan untuk menambah cahaya mata ketika ini.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Semakin itu, jika diikutkan dia mahu memiliki empat cahaya mata untuk melengkapkan kebahagiaan rumah tangganya.
“Saya memang mahu menambah seorang lagi anak.
“Namun, suami pula mahu memiliki anak yang ramai kerana dia mahu keluarga besar,” katanya.
Ditanya mengenai keadaan perutnya yang agak berisi dan mencuri perhatian peminat pada Konsert Soul Sisters sebelum ini, Sarah menafikan dakwaan segelintir pihak dirinya mengandung ketika itu.
“Sebenarnya, saya berdepan dengan masalah hormon tidak stabil hingga terpaksa berjumpa doktor untuk merawat masalah itu sebaik saja selesai konsert sebelum ini.
“Hormon yang tidak stabil turut mempengaruhi berat badan, darah gemuruh dan cepat panik.
“Saya juga terpaksa mengambil ubat yang disarankan doktor untuk merawat masalah hormon tidak stabil ini,” katanya.
Hasil perkongsian hidup dengan pelawak Shuib, mereka memiliki tiga anak, Uwais Alqarni, 7; Dzahira Talita Zahra, 4, dan Ariq Matin, 2.