Biarpun ikatan perkahwinan dengan Mawar telah terlerai, Fizo mengakui masih sayangkan wanita itu yang disifatkan telah melaksanakan tugas terbaik selama menjadi isteri dan ibu kepada anaknya.
Lautan mana yang tidak pernah bergelora, bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan. Namun, sekian lama terbakar dalam diam, sekam segunung pun akhirnya jadi abu. Ketika itu, hanya takdir yang memutuskan segala.
Semalam, situasi sebegitulah yang tertulis untuk mahligai perkahwinan pelakon, Fizo Omar dan usahawan tudung Fareeda, Mawar Abd. Karim. Kemuncaknya, mereka sah bercerai talak satu.
Kemelut rumah tangga mereka mula dihidu umum apabila pasangan tersebut tidak memuat naik gambar bersama terutama ketika sambutan Aidilfitri lalu.
Apatah lagi sekitar 27 Jun lalu, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 34, menerusi Instagramnya memuat naik kenyataan menggambarkan perkahwinan yang dibina sejak November 2013 sedang berdepan badai.
Selama enam tahun bersama, pasangan itu sempat dikurniakan cahaya mata perempuan, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.
Bercakap tentang pengakhiran sebuah ikatan, baik Fizo mahupun Mawar, kedua-duanya mengakui masih tertinggal seberkas kasih sayang namun perpisahan juga dipilih sebagai jalan kehidupan.
Ikuti perkongsian Fizo kepada Kosmo! sejurus ditemui selepas tamat prosiding perceraiannya.
Akhirnya perkahwinan yang dibina menemui perceraian. Bagaimanakah Fizo mendepani ujian hebat sebegini?
FIZO OMAR: Saya percaya ini adalah takdir Allah yang telah tertulis bahawa di mahkamah ini jodoh saya dan Mawar berakhir.
Saya menyifatkan perceraian ini bukanlah sebuah pengakhiran sebaliknya permulaan hidup baharu untuk saya dan Mawar menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada Wan Maryam.
Apakah yang membuatkan anda tabah berdepan dengan situasi ini?
Saya yakin kekuatan saya adalah dengan izin Allah. Saya berdoa untuk diberikan kekuatan dan Allah izinkan. Saya berpendapat tidak perlu wujud pertelingkahan antara kami. Segala yang terjadi adalah aturan dan takdir Allah. Saya hadapi semua ini dengan tenang.
Apakah perasaan anda terhadap Mawar sekarang?
Saya masih sayang dan kasihkan Mawar terutama sebagai ibu kepada Wan Maryam dan dia pernah menjadi isteri saya.
Selama ini, dia telah melaksanakan tugas terbaik sepanjang menjaga keperluan saya dan anak. Saya terhutang budi dengan dia. Dia seorang ibu dan isteri yang sangat baik.
Adakah ada kemungkinan anda akan bersatu kembali dengan Mawar?
Saya serahkan semuanya kepada takdir. Saya tidak mahu menafikan perkara itu sekiranya ada jodoh dan Allah menetapkan jodoh kami masih panjang.
Bagaimanakah dengan tuntutan hak penjagaan anak?
Tanggungjawab kami selepas ini adalah membesarkan amanah Allah dan didik anak kami dengan sempurna.
Saya tidak akan pisahkan Maryam dengan ibunya.
Insya-Allah, keluarga kedua-dua belah pihak baik-baik sahaja. Saya percaya selepas ini hubungan saya dan Mawar akan lebih baik demi membesarkan Maryam.
Berdasarkan jawapan anda, hubungan anda dan bekas isteri kelihatan baik. Apakah punca kegagalan perkahwinan anda?
Saya tidak boleh dedahkan secara terperinci demi menjaga aib kedua-dua belah pihak.
Sehingga ke hari ini, hubungan kami masih baik. Tiada perbalahan dan pergaduhan antara kami.
Saya sedar perceraian bukan perkara yang baik. Namun sekiranya ini takdir yang Allah tentukan, kami perlu hadapi situasi ini dengan sabar.
Saya yakin Allah tidak akan menzalimi hamba-Nya.