"Saya dengan pengasas produk kosmetik itu tidak ada apa-apa hubungan intim," kata pelakon, Putra Amaris mengulas komen warganet mengaitkannya dengan seorang pengasas produk kosmetik popular.
Menurut Putra Amaris atau nama sebenarnya Amran Ismail, 34, dia hanya bekerja selama beberapa bulan dengan wanita itu dan sering berulang alik ke Ipoh atas urusan kerja.
"Isu ini timbul mungkin kerana ada individu yang sering melihat saya bersamanya di Ipoh selama beberapa bulan. Itu semua adalah atas urusan kerja sahaja.
"Dia ada membuka sekolah tahfiz di Ipoh dan saya bersama beberapa Ustaz mengendalikan projek itu. Jadi, ia adalah atas urusan kerja dan saya sendiri pun tahu batasan memandangkan sudah berkeluarga," katanya kepada Harian Metro.
Katanya, isu dan khabar angin yang timbul itu sedikit sebanyak mengganggu keluarganya terutama isteri.
"Isteri adalah orang yang menerima pelbagai reaksi daripada warganet. Bahkan, ada juga yang berkata dia adalah wanita yang kuat kerana masih mampu bertahan dengan saya walaupun sudah timbul pelbagai khabar angin.
"Saya sendiri pun kasihankan isteri. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dia adalah wanita yang kuat dan meletakkan kepercayaan kepada saya," katanya.
Putra Amaris bagaimanapun tidak mahu timbul salah faham sekiranya ada pihak lain yang menganggap dia dan usahawan wanita itu kini sudah bergaduh.
"Saya tak ada bergaduh atau sebarang masalah dengan dia. Dia adalah orang yang baik dan saya sendiri banyak belajar ilmu perniagaan daripadanya.
"Kalau boleh, janganlah pula ada pihak memandang negatif kepadanya kerana dia tidak melakukan kesalahan atau apa. Saya ingin meminta maaf sekiranya ada tindakan saya yang membuatkan orang salah faham dengan hubungan kami," katanya.
Terbaru, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk telefilem yang akan ditayangkan di TV3 dan filem lakonannya, Ratu Kala Jengking bakal menemui penonton.